Thursday 23 May 2013

GULINGKAN KERAJAAN SECARA PAKSA BERTENTANGAN MAQASID SYARIAH

KUALA LUMPUR 22 Mei – Menjatuhkan kerajaan dengan cara keganasan dan kekerasan adalah dilarang kerana bertentangan dengan maqasid syariah.
Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, ini kerana syariah mementingkan keamanan, kesejahteraan dan keselamatan nyawa serta harta benda.


“Sesebuah kerajaan yang menang dengan majoriti dan dipilih secara pilihan raya adalah sah dari segi hukum demokrasi.

“Islam juga menerima hukum tersebut. Pembentukan kerajaan melalui demokrasi perlu diterima dan sebarang usaha untuk menjatuhkannya dengan kekerasan bertentangan maqasid syariah,” Demikian kata Aktivis Islam yang juga Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad (gambar).
Beliau mengulas tindakan pembangkang yang menganjurkan perhimpunan jalanan bagi mencetuskan huru-hara supaya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipilih secara sah oleh rakyat dapat digulingkan.
Malah, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada Mei tahun lalu telah memutuskan sebarang niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran perhimpunan atau demonstrasi yang boleh mencetuskan huru-hara adalah haram di sisi agama.
Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, golongan yang melampau atau berdegil menolak kedamaian boleh diperangi sehingga mereka kembali tenang dan tenteram.
“Perkara tersebut ada di sebut di dalam al-Quran yang menyatakan kewajipan manusia menjaga keamanan dan ketenteraman.
“Sehubungan itu, kerajaan melalui kuasa yang ada boleh mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang cuba melakukan huru-hara ini,” katanya.

No comments: