Sunday, 22 February 2015

PUNTUNG ROKOK PENUMPANG PUNCA FERI KE LANGKAWI BERASAP


LANGKAWI : Lebih 400 penumpang yang dalam perjalanan dari Kuah ke Kuala Kedah, cemas apabila feri yang mereka naiki tiba-tiba diselubungi asap ketika berada di perairan Langkawi, hari ini.


Kejadian berlaku pada kira-kira jam 12.35 tengah hari ketika feri dua tingkat itu berlepas kira-kira 20 minit dari jeti Kuah menuju ke Kuala Kedah.

Difahamkan, sejurus kepulan asap dikesan, anak kapal segera mengarah penumpang memakai jaket keselamatan sebelum feri berpatah balik ke jeti Kuah.

Feri terbabit bagaimanapun selamat tiba di jeti Kuah jam 12.55 tengah hari dan semua penumpang kemudian dipindahkan ke feri gantian untuk ke Kuala Kedah.

Seorang petugas feri yang enggan dikenali, berkata kepulan asap yang dikesan dalam feri dipercayai berpunca daripada tindakan seorang penumpang yang menghisap rokok dalam tandas feri.

“Penumpang terbabit dikesan meletak puntung rokok atas rak dalam tandas yang diperbuat daripada gentian kaca menyebabkan berlaku kebakaran kecil.

“Akibat kebakaran kecil itu asap telah masuk ke ruang penumpang dan berlaku suasana panik tetapi terkawal,” katanya.  -  BH

Post a Comment