Tuesday 25 November 2014

TAHNIAH ! WAKIL ALOR GAJAH JUARA SULUNG PIDATO PIALA PRESIDEN UMNO

UMNO 2014 / TAKLIMAT PRESIDEN

Wakil Bahagian Alor Gajah, Mustafa Musa, 50 dinobatkan sebagai juara sulung Pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014, hari ini.

Mustafa yang pernah menjadi pembahas pada Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu dilihat tenang membahaskan tajuk ‘UMNO Sentiasa Berjasa Kepada Semua’ ketika menewaskan 11 pemidato pada pusingan akhir.
Hadiah disampaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak selepas majlis taklimat tertutup perwakilan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Mustafa memenangi hadiah wang tunai RM10,000, piala pusingan dan sijil penyertaan.
Sementara itu, tempat kedua diraih pemidato dari Bahagian Keningau, Khairulnizam Ryan Lasio, 36 manakala ketiga ialah wakil Bahagian Kelana Jaya, Mohd Ikhwan bin Mohd Rosseli, 25.
Pusingan akhir Pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO yang diadakan pagi tadi membabitkan 12 peserta yang terpilih daripada 217 pemidato yang bertanding mewakili 191 bahagian sebelum ini.
Mustafa berkata, UMNO perlu meneruskan usaha melahirkan lebih ramai pemidato serba boleh dan mampu meyakinkan rakyat bagi menerangkan dasar baharu yang dibawa kerajaan ketika ini.
Beliau berkata, UMNO terutama Biro Penerangannya harus lebih agresif membentuk barisan pemidato yang dapat berhujah dan memberi ceramah secara spontan seperti dilakukan pembangkang.
“Kalau kita perhatikan parti pembangkang mereka tidak pernah tewas dengan pidato spontan dan mempunyai kekuatan dari segi mempengaruhi pemimpin, mempengaruhi rakyat sehinggakan rakyat terpedaya walaupun dia membawa dakyah yang palsu,” katanya.

No comments: