Tuesday 31 March 2015

SAKSIKAN FENOMENA GERHANA BULAN PENUH, SATU-SATUNYA DI MALAYSIA TAHUN 2015 PADA SABTU INI


KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh pada 4 April ini, satu-satunya gerhana bulan yang dapat dilihat di Malaysia pada tahun ini.


Mengikut satu kenyataan yang dikeluarkan Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) di sini pada Isnin, fasa fenomena tersebut bermula pada 5.01 petang, iaitu bulan memasuki bayang-bayang penumbra.

Kemuncak gerhana berlaku pada 8 malam dan fenomena itu berakhir pada 10.59 malam, iaitu bulan keluar dari bayang-bayang penumbra.

Menurut kenyataan itu, di Sabah, bulan akan terbit lebih awal berbanding di semenanjung iaitu sekitar 6 petang dan untuk itu penduduk di Sabah dapat menyaksikan fenomena tersebut bermula dari fasa separa sehingga tamat keseluruhan gerhana.


“Di semenanjung pula, bulan hanya akan terbit sekitar 7.20 malam dan ini bermakna fasa gerhana bulan penuh bermula sejurus selepas bulan terbit,” menurut kenyataan berkenaan.

Lokasi terbaik untuk melihat fenomena tersebut adalah di kawasan yang paling timur dengan ufuk yang tidak terlindung.

Sehubungan itu, ANGKASA dan Jabatan Mufti Selangor akan mengadakan program pencerapan bulan dan planet Musytari, melihat bintang Sirus dan buruj Belantik (Orion) di perkarangan Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Selangor.

Selain itu, ANGKASA juga akan membawa Mini Planetarium bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menonton tayangan filem pendek astronomi secara percuma.

Untuk mendapatkan perkembangan terkini tentang fenomena tersebut, orang ramai boleh melayari laman sesawang, Facebook dan Twitter: Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) atau hubungi talian 03-22734403/5484. – BERNAMA

1 comment:

IBU RISKA said...
This comment has been removed by a blog administrator.