Bukan pertama kali diperkatakan, gosip tentang rumahtangga diva sensasi, Anita Sarawak pernah beberapa kali dibangkitkan.
Namun baru-baru ini, ia sekali lagi menjadi panas dalam dunia seni tempatan, sementelah penyanyi itu masih belum pulang dari merawat kekecewaanya di Las Vegas, Amerika Syarikat sejak beberapa tahun lalu.
Entah mana silapnya, beliau yang dikenali dengan panggilan Kak Nita, langsung tidak dapat dihubungi oleh media tempatan.
Enggan membiarkan isu ini terus disalah tafsir peminat dan pengikut industri hiburan, akhirnya, adik tiri kepada Kak Nita, iaitu Noorkumalasari bersuara menjawab persoalan tersebut.
Ujar bekas model, pelakon dan penyanyi itu, rumahtangga Anita masih utuh dan beliau masih lagi bersama dengan suaminya, Mahathir Abdullah.
“Kali terakhir saya berbual dengannya menerusi telefon kira-kira dua bulan lalu dan saya sendiri bertanya kepadanya tentang gosip mengatakan dia sudah berpisah dengan Mahathir dan dia memberitahu perkara itu tidak benar.
“Laporan yang keluar mengenai perkara itu adalah fitnah dan ini bukan perkara baru. Paling baik mendoakan kebahagiaannya dengan suaminya.”
Tambah Noorkumalasari lagi, kakaknya itu kini memilih untuk menjadi suri rumah sambil menguruskan perniagaannya bersama suami.
“Kehidupannya adalah di Las Vegas malah dia tidak berhasrat untuk pulang ke Malaysia dalam masa terdekat ini.
“Bukannya kerana dia sudah bercerai atau ingin mengelak daripada sesiapa sebaliknya dia gembira dengan kehidupannya sebagai suri rumah selain menguruskan bisnes bersama suami.”
- MYNEWSHUB.CC
1 comment:
Post a Comment