Wednesday, 2 July 2014

KADAR BAYARAN PERMIT MASUK KENDERAAN KE SINGAPURA AKAN DINAIKKAN MULAI 1 OGOS


KUALA LUMPUR 1 Julai - Kadar bayaran Permit Masuk Kenderaan (VEP) bagi kenderaan berdaftar di luar negara yang mahu memasuki Singapura bakal dinaikkan daripada S$20 (RM51.44) kepada S$35 (RM90) sehari, berkuat kuasa mulai 1 Ogos depan.

Manakala, bayaran Permit Kenderaan Barangan (GVP) berdaftar di negara luar pula dinaikkan daripada S$10 (RM25.72) kepada S$40 atau RM102.88 sebulan berkuat kuasa mulai tarikh sama.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura, dalam satu kenyataannya, berkata kenaikan itu adalah sebahagian daripada semakan bayaran VEP dan GVP yang dibuat dari semasa ke semasa bagi memastikan kos memiliki dan menggunakan kenderaan yang berdaftar di luar negara setara dengan kenderaan yang berdaftar di Singapura.

Katanya, tindakan itu perlu kerana perbezaan jurang kos memiliki kenderaan di Singapura dan negara lain yang sejak beberapa tahun lalu.

“Kenaikan bayaran VEP hanya dikenakan ke atas kereta yang berdaftar di luar negara dan tidak menjejas bas dan teksi. Bayaran VEP bagi motosikal yang berdaftar di luar negara kekal sebanyak S$4 (RM10.29) sehari.

“Semua kereta dan motosikal yang berdaftar di luar negara akan terus menikmati hari dan waktu berikut yang tidak dikenakan bayaran VEP iaitu Sabtu, Ahad dan Hari Cuti Umum Singapura; 10 hari biasa setahun dari Isnin hingga Jumaat, dan dari 5 petang hingga 2 pagi pada hari lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bagaimanapun, LTA berkata pemilik kenderaan barangan yang berdaftar di luar negara boleh terus mendapatkan GVP dengan bayaran sekarang iaitu S$10 (RM25.72) di sepanjang Julai ini.

Manakala, GVP yang mempunyai tempoh kesahan selepas Julai 2014 akan dikenakan bayaran S$40 atau RM102.88 sebulan.

“LTA juga akan terus menyemak bayaran VEP dan GVP dari masa ke masa untuk mengambil kira perubahan dalam kos pemilikan dan penggunaan kenderaan berdaftar di luar negara dan di Singapura.

“Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai bayaran VEP dan GVP yang sudah disemak untuk kereta dan kenderaan barangan berdaftar di luar negara boleh didapati di
Pusat Pemeriksaan Woodlands atau melayari laman web ww.lta.gov.sg atau talian 1800-2255 582 atau 65-62255 582 (jika anda di Singapura),” katanya.

No comments: