Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada Perhimpunan Agung Umno bahawa Akta Hasutan 1948 akan dikekalkan dan diperkukuhkan. Perkara itu dinyatakan ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada pagi hari ini, Khamis.
27 NOV : Akta Hasutan 1948 akan terus dikekalkan malah bukan sahaja dipertahankan tetapi ia juga akan diperkukuhkan.
Ia diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2014, Khamis yang terus disambut dengan tepukan gemuruh daripada perwakilan.
Dua perkara baru yang akan dimasukkan dalam perincian Akta Hasutan itu adalah melindungi kesucian agama Islam malah agama lain juga tidak boleh dihina.
“Yang kedua ambil tindakan terhadap sesiapa yang cuba menghasut Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia,” katanya.
Tambah Perdana Menteri, keputusan mengekalkan Akta Hasutan ini dibuat setelah beliau mendengar maklum balas daripada timbalannya, pimpinan UMNO, usul-usul yang dibuat oleh UMNO bahagian, Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan pihak lain-lain.
“Inilah hasrat kita dan saya percaya rakan-rakan dalam Barisan Nasional bersama kita semua supaya dapat mewujudkan Malaysia lebih aman, harmoni dan stabil,”katanya.
Menurut Najib berhubung masa depan Melayu dan bumiputera, beliau memberi jaminan akan terus berjuang demi kelangsungan bangsa sebagai penyambung lidah perjuangan Melayu.
“Mana mungkin saya biarkan keturunan dan bangsa saya dihina hingga menjadi bangsat di tanah air sendiri,” katanya dengan penuh tegas.
Solidariti yang ditekan dari awal ucapannya menekankan agar seluruh rakyat negara ini untuk terus mengekalkan semangat kebersatuan yang selama ini menjadikan Malaysia terus aman dan makmur.
Beliau menyentuh mengenai insiden pencerobohan pengganas dari selatan Filipina pada Februari 2013, tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 pada 8 Mac lalu dan tragedi MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai lalu.
Beliau berkata, semua tragedi itu telah membawa rakyat di negara ini bersatu untuk menghadapinya dengan tabah dan beliau menyifatkan ia “Inilah lambang Solidariti.”
“Rakyat Malaysia secara keseluruhan menunjukkan semangat muafakat yang cukup luar biasa. Khususnya pada hari berkabung. Kita ingin semangat persatuan ini diteruskan sampai bila-bila. Inilah lambang perpaduan yang dinamakan Solidariti,” katanya.
Ucapan dasarnya itu dilakukan di hadapan 2,752 perwakilan dari seluruh negara pada Perhimpunan Agung UMNO 2014, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.
Terdahulu Perhimpunan tahunan kali ke-68 ini membuka tirai dengan majlis perasmian dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang dan bendera Umno ‘Sang Saka Bangsa’, nyanyian lagu Negaraku dan lagu parti ‘Bersatu, Bersedia, Berkhidmat’ di Plaza Merdeka, sebelum beralih ke Dewan Merdeka.
Ibu Pejabat UMNO menerima 755 usul daripada 191 bahagian di seluruh negara yang merangkumi 638 usul untuk rujukan dan 117 usul tanpa bahas.
Daripada jumlah itu, 121 usul menyentuh soal pendidikan, diikuti 87 politik, 81 pindaan perlembagaan parti, 74 agama, 67 ekonomi, 170 isu sosial, dan 38 mengenai hal-hal lain.- bnbbc.my
SEMENTARA itu..... Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini yang bersetuju untuk mengekalkan Akta Hasutan.
Beliau berkata, pengekalan akta tersebut penting bagi mengelakkan kebebasan yang diberikan disalah guna sehingga menimbulkan kekacauan dalam negara. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment