Portal berita propembangkang sudah sekian lama dibiarkan bermaharajalela membuat fitnah dan menghasut rakyat supaya membenci dan mempercayai laporan mereka. Sasaran portal berita tersebut kebanyakannya dituju terhadap pemimpin kerajaan atau parti politik yang mereka ingin jatuhkan.
Contoh yang ketara ialah portal berita Malaysiakini. Kenyataan pemimpin pembangkang disiarkan tanpa mendapatkan fakta sebenar.
Malaysiakini sudah banyak menyiarkan pembohongan, maklumat yang mengelirukan, pendedahan maklumat sulit, fitnah dan menipu orang ramai.
Boleh kata hampir setiap hari Malaysiakini dan beberapa portal lain akan mensensasikan isu untuk kepentingan politik mereka. Mereka akan putar belit isu. Mana-mana isu yang tidak menguntungkan mereka, tidak akan disiarkan.
Wartawan Malaysiakini tidak beretika. Mereka sanggup menceroboh majlis tertutup.
Malaysiakini yang tidak dijemput ke sesuatu majlis tidak peduli sama ada penganjur atau pembentang kertas kerja bersetuju atau tidak maklumat mereka disebarkan secara meluas kepada pengetahuan umum.
Niat mereka hanya hendak mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum. Selalunya niat mereka berjaya apabila membaca komentar yang diselitkan bersama laporan berkenaan.
Terbaharu, bagaimana wartawan Malaysiakini yang tidak dijemput tetapi hadir ke program berkenaan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Malaysiakini telah menceroboh masuk ke dalam dewan untuk mendengar satu forum tertutup dan telah secara tidak bertanggungjawab membuat rakaman dan seterusnya menyebarkan transkrip rakaman tersebut untuk pengetahuan umum tanpa meminta keizinan daripada penganjur dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah.
Rasanya berpuluh-puluh laporan dibuat terhadap komen-komen yang menghina pemimpin kerajaan dan negara ini yang dipaparkan oleh Malaysiakini.
Saya minta kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tunjukkan sikap prihatin dan segera mengambil tindakan. Bukan duduk diam sahaja.
Kegagalan agensi-agensi yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap Malaysiakini yang dilihat ghairah memburuk-burukkan institusi-institusi penting negara seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia amat mendukacitakan.
Saya lihat sudah banyak peruntukan undang-undang dipinda atau banyak aduan dibuat oleh orang awam tetapi tidak disusuli dengan tindakan berkesan. Apa masalahnya?
Sampai hari ini pun, dakwaan pemimpin pembangkang tentang 40,000 warga Bangladesh cuba membuang undi pada PRU-13 tiada siapa yang memfailkan saman fitnah terhadap pembangkang dan portal berita mereka.
Kerajaan mesti mengingatkan Malaysiakini dan penggiat media sosial lain agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat berbaur hasutan dan fitnah.
Kalau parti pembangkang sewenang-wenangnya menyaman pihak yang menggugat masa depannya, kenapa UMNO dan Barisan Nasional tidak berbuat tindakan yang sama? - UM
No comments:
Post a Comment