Raja Nong Chik bertemu media selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 di Pusat Khidmat Masyarakat Lembah Pantai, semalam. - Foto Farizul Hafiz Awang
Kuala Lumpur : Calon Barisan Nasional (BN), Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, menimbang menyaman Nurul Izzah Anwar atas dakwaan memfitnahnya sepanjang kempen pilihan raya umum lalu.
Katanya, sebarang tindakan undang-undang yang akan diambil itu bagi menjaga maruahnya dan keluarga, selepas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu sering memfitnahnya termasuk terhadap ke atas anak perempuannya.
Beliau berkata, dalam kempen itu Nurul Izzah mendakwa anak perempuannya menerima kontrak kerajaan ketika beliau menjadi Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB).
Sehari sebelum hari pengundian, beliau menimbulkan fitnah berkaitan isu pemilikan tanah di Bukit Kiara. Sebelum itu, beliau sibuk beritahu kononnya anak saya dapat projek daripada kerajaan sedangkan ia berlaku sebelum saya menjadi menteri.
Pembunuhan karakter yang dilakukan Nurul Izzah dan jenteranya termasuk melalui internet mempengaruhi pengundi atas pagar.
Ia juga menyebabkan apa yang saya buat (di Lembah Pantai) zero (hilang di mata pengundi), katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Lembah Pantai di sini, semalam.
Sehubungan itu, katanya, beliau kesal dengan taktik kotor Nurul Izzah dan jenteranya untuk menang dalam pilihan raya itu.
Janji teruskan khidmat
Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai berjanji meneruskan khidmat kepada penduduk di kawasan itu seperti dilakukannya sejak 25 tahun lalu.
Ditanya sama ada bersetuju jika dipilih semula menerajui KWPKB, katanya, beliau lebih selesa sekiranya jawatan itu diberi kepada wakil rakyat yang menang.
Sebelum ini, pembangkang melabelkan saya sebagai back door minister (menteri ikut pintu belakang), jadi jika sampai dua kali (terpilih), saya rasa tak berapa sesuai.
Bagaimanapun, itu terpulang pada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak). Saya jenis tidak putus asa dan akan terus berjuang untuk penduduk Lembah Pantai yang memerlukan sehinggalah Tuhan kata sudah tiba masa untuk berhenti, katanya.
No comments:
Post a Comment