Friday, 10 April 2015

1MDB, ALTANTUYA DAN JAMBATAN BENGKOK JB-SINGAPURA PUNCA KRITIKAN TUN M TERHADAP NAJIB ???


Sejak timbulnya isu kritikan bertalu-talu Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak soalan yang paling hangat sekali berlegar ialah apakah sebenar puncanya?

Kebelakangan ini semua sedia maklum fokus kritikan Dr Mahathir bertumpu pada isu 1MDB dan siapa yang bagi arahan pada Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri bunuh Altantutya.

Khamis malam ramai yang tercari-cari jawapan itu ketika Perdana Menteri tampil menerusi ruangan Soal Jawab di TV3 untuk menjawab kritikan bekas Perdana Menteri itu.

Sepanjang rancangan selama sejam bermula 10 malam itu antara yang menarik ialah bila Najib memberitahu ada dua pekara yang Dr Mahathir minta sewaktu beberapa pertemuan diantara mereka.

Satu batalkan pemberian BR1M dan satu lagi bina jambatan bengkok di Tambak Johor ke Singapura.

Semua orang tahu isu jambatan bengkok menjadi punca utama Dr Mahathir mengkritik Tun Abdullah Badawi dulu hingga membawa kepada perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Apakah Najib berdepan hal yang sama?

Sekalipun Perdana Menteri tidak beritahu secara spesifik beliau menolak kedua-dua permintaan Dr Mahathir namun andaian itu dapat dibuat dari jawapannya.

Katanya ," beliau mahu dua perkara saya buat.Beliau hendak saya batalkan BR1M dan ( buat) jambatan bengkok.Saya beri pandangan saya mengenai isu ini.Saya anggapnya sebagai perbincangan antara dua individu.

"Ia sesuatu yang sihat untuk berbeza pendapat,namun akhirnya saya terpaksa bertangggongjawab pada rakyat dan parti."

Najib membayangkan isu berkenaan telah dibawa dalam perbincangan kabinet dimana keputusan telah dibuat.

Mengenai BR1M,Perdana Menteri tetap mempertahan langkah kerajaan memberi bantuan berkenaan.

Beliau berkata, pemberian BR1M bukan keputusannya seorang saja.

Sebaliknya ia dicadangkan oleh Jawatankuasa Dasar Fiskal untuk memberi timbal balas kepada golongan berpendapatan rendah berikutan pengurangan dan pemansuhan subsidi.

Katanya ia adalah satu bentuk jaringan keselamatan sosial untuk golongan itu dan bukan satu 'handout seperti yang didakwa.

Menurutnya banyak negara juga mempunyai sistem jaringan keselamatan sosial dalam pelbagai kaedah bagi membela nasib rakyat mereka.
Mengenai isu Altantuya Perdana Menteri nampak macam hairan mengapa Dr Mahathir membangkitkan kes yang sudah selesai di mahkamah.

Baginya ia seolah mempersoalkan integriti mahkamah.

Katanya semasa pertemuan mereka di masa lalu hal seperti diperkatakan oleh bekas Perdana Menteri itu sekarang tidak pernah berbangkit.

"Jadi, saya rasa perkara ini tidak berbangkit sama sekali," katanya.

Perdana Menteri turut mengulangi kenyataan dibuat pada tahun 2008 bahawa beliau tidak mengenali Altantuya dan tidak terbabit secara langsung atau tidak dengan kes pembunuhan itu.

"Ini cerita 2008, dah lama dah. Sebenarnya, saya sudah lafazkan sumpah tiga kali, termasuk di sebuah masjid di Permatang Pauh pada 2008, bahawa saya tidak mengenali Altantuya, saya tidak terlibat sama sekali sama ada secara langsung atau tidak.

"Pihak polis telah menjalankan siasatan. Pada masa itu Pak Lah sebagai Perdana Menteri telah melaporkan dan Ketua Polis pada masa itu juga sudah buat kenyataan saya tidak terlibat," katanya.

Mengenai isu 1MDB,Najib meminta agar beri masa kepada Ketua Audit Negara membuat siasatan dan kemudian Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"Dalam PAC ada wakil dari pembangkang, mereka boleh bincangkan laporan Ketua Audit Negara. Biarlah proses ini berjalan, bagi tempoh tapi perlu buat dengan seberapa segera yang boleh, siasatan yang rapi.

"Saya nak rakyat tahu sebab saya telah beri jaminan bahawa dalam urusan 1MDB kalau ada salah guna kuasa, kita tidak akan pertahankan sesiapa," katanya.

Perdana Menteri menegaskan beliau sendiri tidak boleh menerima jika berlaku salah guna kuasa dalam 1MDB dan memberi jaminan tidak akan mempertahankan sesiapa yang berbuat demikian.

Katanya beliau sendiri hendak tahu betulkah wang 1MDB digunakan untuk buat filem.

"Saya juga minta Ketua Audit Negara tolong sahkan ada ke tidak dana 1MDB ini disalah gunakan untuk membuat filem dan yang seumpamanya, saya nak tahu," katanya.

Ini merujuk kepada dakwaan konon wang 1MDB digunakan buat filem 'The wolf of Wall Street' yang melibatkan anak tirinya Riza Aziz.

Najib memberitahu 1MDB adalah sebuah badan yang disifatkan sebagai sebuah syarikat pelaburan bermula dengan dana sebanyak RM1 juta.

Ia berbeza dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah Nasional Berhad dan badan lain yang diberi pelbagai suntikan modal.

"Bila 1MDB nak mengembangkan perniagaannya terpaksa meminjam. Tetapi ingin saya tegaskan, aset yang diperoleh oleh 1MDB melebihi liabiliti. Kita perlu memberi masa kepada 1MDB membangun atau mencairkan aset ini supaya dapat melunaskan hutangnya," katanya.

Mengenai dakwaan 1MDB memindahkan sejumlah dana ke akaun sulit di Pulau Cayman,Perdana Menteri menjelaskan duit itu sebenarnya tidak berada di Pulau Cayman.

"Ia adalah pendaftaran saja, ada 200 syarikat Malaysia mempunyai akaun di Pulau Cayman. Tiada salahnya mereka simpan duit ini di luar sebab mereka ada hutang dalam bentuk hutang luar. Jadi, daripada mereka bawa balik ke Malaysia, lebih baik mereka simpan di luar sebab dapat keuntungan dari segi foreign forex dan sebagainya.

"Masa akan menentukan tapi dalam masa tertentu duit itu akan dibawa balik ke Malaysia. Tiada isu juga dengan Bank Negara kerana sistem kita bebas, namun apa-apa kita nak buat pun dengan pengesahan daripada Bank Negara, jadi mereka tahu pergerakan ini," katanya.

Najib mengakui kritikan Dr Mahathir terhadapnya agak pedih sekalipun beliau terbuka kepada kritikan.

"Tapi saya terimalah. Ini asam garam politik, bukan semua keadaan akan wujud keadaan yang tenang dan selesa sepanjang masa. Kritikan ini saya terima, walaupun pedih tetapi pokok pangkalnya saya bertanggungjawab jawab kepada rakyat dan parti. Selagi di beri amanah, saya tetap akan teruskan untuk rakyat dan parti," katanya.

Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau sentiasa menghormati Dr Mahathir dan tidak benarkan bekas Perdana Menteri itu datang ke rumahnya bila hendak bertemu.

Sebaliknya beliau sendiri ke rumah Dr Mahathir.

"Saya tetap menghormati Tun Dr Mahathir seperti mana saya menghormati rakyat Malaysia yang lain. Saya meneliti, menimbang kewajaran setiap kritikan itu tetapi saya perlu tegaskan, pada kesudahannya saya perlu membuat keputusan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Ditanya mengenai dakwaan Dr Mahathir, BN akan tumbang di bawah kepemimpinannya, Najib tetap yakin BN dapat memenangi pilihanraya umum ke 14 nanti.

"Itu pendapat peribadi Tun M. Soal kejayaan pada UMNO, BN bergantung kepada kekuatan kita. Kekuatan kita akan menjadi sesuatu kenyataan kalau kita padu dalam parti, tidak berbalah sesama kita dan tidak ada unsur sabotaj dalam parti. Saya yakin kita boleh menang dalam Pilihan Raya Umum akan datang," katanya.

Perdana Menteri berpendapat BN tidak akan goncang akibat dari asakan pihak luar sebaliknya boleh parah jika ada pergolakan dalaman.

Ditanya pula mengenai masa depan hubungannya dengan Dr Mahathir,Perdana Menteri berkata biarlah masa yang menentukan.

“Saya beriltizam untuk menyerahkan kedudukan saya kepada rakyat dan parti. Bukan bererti saya tidak menghormati mana-mana individu. Itu soal individu tetapi pada hakikatnya saya mesti serahkan kedudukan saya pada rakyat dan parti,” katanya.

No comments: