Saturday, 28 September 2013

KEPUTUSAN PEMILIHAN UMNO AKAN DIUMUMKAN PADA MALAM ITU JUGA.....

tpm-pilih

Proses pemilihan UMNO kali ini yang akan dikendalikan sama seperti pilihanraya umum termasuk segi pembuangan undi dan pengiraan undi telah menimbulkan tanda tanya bila agaknya keputusan akan diketahui.

Pemilihan untuk sayap Pemuda,Wanita dan Puteri akan berlangsung serentak di seluruh negara pada 12 Oktober manakala UMNO Bahagian dan Majlis Tertinggi UMNO pada 19 Oktober.
Menjawab soalan ini,Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin jangka semua keputusan dapat diketahui malam itu juga kecuali beberapa bahagian terpencil di Sabah.
Bercakap dalam sidang akhbar selepas meninjau Simulasi Pemilihan UMNO 2013 selama tiga hari di Institut Latihan Memperkasa Umno (ILMU) di Janda Baik, Sabtu beliau menjelaskan pembuangan undi akan dimulakan terus tidak lama selepas mesyuarat  bermula.
Katanya kali ini tiada ucapan seperti biasa dan selepas pembentangan Pemeriksa Kira-kira sekejap terus perwakilan membuang undi. AD
Menurutnya selepas buang undi lebih sejam atau lebih sikit dari itu bergantung pada jumlah perwakilan,pengiraan undi akan terus dibuat.
Muhyiddin memberitahu hasil tinjauan pada simulasi yang dibuat, beliau jangka semuanya akan berjalan lancar.
Simulasi tiga hari itu yang bermula Jumaat bertujuan memberi pendedahan dan meningkatkan kefahaman anggota parti mengenai kaedah baharu pemilihan yang julung kali diperkenalkan selepas pindaan Perlembagaan parti pada 2009 membabitkan kira-kira 1,400 orang peserta daripada seluruh Semenanjung dan Sabah.
"Kita cukup bersedia...saya fikir dengan simulasi, kursus, taklimat yang melibatkan sejumlah tenaga yang agak ramai di setiap peringkat bahagian seperti hari ini, saya fikir ia bukanlah satu perkara yang begitu susah untuk dilaksanakan. "Ini kerana proses pemilihan dalam UMNO sudah berlaku sepanjang masa, cuma kali ini berlainan kerana jumlah yang boleh mengundi lebih besar," katanya.
Muhyiddin juga berharap proses kempen bagi pemilihan kali ini akan berlangsung dengan tertib dan teratur serta setiap yang terlibat sentiasa menjaga nama baik parti.
Mengenai harapan kepada barisan kepimpinan yang diinginkan beliau selaku timbalan presiden parti, Muhyiddin berkata ia terpulang kepada keputusan anggota perwakilan.
"Ini bukan soal (kemahuan) presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan timbalan (Muhyiddin)...ini akan diputuskan oleh perwakilan yang akan membuat pemilihan. Saya pun tak boleh nak ramalkan macam mana dan jangan tanya pada saya (barisan) yang macam mana saya hendak," katanya.
Muhyiddin yakin UMNO mampu menjadi sebuah parti yang lebih dinamik, disegani dan dihormati selepas berakhirnya pemilihan pucuk pimpinan parti bulan depan,
Timbalan Perdana Menteri berkata pemilihan itu bukan sahaja akan mencerminkan pengalaman dan keupayaan parti untuk memimpin orang Melayu malah sebagai tunjang utama kepimpinan negara.
"Ini kerana pilihan kali ini bukan sahaja jadi perhatian peringkat parti tetapi di peringkat nasional. Kita ingin memberi gambaran bahawa UMNO adalah sebuah parti yang amat demokratik dengan memberi ruang sepenuhnya kepada mereka yang layak untuk menawarkan diri bertanding untuk dipilih sebagai kepimpinan parti.
"Proses pemilihan ini juga penting, bukan sekadar untuk peremajaan parti, tetapi (lebih penting) parti akan terus segar sebagai wadah perjuangan bagi orang Melayu dan rakyat Malaysia," katanya-28/9/2013

No comments: