Saturday, 28 December 2013

LYNAS NAFI SEBABKAN 3 KEMATIAN


KUANTAN  -  Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) menafikan tiga kematian yang berlaku di kilang berkenaan dalam tempoh enam bulan lepas mempunyai kaitan dengan operasi yang dijalankan oleh kilang nadir bumi itu. 

Pengarah Urusannya, Datuk Mashal Ahmad, berkata sebaliknya dua daripada insiden kematian itu berpunca daripada faktor kesihatan, manakala satu lagi akibat kemalangan jalan raya. 


Katanya insiden pertama pada Julai lepas melibatkan seorang bakal pekerja yang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika proses temuduga. 

Pada November lalu, seorang kakitangan kilang itu maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. 

"Seorang jurutera kita yang meninggal dunia awal bulan ini pula disahkan mengalami serangan jantung secara tiba-tiba sebelum terjatuh ke dalam kolam takungan. 

"Ketika kejadian, mangsa sedang melakukan rutin harian mengambil sampel air untuk ujian sebelum tidak sedarkan diri akibat serangan jantung," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian pakaian seragam sekolah di perkarangan kilang Lynas, di sini hari ini.

 
Pada majlis itu, 200 pelajar sekitar kawasan Balok menerima pakaian seragam, beg dan peralatan sekolah sumbangan Lynas di bawah program tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan. 

Mashal dalam pada itu berkata Lynas tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas, termasuk tindakan mahkamah, terhadap mana-mana pihak yang terus menabur fitnah ke atas kilang berkenaan. 

"Sikap mereka ini menyukarkan kami dan tindakan kumpulan ini menyebarkan pelbagai fitnah secara berterusan jelas membuktikan mereka berniat jahat. 

"Berilah peluang kepada Lynas menumpukan perhatian kepada operasi daripada melayan tohmahan tidak berasas ini," katanya. 

Mashal juga berkata dakwaan pihak tertentu berhubung kejadian banjir di loji kilang berkenaan awal bulan lalu tidak benar dan tidak masuk akal. 

Katanya tapak kilang itu dibina selepas mengambil kira pelbagai faktor, termasuk ancaman banjir dan bencana alam lain. 

"Kilang ini dibina selepas kita melakukan kajian berdasarkan paras air (banjir) paling buruk sejak 100 tahun lalu. Selepas mendapat data itu, barulah kita bina tapak kilang dan loji memproses nadir bumi. 

"Selain itu, kilang ini juga terletak kira-kira 9 meter dari punca mata air, sekali gus kami boleh memberi jaminan bahawa ancaman banjir tidak akan memberi kesan kepada operasi kilang ini," katanya. - BERNAMA 

No comments: