Kerajaan akan mengambil tindakan terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan mendakwa penggunaan media sosial akan disekat mulai Selasa ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau sudah mengarahkan polis menyiasat kononnya beliau mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.
"Saya tidak bagi amaran tetapi saya akan mengambil tindakan terhadap fitnah berkenaan. "Jangan rosakkan nama saya dengan tujuan untuk memperlihatkan seolah-olah saya tidak faham perundangan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Bayan Baru di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, semua pihak jangan cuba menggunakan kebebasan media untuk menyebarkan fitnah.
"Saya minta pihak berkenaan menarik balik dan saya serius mengenai perkara ini. "Jangan main-main dengan saya serta jangan buat fitnah terhadap pemimpin negara atau mana-mana parti," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, UMNO perlu mendepani gelombang komunikasi baharu yang berupaya mencipta serta menyebar pembohongan yang akhirnya diterima sebagai kebenaran kepada kumpulan sasar.
Beliau berkata, komunikasi baharu yang didokongi oleh Gen Y mampu mengubah keseluruhan struktur geopolitik negara hanya melalui hujung jari sahaja.
Sehubungan itu, katanya, UMNO perlu mengakui bahawa kemerosotan sokongan yang diterima pada pilihan raya lalu adalah berpunca daripada kegagalan parti menangani permasalahan berkenaan.
"Kita harus melakukan muhasabah diri bahawa kekalahan kita adalah kerana kita tidak serius menangani masalah ini dan masih bersikap konvensional.
"Memang ada musuh yang memantau setiap gerak geri dan pertuturan kita, lantas mereka mencari dan mencipta kesilapan kita supaya nampak bodoh. Persepsi ini yang buat rakyat percaya dan kita kecundang," katanya. - UtaraNews
No comments:
Post a Comment