Friday 13 February 2015

AWAS !! BEBOLA IKAN DI PASARAN TEMPATAN DI CAMPUR PLASMA DARAH BABI !!!


KUALA LUMPUR – Pengguna beragama Islam dinasihatkan supaya tidak membeli dan memakan bebola ikan yang kebanyakannya dijual di pasaran kerana dikhuatiri mengandungi plasma darah haiwan termasuk babi.


Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal Jabatan kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd. Amri Abdullah mendakwa, plasma darah haiwan yang digunakan adalah terdiri daripada ayam, lembu dan babi bertujuan untuk mencantikkan serta menambah kualiti bebola ikan supaya menjadi lebih kenyal.

Menurutnya, laporan saintifik mendapati anggota dalaman dan luaran babi mampu menghasilkan 185 produk mi­salnya, usus haiwan itu boleh digunakan dalam pro­ses pembuatan sarung sosej manakala darah atau serum haiwan berkenaan ditemui dalam vaksin serta ubat.

“Berdasarkan hukum syarak, produk makanan yang me­ngandungi mana-mana bahagian haiwan yang tidak halal dan anggota manusia adalah tidak dibenarkan (untuk dimakan),” jelasnya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pensijilan Halal Jakim: Integriti Menangani Skandal dan Isu-Isu Berkaitan Halal di Malaysia pada Seminar Industri Halal di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini semalam.

Plasma darah merupakan bahagian cecair haiwan tidak berwarna dan diproses menjadi bentuk serbuk yang digunakan untuk menambah kepejalan dan keke­nyalan sesuatu produk.

Bebola ikan pula diperbuat daripada isi ikan jenis tenggiri atau kembung dan dikisar sehingga hancur serta dicampur dengan tepung ubi atau tepung jagung sebelum direbus untuk dimakan.

Menurut Mohd. Amri, pengguna Islam kini perlu berhati-hati dengan memastikan terlebih dahulu hanya bebola ikan yang mempunyai sijil halal dibeli di pasaran.

Tambah beliau, bagi memudahkan umat Islam ketika membeli barangan tanpa was-was, mereka perlu melihat sijil halal Jakim terlebih dahulu kerana ia terjamin halal, bersih, selamat, berkualiti dan dijamin.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Khan Ayob berkata, berdasarkan hukum syarak penggunaan plasma darah daripada haiwan sememang­nya haram.

Jelas Mohd. Khan, lazimnya para pengeluar gemar menggunakan plasma darah haiwan dalam pembuatan makanan di­sebabkan ia murah dan mudah didapati,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

No comments: