Sunday 15 September 2013

KONFLIK MNLF - 7 RAKYAT MALAYSIA DI ZAMBOANGA TERSELAMAT


KUALA LUMPUR - Kementerian Luar hari ini mengesahkan tujuh rakyat Malaysia yang dikesan berada di Zamboanga, Mindanao, Filipina ketika konflik bersenjata di wilayah itu Isnin lepas, selamat.

Menurut kenyataan Wisma Putra, dua daripada mereka dibawa keluar dari Zamboanga menerusi jalan darat kerana lapangan terbang di Zamboanga City ditutup kepada penerbangan komersial.


"Dua lagi telah berpindah ke bandar lain di selatan Filipina sebelum kejadian serangan, sementara dua yang lain berada di bawah perlindungan pihak berkuasa Filipina manakala seorang lagi dipercayai berada di Basilan.

"Usaha sedang giat dijalankan untuk menghubungi beliau," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi Kementerian Luar kini mengutamakan perpindahan rakyat Malaysia dari kawasan konflik selain mengurus kepulangan mereka yang telah dapat dihubungi.

Kementerian itu juga mengulangi nasihat perjalanan yang dikeluarkan pada 10 Sept lalu agar rakyat Malaysia yang berhasrat ke Zamboanga dan kawasan lain yang kurang selamat menangguhkan hasrat buat sementara waktu sehingga keadaan pulih.

Pada Isnin lepas tercetus pertempuran antara pasukan keselamatan Filipina dan kumpulan yang dikenali oleh kerajaan Filipina sebagai Rouge MNLF Element (RME) di wilayah itu. - Bernama 

No comments: