Friday 13 December 2013

MAHU JERNIHKAN HUBUNGAN - ANUAR MUSA LEPASKAN SEMUA JAWATAN BOLASEPAK


KUALA LUMPUR  -   Tan Sri Annuar Musa membuat keputusan mengejut dengan melepaskan semua jawatan dalam persatuan bola sepak termasuk jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkuat kuasa serta-merta.

Annuar berkata beliau turut akan melepaskan jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bermula dari tempoh penggantungan beliau sejak 4 April 2012 selain menarik diri daripada mengganggotai Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara bagi memastikan FAM mempunyai wakil dalam jawatankuasa berkenaan.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Ketereh berharap tindakan tersebut dapat menjernihkan semula hubungan dingin antara Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dengan FAM berikutan perlantikan beliau dalam jawatankuasa itu yang mendapat bantahan daripada FAM.

"Bagaimanapun saya akan terus membantu bola sepak negara amnya dan bola sepak Kelantan khususnya atas sifat saya sebagai wakil rakyat dan juga seorang peminat sukan ini," kata Annuar menerusi kenyataan, pada Jumaat.

Sebelum ini, FAM memutuskan bahawa pelantikan Annuar sebagai anggota jawatankuasa program itu sebagai tidak sah kerana beliau masih dalam tempoh penggantungan sehingga 4 Oktober 2014.

Annuar digantung pada April tahun lepas selama dua tahun setengah kerana mengeluarkan kenyataan akhbar yang berunsur negatif terhadap skuad bola sepak kebangsaan, sekali gus melanggar Artikel 88 Statut FAM yang memperuntukkan hanya Presiden dan Setiausaha Agungnya sahaja boleh memberi komen berkenaan skuad kebangsaan.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) turut dilapor telah menetapkan bahawa individu yang digantung tidak dibenarkan terlibat dalam mana-mana aktiviti berkaitan bola sepak. -BERNAMA 

No comments: