Wednesday, 8 April 2015

SEJARAH NAHAS UDARA MELIBATKAN VVIP MALAYSIA


UMUM mengetahui, kemalangan udara yang belaku di Semenyih pada 4 April lalu bukanlah  nahas pertama yang melibatkan orang kenamaan di Malaysia malah ia sudah berlaku sejak 1976 lagi.  Berikut adalah antara catatan nahas udara sama ada yang mengorbankan VVIP ataupun tidak :


6 Jun 1976
Kemalangan udara yang berlaku pada jam 3.50 petang ini mengorbankan Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens dan 10 VVIP yang lain termasuk menteri kabinet apabila pesawat buatan Australia milik Sabah Air itu, terhempas kira kira 2 kilometer dari landasan Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Kejadian yang menggemparkan negara dan dunia itu berlaku ketika pesawat itu hendak mendarat di Kota Kinabalu dari Labuan. Sepuluh yang lain terbunuh dalam nahas itu ialah:
1. Menteri Kerajaan Tempatan Sabah, Datuk Peter Mojuntin
2. Menteri Perhubungan dan Kerjaraya Sabah, Datuk Chong Tahin Vun
3. Menteri Kewangan Sabah, Datuk Salleh Sulong
4. Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri, Darius Binion
5. Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Wahid Andu
6. Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Syed Hussein Wafa
7. Setiausaha Sulit kepada Tengku Razaleigh Hamzah, Ishak Atan
8. Pengawal peribadi kepada Tun Fuad, Kopral Mohd Said
9. Juruterbang, Gandhi J Nathan
10. Anak kepada Tun Fuad Stephens, Johari2

4 Disember 1977
Ianya merupakan Kes nahas pertama dan paling teruk dalam sejarah MAS melibatkan kapal terbang MAS 653 yang terhempas di  Tanjung Kupang dan mengorbankan 100 nyawa. Kapal terbang MH 653 (Boeing 737-2H6) itu telah berlepas pada 7.21 petang dari Lapangan Terbang Pulau Pinang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang di Kuala Lumpur. Nahas tersebut meragut semua nyawa di dalam pesawat, termasuk Menteri Pertanian Malaysia, Datuk Seri Ali Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfuz Khalid, dan Duta Cuba ke Jepun, Mario Garcia.

10 Jan 1982
Menteri Luar Negeri, Tun Mohd Ghazali Shafie, 50, terselamat dari nahas pesawat apabila pesawat Cessna 206 yang dinaikinya terhempas di gunung Kampung Som Som Hilir berhampiran Kampong Janda Baik, 37.5km dari Kuala Lumpur. Pesawat itu dikatakan dalam perjalanan dari Kelab Penerbangan Diraja Selangor, Kuala Lumpur ke Kuala Lipis, kawasan pilihan raya yang diwakilinya. Mohd Ghazali terselamat kerana jatuh di atas rimbunan pokok buluh.

8 Mac 1987
Helikopter Alouette yang dinaiki Datuk Seri Najib Tun Razak, empat anak kapal dan penumpang dari Pekan ke Kuala Lumpur dilaporkan nahas di 49km Lebuhraya Karak-KL pada 8 Mac 1987.
Bagaimanapun, mereka semua selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

3 Mac 1997
Pengerusi DRB-HICOM Group dan Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Yahaya Ahmad, 50, dan isterinya, Puan Sri Rohana Othman, 48, antara tiga terbunuh dalam nahas melibatkan sebuah helikopter korporat.Kejadian berlaku pada 11.15 malam apabila pesawat itu meletup dan terhempas di barat daya Kuala Lipis, Pahang. Sisa helikopter itu dijumpai di Kampung Atong, Jeransang, Benta, Pahang pada 1.33 pagi, 4 Mac 1997, kira-kira 44 km barat daya Kuala Lipis. Helikopter berkenaan yang menuju ke Kuala Terengganu meninggalkan landasan di Segambut, Kuala Lumpur pada 10.45 malam. Helikopter jenis Agusta A 109E Power dengan nombor pendaftaran 9M-DRB milik Penerbangan Gadek itu ialah model pertama di dunia yang nahas.
5 Mei 2013
Helikopter yang dinaiki oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama keluarga dilaporkan mengalami masalah kawalan akibat angin kencang di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia, Sungai Besi. Akibatnya, pesawat yang dinaiki mereka terbalik kerana tiupan angin yang kencang. Walau bagaimanapun, mereka sekeluarga selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

4 April 2015
Helikopter jenis AS365N2 Dauphin yang dinaiki oleh Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1M) Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, 63, dan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alia terhempas di Kampung Sungai pening, Semenyih, Selangor. Kejadian yang berlaku pada 4.55 petang ini, mengorbankan enam orang termasuk Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1M) Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Azlin Alias. Mereka dalam perjalanan pulang dari Kuantan ke Subang selepas menghadiri majlis resepsi perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, Pahang.

No comments: