Tuesday 25 June 2013

PELURU TEMBUS KEPALA, TELINGA, PENTERNAK IKAN DI MANJUNG


Manjung : Seorang penternak ikan ditemui mati dalam keadaan mengerikan apabila kepala dan telinganya ditembusi beberapa das tembakan dalam kejadian serang hendap di Ladang Wallrock, di sini, tengah hari semalam.


Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Yong Tai Hang, 51, yang memandu kenderaan berseorangan dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Serdang, Sitiawan, sebelum diserang suspek bersenjatakan pistol berhampiran ladang itu.

Timbalan Ketua Polis Manjung Deputi Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, mangsa yang memandu kenderaan pacuan empat roda dipercayai diserang hendap beberapa individu ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

“Suspek dipercayai menunggu di belakang pokok di kawasan semak berhampiran sebelum melepaskan beberapa das tembakan ketika mangsa melalui jalan sunyi berhampiran ladang kelapa sawit itu.

“Tembakan berkenaan menembusi bahagian kepala mangsa berdasarkan kesan luka di bahagian pangkal telinga kanan mangsa. Serangan itu menyebabkan kenderaan dipandu terbabas ke dalam longkang berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dijumpai orang awam yang lalu lalang di kawasan berkenaan sebelum melaporkannya kepada polis.

“Berdasarkan pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian, polis menemui beberapa kelongsong peluru milik penjenayah tidak jauh dari kenderaan mangsa,” katanya.

Ahmad berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Manjung untuk dibedah siasat,.

“Setakat ini, polis belum mengenal pasti motif pembunuhan itu dan siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. 


Sumber : myMetro 

No comments: