Thursday, 7 May 2015

TEKS UCAPAN TAAT SETIA MENTERI BESAR PERAK SEMPENA ISTIADAT PERTABALAN SULTAN PERAK KE-35


TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI DIRAJA DR.ZAMBRY ABD.KADIR
MENTERI BESAR PERAK DARUL RIDZUAN
SEMPENA ISTIADAT PERTABALAN
DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN XXXV



Menghadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al Marhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah Al Maghfur-Lah.

Ampun Tuanku Beribu Ampun Sembah Patik Mohon Diampun

Dengan kalam pemilik alam, patik berdatang merafak sembah, sembah takzim hamba yang lemah, buat Paduka Sultan yang penuh hikmah, di istiadat yang penuh barakah.

Gembiranya sungguh hamba sahaya, sembah tahniah Paduka yang mulia, hamba semua berikrar setia, menjunjung kasih sepanjang masa.

Syahdan pada hari yang penuh kemuliaan ini, terungkaplah tawarikh atas sebuah kerajaan, dari salasilah kesultanan Perak Darul Ridzuan, yang sebermulanya lanjutan daripada kerajaan Melayu Melaka, yang ditamsilkan dari wa'ad Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba.

Berpaksikan Islam dan bersendikan adat, maka dimasyhur dan ditabalkan seorang Raja Pemerintah yang berdaulat.




Patik sekalian berdoa, agar Paduka Seri Tuanku berada di singgahsana, dalam kesihatan dan keafiatan serta kesejahteraan di dunia dan akhirat (hasanah fiddunya wal akhirah).

Selaku Memanda Menteri Besar, sayugia Patik dengan takzim menyembah tahniah, menjunjung kasih bagi pihak kerajaan pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri DiRaja Mohd Najib Tun Haji Abd Razak.
Demikian jua, dari sekalian hamba rakyat negeri Perak, Patik rafakkan kesyukuran dan tahniah atas pertabalan Ke Bawah Duli Tuanku, selaku Sultan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan dan jajahan takluknya.

Dalam baris tinta ucapan ini, Patik mohon perkenan Tuanku untuk turut merakamkan sembah tahniah, buat suri Ke Bawah Duli Tuanku, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Zara Salim sebagai Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan.
Moga Tuanku Permaisuri sentiasa diberkati, bersemayam di sisi Paduka Seri dan membina keluarga jannati, di samping Paduka Seri yang mithali.

Mewakili seluruh hamba rakyat, pada istiadat bersejarah ini, izinkan Patik, untuk turut menzahirkan penghargaan, kepada Almarhum Ayahanda Paduka Seri, Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah Al Maghfur-Lah dan kepada Paduka Bonda Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun, yang telah mengasuh, dan memberikan didikan sepenuh kasih sayang kepada Tuanku, dengan tertib dan akhlak yang mulia.

Kemuliaan itu terpancar pada watak dan pekerti Tuanku, tatkala acapkali Tuanku menyampaikan titah ucapan, apabila menyebut jasa Paduka Ayahanda dan Paduka Bonda, seringnya sebak dan bergenang air mata.

Ampun Tuanku Beribu Ampun, Sembah Patik Mohon Diampun Dalam majlis yang gilang gemilang ini, izinkan Patik memetik bait-bait catatan Baha Zain, dalam karangannya Di Sumur Kenangan, yang termuat dalam buku His Royal Highness Sultan Nazrin Shah: Reflections And Recollections yang dilancarkan baru-baru ini.

Kata Baha Zain:

Titah dan kata-kata Baginda bagai embun dan gerimis;
Setitik menjadi lautan, Sebutir menjadi daratan,
Dinaungi mercu kemuliaan,
Akal yang bijaksana, dan
Keadilan yang dikotakan
Demikianlah, rakyat dan negeri ini amat bertuah, dengan tertabalnya Paduka Seri Tuanku sebagai Sultan dan Raja Pemerintah Perak Darul Ridzuan.

Patik sekalian amat kagum, dengan kesarjanaan Tuanku dan insaf akan segala haibah diri, menjadi seorang raja ilmuan, yang sentiasa memperkaya perbendaharaan ilmu, melengkapi khutub khanah kendiri, serta berdamping dengan ilmuan dan agamawan.

Mohon patik kepada Allah jua, agar hamba rakyat beroleh manfaat atas sifat Tuanku yang bijaksana dan mencintai ilmu.

Tuanku juga turut mengharumkan nama Kesultanan negeri ini, bertitah di serata dunia dengan cetusan minda yang sering memancarkan naluri, bagi mewujudkan sebuah dunia yang sejahtera, hingga menyerlahkan Tuanku laksana permata, mengerdipkan kearifan dalam kalangan yang arif tentang ehwal dunia.

Pengiktirafan terhadap Tuanku di persada buana, telah menjulang nama watan, hingga membolehkan pentadbiran pimpinan Patik, membangunkan negeri yang menjadi tumpuan dagang dan senteri.

Mudah-mudahan, kebijaksanaan dan keilmuan Paduka Seri Tuanku, akan terus utuh di persada dengan diselimuti sifat adil dan saksama, tegas dan terbuka, berbicara melontarkan mutiara, demi kesejahteraan rakyat jelata.

Ini selaras dengan ciri-ciri Raja Pemerintah, seperti yang disebut oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dalam kitabnya Al-Tibr al-Masbuk fii Nasihat al-Muluk iaitu adil, bijaksana, dekat dengan majlis ilmu dan akrab dengan ulama, tidak bermegah, mengambil berat kebajikan rakyat, memenuhi hajat dan bermuafakat.

Sayugia setinggi mana pun melayang dan melebarkan sayap, Paduka Seri Tuanku tidak ujub atas pujian, tidak alpa atas gelaran, tetapi insaf akan nasib insan yang bernaung di bawah payung pemerintahan Tuanku.

Keperihan hidup serta kedhaifan rakyat, sentiasa mengetuk pintu kalbu Paduka Seri Tuanku. Sentuhan Ke Bawah Duli Tuanku, sentiasa dirasai dalam kalangan dhuafa, hingga kehidupan yang kelam, Alhamdulillah kembali bersinar benderang.

Bergetarnya jiwa Tuanku akan nasib golongan yang serba kekurangan, mengingatkan patik kepada ungkapan khalifah Bani Umaiyah yang termasyhur, iaitu Khalifah Umar Abd Aziz, tatkala berkhutbah menerima jawatan, dengan berkata:

“Aku memikul amanat umat ini dan aku tangisi orang-orang yang menjadi amanat atasku, iaitu kaum fakir miskin, yang lemah dan lapar, ibnu sabil yang kehilangan tujuan dan terlantar, orang-orang yang dizalimi dan dipaksa menerimanya, orang-orang yang banyak anaknya dan berat beban hidupnya. Aku merasa bertanggungjawab atas beban mereka, kerana itu, aku menangisi diriku sendiri kerana beratnya amanat atas diriku.”

Atas belas dan ehsan Tuanku akan nasib rakyat yang serba kekurangan, terilhamnya penubuhan Yayasan Bina Upaya di bawah pentadbiran Patik.

Dengan melatakan kudrat, yayasan ini berusaha memenuhi segenap hasrat rakyat. Berkat usaha menabur bakti, pembasmian kemiskinan melalui yayasan ini, telah mendapat pengiktifaran di peringkat antarabangsa, dengan anugerah khas Global Islamic Finance Awards 2014 di Dubai tempoh hari.

Saran untuk melihat negeri ini terus maju, Patik menjunjung kasih Ke Bawah Duli Tuanku sepanjang detik dan ketika, atas nasihat dan teguran yang diberikan.

Alhamdulillah, berkat pedoman yang dibekalkan, kerajaan negeri sejak beberapa tahun yang lalu, berupaya melaksanakan agenda pembangunan untuk rakyat dan negeri, di bawah Gagasan Perak Amanjaya.

Selain pernah mengecapi pertumbuhan yang tinggi mengatasi unjuran pertumbuhan nasional, InsyaAllah, kadar pertumbuhan negeri Perak bagi tahun ini juga, akan berkembang seiring dengan pertumbuhan, yang diunjurkan di peringkat nasional.

Mudah-mudahan dengan nasihat serta mutiara pemikiran Tuanku, Patik sebagai Memanda Menteri Besar, InsyaAllah, akan melaksanakan amanah yang diletakkan di jemala patik, sejujur, setulus dan sedaya mungkin.

Ini adalah iltizam Patik yang menerajui pentadbiran negeri ini dan sebagai memelihara keakraban dalam berkerajaan, yang sudah terakam dalam sejarah susur galur pemerintahan Raja-Raja Melayu.

Tuanku sebagai Raja Pemerintah dan Patik pula hamba Memanda. Sebagai Memanda, Patik akan memberikan nasihat atas ehwal yang sebenarnya, tanpa tersirat durja atau bermuka-muka, dan memberikan pandangan atas duduk perkara dengan sebaik-baiknya.

Adalah menjadi harapan, jalinan yang teranyam kemas antara Tuanku dan pentadbiran Patik, tidak dicemari bidak-bidak yang menghamparkan kehidupan dalam alam khayalan, yang boleh menjauhi Tuanku dan kerajaan Tuanku, daripada mendalami sentuhan kisah dan perjalanan hidup rakyat.

Inilah penzahiran harapan Patik, setelah merenung sedalam-dalamnya mutiara-mutiara ungkapan, pemikiran, harapan dan impian yang dititahkan dan dizahirkan oleh Ke Bawah Duli Tuanku selama ini.

Akhirul kalam, Patik memohon keizinan Ke Bawah Duli Tuanku, untuk mengungkapkan rasa kasih hamba rakyat, terhadap Paduka Seri Tuanku melalui bait-bait Puisi Buat Tuanku.

Tuanku Paduka Seri
Menaiki takhta amanah negeri
Ikrar Berdiri di dustur Ilahi
Waad diberi setia dipateri
Tuanku Bijak Bistari
Darajat ilmuan takhta sultani
Menyuluh panca yang gelap budi
Membimbing hamba yang jahili
Tuanku Raja Pekerti
Menata adab menjaga diri
Menyulam adat penuh santuni
Takhta dinaiki penuh insafi
Tuanku Lembayung Negeri
Semua kisah pantas disempadani
Tidak membiar istana dicemuhi
Iktibar dan saran menjadi kemudi
Tuanku Raja Jauhari
Tidak mudah termakan puji
Meski pahit nasihat diberi
Segala musykil khusyu didengari
Tuanku Raja Bahari
Bersemayamlah dinaungi Ilahi
Pemerintah adil rakyat senegeri
Hamba setia amat menghormati
Pada sultan yang sangat dikasihi
Kepada Allah dipohonkan rahmat, taufik dan inayah agar Tuanku bersemayam, dengan sentiasa di dalam perlindungan Rabbul Jalil hendaknya.

Semoga Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri serta keluarga dan seluruh kerabat diraja, sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah Subhanahuwataala, sihat wal’afiat serta dilimpahi rahmat dan nikmat kesejahteraan, keimanan dan keberkatan untuk bertakhta di singgahsana, sebagai Sultan Negeri Perak Darul Ridzuan XXXV.

Patik persembahkan bingkisan waad yang bersimpul abadi, sekelian hamba rakyat menumpahkan taat setia buat Paduka Seri Tuanku, bersandarkan kitabullah dan adat yang bertatahkan syarak.

Patik dan sekalian hamba rakyat akan menguatkan daya, bagi menggalas kudrat, mempertahan tamadun sistem beraja, yang sekian lama menjadi dhamir, yang menggerakkan tatanan hidup berkerajaan.

Bagi sekelian yang arif, ketahuilah akan kita, raja itu zhillullah fil ard, khalifah, amirul mukminin dan ulil amri.

Manakala rakyat itu pula, hamba yang taat dan setia, berpegang kepada perlembagaan dan hukum beraja. Ya Allah, Ya Malik al-Quddus, Engkaulah Penguasa mutlak bagi seluruh bumi dan petala alam, yang menentukan segala bintang dan buruj beredar mengikut manzilahnya, Engkaulah yang menaikkan sesebuah pemerintahan dan sebaliknya.

Maka saat hari pertabalan yang mulia ini, sekelian hamba-Mu memohon kepada-Mu dengan penuh kesungguhan hati dan jiwa, peliharalah pemerintahan Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, atas jalan Sirat al-Mustaqim, insaf akan amanah yang akan dihitung oleh-Mu, jauhi segala mungkarat, dikurniakan jiwa mutmainnah dan kalbu yang sentiasa salim, tenang dan cekal menghadapi dugaan, berada di neraca keadilan.

Ampun Tuanku, pada hari yang bersejarah ini, segenap lapisan rakyat jelata, sama serentak -- sederap satu suara mengucapkan daulat buat Tuanku  Sultan Nazrin Muizzuddin Shah :

Daulat sebagai amanah daulah,
Daulat atas darajat yang diangkat oleh Allah
Daulat atas ati'ullah wa'ti urrasul wa ulil amriminkum. Daulat Tuanku …… Daulat Tuanku …..
Daulat Tuanku Ampun Tuanku Beribu Ampun, Sembah Patik Mohon Diampun.

Sekian, Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh

No comments: