Mantan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said hari ini membuat laporan polis berhubung salah guna namanya untuk mendapatkan satu kawasan pembalakan yang dikenali sebagai skim kilang papan oleh seorang individu yang bergelar Dato’.
“Dato’ Gulam Fazillah Abd Khalil telah menggunakan nama saya bagi mendapatkan wang sebanyak RM1.8 juta daripada Pengurus Kilang Papan Jaya Seberang Takir.
“Pengurus tersebut (Toh Lam Eng) telah membayar wang tersebut kepada Dato’ Gulam kerana mempercayai yang beliau rapat dengan saya dan akan memberi satu kawasan pembalakan,” katanya.
Beliau ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu hari ini.
Menurut Ahmad, beliau tidak pernah mengenali Gulam Fazillah yang disebut itu.
“Saya sendiri tidak pernah mengenali nama yang disebut ini tapi saya percaya dia berasal dari Pulau Pinang berdasarkan nombor kad pengenalan yang tertera.
“Kes ini saya sedari apabila seseorang datang berjumpa dan menceritakan pengurus syarikat tersebut marah kerana tidak dapat kawasan balak itu pada bulan September lalu,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment