Sunday 12 May 2013

JOM! FAHAMI APA ITU 'KONTRAK SOSIAL'


Apa itu Kontrak Sosial

Isu “ Kontrak Sosial “ hangat di perdebatkan dan dibangkitkan akhir-akhir ini oleh pelbagai pihak terutamanya dalam kalangan ahli politik. Masing-masing melihat dari sudut dan kaca matanya sendiri. Melihat pada senario politik masa kini, belum ada kajian terperinci samada semua pihak menerima hakikat bahawa Malaysia ini berasal usul dari Tanah Melayu yang di perintah oleh Raja-Raja Melayu.

Sebelum tahun 1511, kerajaan Melayu Melaka merupakan sebuah empayar Melayu yang terkenal di Nusantara, malah telah diiktiraf oleh kerajaan asing seperti Maharaja China, India, Parsi dan Arab.

Mereka berdagang di Melaka sebagai pusat pertukaran barangan antara timur dengan barat. Negeri Melaka di perintah oleh seorang Raja Melayu yang di bantu oleh seorang Bendahara, Temenggung, Laksamana dan Syah Bandar. Mereka mentadbirnya melalui undang-undang yang dikenali sebagai Undang-Undang Sultan Melaka.

Mengikut seorang penulis Cina, ada seorang penterjemah kepada Laksamana Cheng Ho dan seorang Muslim yang melawat Gugusan Pulau-Pulau Melayu pada tahun 1451 telah menambah maklumat baru kepada Pedagang Cina mengenai kerajaan Melayu Melaka dan Raja Melayu yang memeluk agama Islam. Raja-raja Melayu mempunyai rakyat mereka sendiri yang dikenali dalam sejarah sebagai “ rakyat raja “.

Semuanya berubah apabila Portugis menyerang Melaka pada tahun 1511 dan Raja Melayu yang memerintah terpaksa berundur. Melaka berubah tangan daripada Portugis kepada Belanda ( 1641 ) yang memonopoli perdagangan dengan Raja Melayu Kedah dan Raja Melayu Perak. Tidak lama kemudian, pada akhir abad ke-18, mulalah Inggeris memperkukuhkan kedudukannya dengan menubuhkan pengkalan angkatan laut di perairan Tanah Melayu untuk mengaktifkan perdagangannya dengan Raja-Raja Melayu dan seterusnya mengambil alih kuasa daripada Belanda.

Raja-Raja Melayu telah mengadakan perjanjian dengan wakil Inggeris seperti Perjanjian Memajak Pulau Pinang Tahun 1786,

Perjanjian Pangkor tahun 1874 dan lain-lain. Semua perjanjian untuk mendapat konsesi tanah dan perdagangan, dilakukan dengan Raja-Raja Melayu.

Semenjak tahun 1874, Kerajaan Inggeris telah mengiktiraf Hak Ketuanan Melayu, Perundangan dan Adat Resam Melayu. Perlantikan Residen dan Penasihat Inggeris hanya sekadar untuk membantu Raja-Raja Melayu dalam mengurus pentadbiran negeri, supaya lebih kemas dan tersusun.

Selepas Perang Dunia Kedua, Kerajaan British telah melanggar perjanjian yang mereka buat dahulu apabila mereka memaksa Raja-Raja Melayu dengan menyerahkan kuasa negeri masing-masing kepada Kerajaan Inggeris dan menjadikan Negeri-Negeri Melayu sebagai tanah jajahan melalui Perlembagaan Malayan Union. Penjajah British mahu membuka kerakyatan kepada pendatang asing berasaskan prinsip ‘Jus Soli”. Dengan itu Raja-Raja dan Bangsa Melayu telah kehilangan hak di tanah airnya sendiri.

Demi mempertahankan Hak Ketuanan Melayu dan Amanah Bangsa, orang Melayu bangun menentang Malayan Union sehingga melahirkan Kongres Melayu Pertama yang berlangsung dari 1 hingga 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Orang Melayu di seluruh Negara melalui perwakilan pertubuhan mereka telah membantah Malayan Union. Mereka berikrar mahu menghapuskannya dengan apa cara sekali pun.

Bagi mengukuhkan gerakan mereka, satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengkaji percantuman semua Pertubuhan Melayu yang hadir dalam kongres itu ke dalam satu pertubuhan tunggal yang akan dikenali kemudian sebagai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ( UMNO ).

Pertubuhan ini kemudiannya di rasmikan dalam Kongres Melayu Kedua di Istana Johor Bahru di bawah kepimpinan Dato’ Onn Jaafar pada 11 Mei 1946. Keadaan ini memaksa Kerajaan British berunding dengan Raja-Raja Melayu mengenai Malayan Union. Pada Februari 1948, Kerajaan British bersetuju memansuhkan Malayan Union dan ditubuhkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Di bawah kepimpinan Dato’ Onn Jaafar, UMNO telah berjuang untuk mengukuhkan Ketuanan Melayu melalui semangan “ HIDUP MELAYU”.

Walau bagaimanapun, semangat Dato’ Onn menjadi luntur apabila Kerajaan British mendesak supaya UMNO perlu menerima pendatang asing di Tanah Melayu terutamanya orang Cina sebagai rakyat negeri ini.

Tun Tan Cheng Lock, seorang pemimpin Cina yang berpengaruh di London telah menjalankan segala usaha supaya kerajaan British memberi ruang kepada kaumnya mendapat kerakyatan yang sah di Tanah Melayu.

Bagi memenuhi kehendak semasa, Dato’ Onn telah membentangkan isu member kelonggaran kerakyatan dalam Perhimpunan Agung UMNO pada bulan Jun 1950, malah Dato’ Onn berura-ura hendak membuka keahlian UMNO kepada semua kaum di Tanah Melayu.

Perubahan sikap yang ditunjukkan oleh Dato’ Onn itu, telah mendapat tentangan hebat dari majoriti ahli UMNO. Beliau telah mengambil keputusan mengejut dengan meletak jawatan Yang Dipertua UMNO tetapi didesak oleh majoriti ahli UMNO supaya menarik balik perletakan jawatan itu.

Mereka berarak ke rumahnya di Johor Bahru dengan menyatakan mereka berada di belakangnya. Dengan sebab itu Dato’ Onn kembali semula memegang jawatan Yang Dipertua UMNO.

Akan tetapi ramai jawatankuasanya tidak bersetuju dengan kehendak Dato’ Onn hendak membuka keahlian UMNO kepada bukan Melayu kerana dasar UMNO adalah untuk orang Melayu sahaja. Sekali lagi Dato’ Onn meletak jawatan dan kali ini permohonannya itu diterima dan Tunku Abdul Rahman Putra mengambil alih tempatnya.

Dalam ucapan sulungnya, Tunku telah menegaskan bahawa beliau akan mempertahankan dasar UMNO, kerakyatan dan Hak Istimewa Orang Melayu. Pemimpin MCA seperti Tun Tan Cheng Lock dan lain-lain telah menyertai Parti Independence Malayan Party ( IMP ) yang baru ditubuhkan oleh Dato’ Onn.

Pada masa ini, UMNO mendapat saingan yang hebat kerana Raja-Raja Melayu dan Menteri-Menteri Besar menyokong kepimpinan politik Dato’ Onn.

Semuanya menjadi berubah apabila pemimpin UMNO dan MCA di Kuala Lumpur dengan semangat berbaik-baik dan bersefahaman telah mengadakan satu pakatan kerjasama supaya kedua-dua parti politik itu dapat bergabung dan seterusnya dapat bertanding dalam Pilihanraya Bandaran Kuala Lumpur atas satu lambang Perikatan.

Walaupun ada perasaan curiga antara satu sama lain, namun dengan kebijaksanaan Tunku, perasaan itu dapat di bendung. Berdasarkan keputusan Pilihanraya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur, Perikatan telah berjaya memenangi Sembilan dari 12 kerusi yang dipertandingkan. Parti IMP pimpinan Dato’ Onn mendapat kekalahan teruk.
Hasil kemenangan Parti Perikatan dalam pilihanraya ini mendorong Pemimpin MCA mahu berunding dengan Tunku mengenai isu kerakyatan dan Hak Istimewa Orang Melayu. Tunku telah bertolak ansur dan bersetuju menerima prinsip “Jus Soli” yang dituntut oleh Pemimpin MCA.

Tunku menerima tekanan hebat daripada ahli-ahli UMNO terutamanya UMNO Negeri Sembilan, tetapi Tun Abdul Razak telah berjaya menggunakan kebijaksanaannya meredakan keadaan.

UMNO, MCA dan MIC telah mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan sehingga bersetuju menyampaikan Memorandum Tunggal secara bersama kepada Suruhanjaya REID.

UMNO, MCA dan MIC telah bersetuju dalam Memorandum Tunggal itu mengenai perkara-perkara berikut:

1. Kerakyatan berasaskan Prinsip Jus Soli sepertimana yang dituntut oleh MCA.
2. Mengekalkan hak istimewa orang Melayu
3. Kedudukan bahasa, kebudayaan dan agama

Itulah asas Kontrak Sosial yang dipersetujui oleh Pemimpin Malaysia yang berjaya melahirkan Malaya Merdeka pada 31 Ogos 1957.

Ramai anak muda sekarang mulai lupa kepada sejarah Negara dan bangsanya sendiri. Mereka kurang mengetahui bagaimana Negara kita ditubuhkan. Oleh kerana itu mereka mudah terpengaruh dengan sesetengah badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi maklumat salah tentang fakta sejarah negara kita.

Pada hari ini, ada generasi muda kita mempertikaikan isu-isu yang mereka tidak mengetahui sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan orang ramai. Memang ada segolongan kecil masyarakat kita tidak berpuas hati dari dahulu sehingga sekarang.

Sememangnya mereka boleh mencetuskan keresahan dan menjadikan Negara kita tidak aman.

Adakah mereka gembira sekiranya perkara iti berlaku?

Sejarah dunia menyaksikan bahawa Malaysia sebuah yang ditubuhkan secara aman tanpa mencetuskan peperangan atau pemberontakan sepertimana yanag berlaku kepada beberapa buah Negara Ketiga Dunia.

Malaysia ditubuhkan melalui semangat perpaduan yang melahirkan semangat toleransi antara kaum dan kepercayaan beragama. Ramai orang asing yang melawat Malaysia berasa kagum dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kebudayaan kaum dan kepercayaan beragama serta mengamal pelbagai bahasa.

Rahsianya terbongkar apabila mereka mengetahui bahawa orang Melayu dalam UMNO sanggup berkorban dan melupakan kepentingan mereka dalam politik sehingga sanggup melepaskan beberapa kawasan pilihanraya yang sepatutnya ditandingi oleh mereka tetapi telah diberi dengan sukarela kepada rakan kongsi politik mereka dalam Parti MCA yang mewakili kaum Cina atau kepada rakan mereka dalam Parti MIC yang mewakili kaum India.

Malah yang lebih besar sekali ialah pengorbanan bangsa Melayu melonggarkan syarat kerakyatan beberapa kawasan pilihanraya yang sepatutnya ditandingi oleh mereka tetapi telah diberi dengan sukarela kepada rakan kongsi politik mereka dalam Parti MCA atau kepada rakan mereka dalam Parti MIC.

Malah yang lebih besar sekali ialah pengorbanan bangsa Melayu melonggarkan syarat kerakyatan berasaskan kepada “Jus Soli” yang mereka bangkang selama ini.

Sementara itu, kaum Cina dan India dalam MCA dan MIC menerima hakikat sejarah Negara ini dan bersedia secara sukarela, menerima dan mengakui Hak Keistimewaan Orang Melayu semenjak turun temurun dan turut memperakui Agama Islam sebagai agama rasmi negara ini. Sememangnya kedua-dua perkara ini menjadi mercu tanda kepada kewujudan Negara kita yang bernama Malaysia sekarang ini.

Setiap bangsa ada negaranya sendiri. Orang Cina ada negaranya di Tanah Besar China, manakala orang India ada negaranya yang bernama India. Keturunan Cina dan India yang lahir di negara ini dan menumpukan taat setia yang tidak berbelah bagi, mempunyai hak menjadi rakyat negara ini dan menikmatinya sebagai bangsa Malaysia.

Orang Melayu pun ada negaranya sendiri di Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia. Agama Islam sudah menjadi agama orang Melayu semenjak kurun ke-14 lagi, malah kitab undang-undang Melaka yang memaparkan cara pemerintah yang berasakan kebudayaan Melayu dan Undang-Undang Islam sudah wujud dengan kedatangan Islam itu sendiri.

Bagaimana hendak meminggirkannya?

Bangsa Melayu berasa terjamin apabila Suruhanjaya REID mengekalkan kedudukan orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dan menjadikan Agama Islam sebagai agama rasminya.

Pemerintahan Negara kita kekal sebagai sebuah Negara Beraja yang berasaskan demokrasi berparlimen . Ia bukan sebuah negara sekular dan bukan Negara teokrasi. Kita semua daripada keturunan Melayu, Cina dan India sudah menjadi bangsa Malaysia.

Apabila kita mahu kembali kepada sejarah dan asal usul Negara ini dan menerimanya dengan hati yang terbuka, malah merakamkannya secara rasmi dalam Perlembagaan kita, itulah punca kejayaan kita sehingga dapat melahirkan sebuah Negara yang diiktiraf oleh dunia ketiga sebagai Negara maju. Itulah rahsia “ Kontrak Sosial “ yang diperkatakan selama ini.

Sejarah telah menyaksikan bahawa bangsa Melayu daripada pelbagai pertubuhan telah membantah Malayan Union. Bantahan itu dilakukan serentak melalui tunjuk perasaan secara aman di seluruh Negara. Mereka tidak bertindak di luar batasan undang-undang. Mereka menjemput ahli parlimen British menyaksikannya sendiri bantahan yang meluap-luap dalam kalangan orang Melayu.

Orang bukan Melayu tidak menyertai tunjuk perasaan ini kerana mereka beranggapan bahawa negeri ini bukan negeri mereka. Walau bagaimanapun, mereka menyokong perjuangan UMNO menuntut kemerdekaan.

Sokongan ini mengerakkan pemimpin UMNO berunding dengan pemimpin Cina yang dikenali sebagai MCA, supaya turut sama dalam satu gerakan menuntut kemerdekaan daripada British. Kemudian MIC turut serta. Kaum Cina dan kaum India telah bergabung dengan bangsa Melayu menjadikan mereka bangsa Malaysia yang berjaya.

Pejabat Tanah Jajahan British berpuas hati kerana bangsa Melayu yang diwakili oleh UMNO sanggup bekerjasama dengan bukan Melayu dalam Parti Perikatan.

Kerjasama itu telah dibuktikan melalui persetujuan bersama bangsa Melayu dan bukan melayu dengan mengemukakan manifesto dalam Pilihanraya 1955 atas satu nama iaitu Parti Perikatan.

Manifesto tunggal ini telah berjanji hendak melaksanakan perkara-perkara berikut, jika Parti Perikatan menang dalam pilihanraya 1955:

1. Menuntut kemerdekaan daripada British secara aman.
2. Mengekalkan hak-hak istimewa orang Melayu.
3. Memberi kerakyatan kepada bukan Melayu mengikut konsep jus soli.

Pengundi yang mewakili rakyat dan penduduk negara ini telah bersetuju dengan janji Parti Perikatan dalam Manifesto Pilihanraya tahun 1955 dua tahun menjelang merdeka. Pengundi telah memberi kemenangan cemerlang kepada Parti Perikatan sehingga mendapat memenangi 51 kawasan pilihanraya daripada 52 kawasan yang dipertandingkan. Ini merupakan satu petanda yang jelas bahawa rakyat negara ini bersetuju dengan formula yang dikemukakan oleh Parti Perikatan.

Pejabat Tanah Jajahan British berpuas hati dengan semangat kerjasama dalam Parti Perikatan dan bersetuju menyemak semula Perlembagaan yang sedia ada pada masa itu. Kerajaan British dan Raja-Raja Melayu telah bersetuju menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas bagi tujuan tersebut. Suruhanjaya ini dikenali sebagai Suruhanjaya REID.

Sekali lagi Parti Perikatan telah menunjukkan semangat kerjasama yang padu apabila gabungan pertubuhan politik daripada bangsa Melayu, kaum Cina dan kaum India, telah bersetuju secara bersama menghantar Memorandum Tunggal kepada Suruhanjaya REID atas nama Parti Perikatan.

Memorandum Tunggal itu menuntut antara lain supaya dimasukkan perkara-perkara berikut dalam Perlembagaan Malaya.

1. Salah seorang daripada Raja-raja Melayu di pilih dalam kalangan mereka menjadi ketua kerajaan.
2. Mengekalkan hak istimewa orang-orang Melayu.
3. Memberi kerakyatan mengikut prinsip jus soli.
4. Islam sebagai agama Persekutuan tetapi memberi hak kebebasan beragama kepada penganut agama lain dan mereka bebas menjalankan urusan keagamaan dan kebudayaan mereka.
5. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara tetapi bahasa dan kebudayaan lain-lain kaum, bebas mengamalkannya oleh kaum masing-masing.

Oleh itu persetujuan bersama UMNO, MCA dan MIC yang diperakukan dalam manifesto pilihanraya dan Memorandum Tunggal Perikatan kepada Suruhanjaya REID, merupakan asas sosial kontrak yang kita amalkan selama ini dengan jayanya.

Berasaskan kepada formula inilah, Barisan Nasional telah menang dalam semua pilihanraya yang lalu dan terus memerintah Malaysia sehingga hari ini.

Parti-parti lain tidak boleh mendapat kemenangan dan membolehkan mereka memerintah kerana formula politik mereka tidak boleh diterima oleh rakyat negeri ini terutamanya fahaman perkauman yang sempit atau semangat keagamaan yang tidak bertapak di alam nyata.

Sememangnya ada beberapa golongan yang tidak bersetuju dengan Parti Perikatan atau Barisan Nasional tetapi bilangan mereka adalah sedikit pada masa lalu.

Namun begitu, suara kebangkitan mereka sangat lantang dan mencemaskan. Mereka telah membuktikan dalam pilihanraya ke-12 pada tahun 2008 di mana mereka berjaya memenangi 5 negeri di semenanjung tanah air. Di samping itu juga mereka telah berjaya menafikan majoriti mudah 2/3 di Parlimen.

Setelah mendapat kemenangan, sedikit demi sedikit mereka cuba mempertikaikan perkara-perkara yang berkaitan dengan kontrak sosial seperti hak istimewa orang Melayu dan juga Perlembagaan Negara.

Sesungguhnya ini amat menyedihkan kerana ada sekumpulan kecil masyarakat kita di Malaysia selepas 55 tahun merdeka, cuba mengubah landskap negara apabila mereka dengan berani tanpa menghiraukan perasaan “ tuan rumah “ mempertikaikan kedudukan agama dan hak keistimewaan orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Kesemuanya ini menampakkan kesannya begitu negatif sekali.

Suara sumbang daripada segelintir pertubuhan badan-badan buikan kerajaan (NGO) yang membuat tuntutan supaya Perlembagaan Persekutuan Malaysia pinda, diumpamakan seperti anai-anai menggigit tiang seri supaya bangunan itu runtuh.

Majoriti suara rakyat Malaysia tidak bersetuju dengan mereka. Sudah sampai masanya bagi semua rakyat Malaysia, terutama para pemimpin politik kita menghidup dan menyemarakkan semula semangat kerjasama melalui persefahaman dan toleransi sejati dalam kalangan semua kaum supaya rakyat hidup dengan aman dan damai.

Berilah kerjasama dalam menjayakan wawasan 2020 menerapkan Konsep 1 Malaysia di mana Rakyat di dahulukan, Pencapaian di utamakan.

Dengan demikian, dapatlah pemimpin kita menumpukan sepenuh masa untuk memajukan bangsa Malaysia melalui pendekatan yang diterima oleh semua pihak. Mudah-mudahan harapan dan cita-cita kita hendak melihat Malaysia menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020 akan tercapai sepenuhnya.

No comments: