Wednesday 22 October 2014

KERETA PEGAWAI KASTAM HANGUS TERBAKAR DI BALING MOLOTOV COCKTAIL


JITRA : Sebuah kereta Perodua Kelisa milik seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia terbakar di kediamannya di Taman Bukit Indah pagi Rabu tadi dipercayai angkara perbuatan khianat individu tidak dikenali. 

Kereta milik mangsa, Roslan Othman, 56 itu terbakar selepas dipercayai terkena 'molotov cokctail' yang dibaling dari luar rumah dalam kejadian pukul 5 pagi. 




Roslan berkata kejadian itu disedarinya selepas menerima panggilan telefon daripada seorang jiran yang ternampak api sedang marak pada kereta di depan rumahnya. 

"Bila saya keluar api dah marak dan saya bersama anak bergegas memadam api dengan air sebelum menunggu bantuan daripada pihak bomba," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya. 

Beliau yang bertugas di Unit Dagangan Kastam Bukit Kayu Hitam berkata,beliau bernasib baik kerana api tidak merebak ke rumahnya dan sebuah lagi kereta yang terletak di hadapan kereta yang terbakar. 

Roslan berkata beliau tidak menolak kemungkinan kejadian itu disebabkan perbuatan khianat memandangkan pihak polis yang datang membuat pemeriksaan turut mengesan kewujudan serpihan botol plastik dipercayai berisi cecair mudah terbakar.  

Katanya perbuatan khianat ini merupakan kali kedua berlaku terhada pkeluarganya selepas rumahnya sebelum ini pernah dikejutkan dengan tembakan rambang pada 2010. 

Katanya beliau bersyukur kerana tiada kecederaan ke atas dirinya, isteri dan empat anaknya walaupun terpaksa menanggung kerugian hampir RM30,000 akibat kejadian itu. 

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Abd Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. 

Katanya siasatan awal pihaknya menemui serpihan bekas plastik berwarna hijauyang terbakar dan berbau petrol di belakang kereta mangsa. 

"Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.