Rakaman CCTV menunjukkan suspek memasuki pejabat Bernama Terengganu menerusi pintu belakang. |
Pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Terengganu di Jalan Sultan Sulaiman, di sini, dipecah masuk, tengah hari kelmarin.
Hasil pemeriksaan awal mendapati, dua komputer riba masing-masing milik ketua biro dan seorang wartawan hilang, serta sebuah telefon bimbit jenis Blackberry kegunaan pejabat, turut lesap.
Wartawan, Ahmad Erwan Othman, 26, ketika ditemui berkata, kejadian tersebut hanya disedari kira-kira jam 2.45 petang, setelah dia kembali ke pejabat selepas menunaikan solat Jumaat.
Menurutnya, dia menyedari ada sesuatu yang tidak kena selepas melihat keadaan ruang pejabat yang berterabur dan laci kakitangan dipecah, seperti digeledah.
“Sebaik masuk, saya lihat komputer riba saya yang diletakkan di atas meja tiada. Pada mulanya saya sangkakan rakan sepejabat menyimpannya. Tetapi apabila saya bangun dan meninjau keadaan sekeliling, saya rasa tidak sedap hati.
“Saya pelik apabila pintu bilik ketua biro saya yang biasanya ditutup, terbuka. Setelah meneliti, saya kemudiannya dapati ada kesan umpilan pada pintu bilik berkenaan,” katanya.
Dia kemudian menghubungi ketua biro dan kakitangan lain, bagi memaklumkan kejadian itu.
Hasil pemeriksaan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, seorang suspek bertubuh gempal menutup muka dan tidak berbaju dengan pengumpil serta pembaris besi memasuki ruang pejabat menerusi pintu belakang dan turut menyapu ubat gigi pada setiap CCTV yang terpasang.
Satu laporan polis dibuat Ketua Biro Bernama Terengganu, Amrizan Madian di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu kira-kira jam 4 petang kelmarin.-sh
No comments:
Post a Comment