Wednesday, 5 June 2013

POLIS TERLIBAT KEMATIAN DHARMENDRAN TETAP KENA DAKWA

KUALA LUMPUR : Anggota polis yang terlibat dalam kes kematian dalam tahanan N. Dharmendran, 32, akan didakwa di mahkamah petang ini atas kesalahan membunuh, kata Pejabat Peguam Negara.

Dalam kenyataannya, Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail berkata pihaknya telah memutuskan pendakwaan dibuat atas kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap anggota polis terlibat.
 
“Berdasarkan bukti yang dikumpulkan melalui penyiasatan, saya telah memutuskan untuk kes disiasat sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap anggota polis terlibat,” katanya dalam kenyataan tersebut.
 
“Pihak polis terlibat akan dibawa ke mahkamah petang ini,” katanya.
 
Kematian Dharmendran telah mencetuskan reaksi negatif pelbagai pihak terhadap kes kematian dalam tahanan yang menurut badan aktivis hak asasi manusia, Suaram sebanyak 218 kes kes berlaku sejak 2000 hingga bulan ini.
 
Laporan bedah siasat Dharmendran menunjukkan mendiang meninggal dunia akibat kecederaan tisu dengan akibat daripada pukulan terus.
 
Selain itu, turut dilaporkan mendiang mengalami 52 kecederaan di seluruh anggota badan, dengan telinganya dicepit dawai kokot.
 
Pembangkang dari Pakatan Rakyat (PR) telah mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil tindakan tegas terhadap anggota polis terlibat dengan menangkap mereka, dan bukannya hanya menukar kepada tugasan pejabat.
 
Pembangkang juga menuntut penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi memastikan kes serupa tidak berulang.
 

No comments: