Saturday, 20 December 2014

MESEJ TIDAK BENAR MENGENAI CAJ 6% GST KE ATAS JUMLAH PENGELUARAN MELALUI MEPS


AUTA

SATU mesej viral tersebar mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dikenakan kepada pengeluaran wang di mesin teler automatik (ATM).Menurut mesej itu, jika sebelum ini perkhidmatan pengeluaran wang tunai di ATM melalui MEPS dikenakan caj RM1 bagi setiap transaksi, caj itu akan meningkat kepada enam peratus daripada jumlah wang yang dikeluarkan apabila GST diperkenalkan pada 1 April 2015.

"Contoh: (Pengeluaran sebanyak) RM100, cajnya RM6," menurut mesej itu yang memetik seorang pegawai di sebuah bank sebagai sumber.

Mesej itu turut menasihati orang ramai mengeluarkan wang di ATM milik bank masing-masing bermula tahun depan untuk mengelakkan caj enam peratus itu.

MEPS adalah perkhidmatan yang membolehkan pemegang akaun di sebuah bank mengeluarkan wang tunai melalui ATM di bank lain.

FAKTA

SHAH ALAM - Mesej yang mendakwa pengeluaran wang tunai melalui MEPS di ATM akan dikenakan GST sebanyak enam peratus dari jumlah pengeluaran adalah tidak benar.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, GST yang akan dikenakan kepada transaksi ATM jika wang dikeluarkan melalui MEPS ialah enam peratus daripada kadar caj yang dikenakan MEPS, dan bukan berdasarkan jumlah pengeluaran wang.

"Perkhidmatan yang mengenakan fi atau yuran memang tertakluk kepada GST, contohnya seperti perkhidmatan MEPS.

"Tetapi, kalau pengeluaran wang di ATM bank sendiri tiada apa-apa caj GST," katanya kepada Sinar Harian.

Kadar caj yang dikenakan MEPS kini adalah RM1 bagi setiap transaksi ATM antara bank-bank tempatan.

MEPS dalam laman webnya memaklumkan bermula 1 April 2015, pemegang kad bank tempatan akan dikenakan caj RM1.06, termasuk enam peratus GST bagi setiap transaksi.

Caj berbeza yang dikenakan kepada bank luar negara turut akan dikenakan GST.

Post a Comment