
PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat ketua eksekutif sebuah firma dari China, Li Yang yang mendakwa pernah membayar kira-kira AS$100,000 (RM336,501.90) kepada ahli politik Barisan Nasional (BN).

Bayaran berkenaan didakwa bertujuan mendapatkan gelaran ‘Datuk’ bagi memudahkan operasi perlombongan di Bukit Besi, Terengganu.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Li bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dakwaan tersebut.

“Dakwaan yang dibuat oleh Li boleh merosakkan nama dan imej pihak istana kerana kemungkinan ada pihak tengah yang cuba mengambil kesempatan meminta wang daripada ahli-ahli perniagaan.

“SPRM akan bertindak tegas jika benar wujud perbuatan meminta wang sogokan atau rasuah daripada ahli-ahli perniagaan bagi memudahkan operasi mereka,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Li, ketua eksekutif CAA Resources, memberitahu New York Times (NYT) dengan mendakwa dia membayar kira-kira AS$100,000 kepada beberapa ahli politik yang mempunyai kepentingan tidak langsung dalam lombong itu.

Menurut laporan itu, Li, 27, yang merupakan anak lelaki hartawan besi di China, didakwa berbuat demikian sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk ‘membina hubungan’ dengan ahli politik dan pihak istana. - mstar.

No comments:
Post a Comment