Saturday, 13 December 2014

DATUK NUR JAZLAN BERPATAH ARAH ?? RELA HILANG JAWATAN DALAM UMNO ???


KUALA LUMPUR – “Saya sudah tidak kisah soal kedudukan politik saya lagi,” demikian reaksi Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed ketika diminta mengulas soal kehadirannya ke forum 'Freedom of Expression Under Threat?', di sini, semalam.


Menurutnya, beliau mahu menggunakan peluang yang dimilikinya selagi ada untuk menyuarakan pandangannya.

"Soal karier politik saya dah tak fikir dah. Saya tak kisah tentang kedudukan saya dalam parti. Sebab saya dah sampai peringkat umur yang sudah terlalu tua untuk bercita-cita nak pegang apa-apa jawatan.

"Tapi saya nak gunakan peluang dan platform yang saya ada ini untuk menyuarakan ini...hentikan politik secara berlawan dan ambil pendekatan politik yang lebih konsensus," katanya kepada Sinar Online.

Turut hadir pada forum tersebut ialah aktivis pelajar, Adam Adli; Pengerusi Hak Asasi Manusia (Hakam), Datuk S Ambiga; Pengasas Pusaka, Eddin Khoo dan Pengarah Artistik The Instant Cafe Theater Company, Jo Kukathas.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan memberitahu, tindakannya yang sering tampil berdepan dengan pihak lawan atau pihak yang tidak bersetuju dengan dasar kerajaan hanyalah satu usaha perubahan yang cuba dibuat untuk partinya.

"Saya pun tak akan masuk parti pembangkang kerana saya tak percaya dengan apa yang mereka buat tapi saya nak cuba buat perubahan dalam parti saya sendiri.

"Kalau ada orang yang berani dalam parti sendiri yang cuba nak mengubah cara parti atau kerajaan menjalankan tanggungjawab itu, saya nak jadi peloporlah," katanya.

Namun, beliau berkata, jika tindakan itu bakal menjadi penamat kepada perjalanan politiknya, beliau menerima perkara tersebut.

'Kalau ia akhirnya akan mengorbankan saya dalam politik, tak apalah.

"Berapa ramai yang sanggup mengambil risiko tinggi? Saya sanggup jadi saya buat," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, corak berpolitik di negara ini perlu berubah ekoran pemikiran rakyat yang semakin matang.

"Politik 'bertentangan' sudah tidak boleh digunakan lagi pada masa hadapan sebab rakyat makin lama makin matang dan mereka nak lihat satu kerajaan yang boleh mendengar semua pihak.

"Tapi kalau kita hanya bersifat melawan, maknanya hanya (mendengar) kehendak sebahagian orang yang menyokong parti, itu sudah tentu merugikan negara. Sepatutnya ada lebih konsensus...perbincangan untuk rakyat," katanya.

Post a Comment