Wednesday, 4 June 2014

SIAPA BOCORKAN MAKLUMAT KEPUTUSAN MAKMAL MENGENAI DNA BABI DALAM COKLAT CADBURY ???


PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan akan menjalankan siasatan dalaman berhubung kebocoran keputusan makmal sebelum ini yang mengesan DNA babi dalam dua produk coklat Cadbury.


Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mencari penyelesaikan terhadap kekeliruan yang timbul daripada perbezaan penemuan ke atas dua produk makanan itu di makmal Jabatan Kimia baru-baru ini.

“Sekarang kita cuba bekerjasama dan berharmoni tentang kedua-dua kaedah kajian DNA itu, antara makmal kementerian dan makmal Jakim iaitu Jabatan Kimia.

“Sebarang berkaitan status halal itu di bawah Jakim, KKM hanya membantu untuk membuat siasatan, ambil sampel dan buat pemeriksaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Kesihatan Antarabangsa 2014 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom semalam yang mengesahkan tiada DNA babi dikesan dalam dua produk coklat Cadbury.

Keputusan tersebut dikeluarkan oleh Jabatan Kimia yang mengesahkan produk Cadbury Roasted Almond dan Cadbury Hazelnut bebas daripada DNA babi.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan mengesahkan menemui DNA babi (porcine) dalam dua produk coklat susu Cadbury Dairy Milk.

Isu itu mula tersebar luas pada 23 Mei lalu yang seterusnya membawa kepada pihak Jakim mengadakan mesyuarat khas bersama KKM, Jabatan Standard dan Jabatan Kimia pada 24 Mei.

Mengulas lanjut, Hilmi menambah keputusan KKM sebelum ini merupakan ujian peringkat pertama dan sebelum sempat pihaknya membuat ujian kedua ke atas sampel Cadbury itu, penemuan tersebut telah disebarkan di media sosial.

“Keputusan itu keluar sebelum kami sempat sahkannya, biasanya jika kami temui sesuatu kita akan periksa semula.

“Kalau kementerian temui sesuatu yang tidak elok, kita akan periksa sekali lagi dan uji semula, belum pun kita cek dia (keputusan) sudah keluar,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga akan menjalankan siasatan ke atas individu dalam kementerian yang terbabit menyebarkan hasil kajian pertama itu.

“Kalau kita didapati pegawai itu bersalah dan tidak ikut prosedur dan peraturan SOP, kita akan ambil tindakan.-SH.

No comments: