Wednesday, 13 May 2015

KENALI AYAH ARKA 'KIPIDAP' 'KING OF REPORT'

Di sebalik nama Abdul Rani Kulup ‘king of report’

TAMPIL dengan beret merah, berbaju seragam berwarna hitam dan merah, berkaca mata hitam walaupun dalam dewan bertutup fully air-condition, memakai 4 bentuk cincin besar yang tidak pernah lekang dari jari hantu dan jari manis di kedua-dua tangannya dan yang paling sinonim dengan lagaknya adalah tongkat yang selalu di bawa ke mana sahaja, Abdul Rani Kulup Abdullah, 60, menarik perhatian ramai dalam setiap langkah yang diambilnya. 

Popular dengan gelaran 'Ayah ARKA', beliau mencetus fenomena baharu apabila sering membuat laporan polis berkaitan isu semasa terutamanya hal yang menyentuh agama Islam dan kedaulatan raja-raja Melayu.

Tampil bersahaja dengan rambut mencecah bahu, Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) itu, berkata, sehingga ke hari ini beliau sudah membuat hampir 1,000 laporan polis.
Katanya tujuan beliau membuat laporan polis kerana terpanggil ‘untuk menyelamatkan negara’ daripada terus dirosakkan oleh tangan-tangan jahat yang mahu mengganggu gugat keamanan negara.
“Kita dengar banyak kes-kes penghinaan terhadap agama, bangsa dan negara, kita juga ada orang yang sering mengeluarkan kenyataan yang berunsur hasutan.
“Jadi di sini peranan MJMM untuk beri peringatan kepada pihak-pihak ini supaya tidak berterusan melakukan onar dalam negara.
“Pada mulanya saya anggap perkara ini biasa sahaja (buat laporan polis), sebab semua orang boleh buat laporan, tetapi apabila ada sahaja isu-isu yang membabitkan perihal ancaman kepada negara, banyak pihak menyarankan MJMM buat laporan polis.
“Dah jadi ‘tukang lapor’ pula, padahal kita tiada apa-apa kepentingan. Mereka mengharapkan saya, sebab rakyat tidak gemar tentang perkara-perkara ini, mereka tidak buat laporan jadi saya tampil buat laporan,” katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Online.
Berbicara lanjut, Abdul berkata, beliau ikhlas dalam membuat laporan polis tersebut, tanpa dibiayai oleh sesiapa.
“Kami buat laporan polis ini bukan kerana dipengaruhi atau disuruh oleh mana-mana individu. Kami lakukan dengan ikhlas tanpa dibayar oleh mana-mana badan, sama ada NGO atau parti politik.
“Untuk rekod, saya sudah buat 1,000 laporan polis sejak dari 2011 berkaitan pelbagai isu dan terserah kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PRDM) untuk membawa mereka yang dilaporkan ini ke muka pengadilan.
“Banyak isu laporan saya itu telah diambil tindakan sebenarnya, jadi kita tidaklah boleh kata polis tidak ambil tindakan. Dengan hampir 1000 laporan dibuat saya, maka tidak hairanlah, orang cakap saya ‘king of report’,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Abdul Rani berkata, beliau akan terus membuat laporan polis selagi laporannya itu diperlukan dan tidak kisah jika ada sesiapa yang mengkritiknya.
“Saya tidak pernah rasa bosan, tak ada orang ikut saya pun, saya akan buat juga, demi keamanan, saya juga tidak takut dikritik,” katanya lagi.
Nasihat Tun M kepada Ayah Arka
Sementara itu, Abdul Rani mengakui pernah mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.
Menurutnya, Dr Mahathir sentiasa menyokong gerakan badan bukan kerajaan (NGO) serta menghormati setiap peranan dan pandangan NGO di negara ini.
“Beliau adalah orang lama, percakapannya mahal, sebutir ayat yang dikeluarkan tidak ternilai. Katanya, NGO boleh buat apa sahaja untuk kebaikan rakyat dan negara,” katanya lagi.
Tambah Abdul Rani Kulup, beliau turut menyifatkan kata-kata Dr Mahathir sebagai pembakar semangat dan perangsang untuk meneruskan perjuangan NGO di bawah pimpinannya.
“Dia banyak nasihatkan supaya kami tunaikan tanggungjawab kami, jangan berpihak mana-mana pihak. NGO ini sifatnya tidak memihak atau sokong kepada seseorang atau mana-mana parti.
“Kita perlu berbaik dengan pemimpin, jangan bermusuh dengan pemimpin. Kalau di Dewan Rakyat mereka berbahas, bergaduh, tapi mereka masih boleh berbaik dan minum bersama di luar,” katanya lagi.
Sumber : Sinar

No comments: