Sunday, 30 December 2012

WARTAWAN AKHBAR CINA CEDERA DIPUKUL LIM GUAN ENG...???!!!

Sekadar hiasan

GEORGETOWN : Seorang wartawan akhbar bahasa Cina cedera selepas dipukul empat lelaki ketika membuat liputan di sebuah pangsapuri di Jalan Perak di sini, awal hari ini. 

Ang Kean Siang, 32, dari Guan Ming Daily cedera di bibir dan badannya dan menerima rawatan awal di Hospital Pulau Pinang sebelum dirawat di Hospital Loh Guan Lye. 

Dalam kejadian itu, kameranya turut dirosakkan kumpulan lelaki terbabit yang tidak berpuas hati kerana merakam kejadian seorang wanita ditemui mati, dipercayai terjatuh dari tingkat 19 pangsapur berkenaan. 


Sebelum itu beliau dimarahi seorang lelaki yang mengarahkannya beredar di tempat kejadian. 


"Bimbang berlaku kekecohan di situ, saya beredar sebelum seorang lelaki bermotosikal menawarkan untuk membawa saya keluar dari kawasan berkenaan dan saya bersetuju membonceng motosikalnya," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini. 

Ang berkata, lelaki berkenaan membawanya ke kawasan kontena yang dijadikan pos kawalan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang terletak di Lorong Perak dan meninggalkanya di situ. 

"Selepas ditinggalkan di depan pos kawalan PPS berkenaan, datang lelaki yang memarahi saya sebelum ini bersama tiga lagi lelaki lain. Mereka merampas kamera dan menghempas ke lantai sehingga menyebabkan kamera saya rosak," katanya. 
Ang berkata, empat lelaki berkenaan bertindak memukulnya di bahagian muka, badan dan salah seorang daripada mereka turut menendang kemaluannya. 

"Sepanjang bekerja ini pengalaman pertama saya dipukul dan ia tidak mematahkan semangat, cuma saya berharap polis dapat mengambil tindakan segera terhadap mereka. 

"Selain itu saya juga kesal kerana mereka (anggota PPS) sepatutnya mengawal ketenteraman dan keselamatan namun tindakan mereka terhadap saya menunjukkan mereka seolah-olah samseng," katanya yang menerima rawatan awal di Hospital Pulau Pinang sebelum dirawat di hospital Loh Guan Lye, di sini. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng yang dihubungi mengesahkan menerima laporan polis berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan. 

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PPS Pulau Pinang, Ng Wei Aik berkata, pihaknya mengenal pasti anggota PPS yang terlibat dalam kejadian itu dan akan mengambil tindakan tegas termasuk melucutkan keanggotaan mereka. 

"Buat masa ini kita sudah membekukan semua aktiviti pasukan PPS yang terbabit sementara siasatan dijalankan. Kita juga akan memberikan kerjasama kepada pihak polis sekiranya diperlukan,” katanya. 

PPS dilancarkan pada 17 September 2011 bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang aspek keselamatan selain membantu pihak polis melakukan rondaan bagi menjaga ketenteraman awam. - BERNAMA 

No comments: