Ipoh : Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham diminta tampil membuat laporan polis berhubung kemalangan membabitkan 10 kereta termasuk kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kilometer 12, Jalan Ipoh-Lumut, 11 Januari lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan itu mungkin boleh membantu siasatan berikutan kenyataannya dalam Twitter yang mendakwa kenderaan JPJ ‘menyeberang’ pembahagi jalan untuk melakukan operasi ke atas sebuah lori sehingga berlaku kemalangan terbabit.
Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu mengakibatkan sebuah pacuan empat roda JPJ diterbalikkan dan dibakar orang ramai dan beberapa lelaki dipercayai ‘tonto’ kerana mendakwa ia penyebab kemalangan itu.
“Polis menerima versi berbeza berhubung kejadian itu, sebab itu kita minta saksi kejadian membantu siasatan untuk mengenalpasti punca sebenar. Setakat ini, polis hanya ambil kenyataan dua orang, jika saksi lain mempunyai sikap bertanggungjawab, mereka harus datang kepada kami memberi keterangan,” katanya.
Shukri berkata, saksi tidak perlu bimbang memberi keterangan kerana polis tidak akan menyembunyikan fakta dan kebenaran.
Sementara itu, Koo Ham pada sidang media di Sitiawan, mengaku beliau sebenarnya tidak menyaksikan kejadian berkenaan, sebaliknya hanya mendengar dakwaan beberapa penduduk yang tinggal sekitar Ayer Tawar, iaitu lokasi kemalangan terbabit.
“Jadi, saya tidak akan ke balai polis untuk memberikan keterangan, sebaliknya akan menunggu polis menghubungi saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment