Friday 23 November 2012

FAHAMAN SYIAH (BAHAGIAN 3 - TERAKHIR)


PERPADUAN ANTARA AHLI SUNNAH DAN SYIAH?

Perhubungan Ahli Sunnah dan Syiah, sama ada renggang atau erat berpunca daripada ideologi dan juga akidah bukannya disebabkan dasar hubungan sosial. Orang-orang awam yang menganuti mazhab-mazhab ini tidak mendalami ideologi-ideologi mazhab, akidah dan juga tidak memahami tentang pemikiran. Hubungan sosial dan kekeluargaan tetap ada di kalangan orang-orang awam bagi kedua-dua mazhab kerana kehidupan bermasyarakat berbeza dengan hala tuju akidah, kerana manusia adalah bersaudara dalam erti kata kemanusiaan. Perselisihan agama ataupun mazhab tidaklah merosakkan persahabatan dan tidak juga mencetuskan permusuhan.


Bagi orang kebanyakan daripada kedua-dua kelompok ini, mereka beranggapan tiada perselisihan di antara Ahli Sunnah dan Syiah di dalam perkara dasar (usul) iman ataupun rukun Islam ataupun perkara-perkara yang perlu diketahui di dalam agama. Perselisihan juga di dalam permasalahan fiqh, pendapat-pendapat dan falsafah-falsafah yang mana tiada hubungan dengannya dengan prinsip-prinsip akidah, atau tiada perselisihan langsung sebenarnya. Adapun konflik yang berlaku adalah hasil daripada sangkaan semata-mata disebabkan kedua-dua pihak telah hidup dalam keadaan berasingan dalam tempoh yang agak panjang. Kumpulan ini berpendapat bahawa perpaduan boleh dicapai dan perselisihan atau khilaf dalam masalah furu’ tidaklah membawa kepada perbalahan, putus hubungan, salah sangka mahupun tuduh menuduh kerana memutuskan hubungan sesama Islam adalah satu penyakit yang memburukkan umat Islam. Umat Islam tidak mendapat apapun melainkan kegagalan dan kelemahan.

Walau bagaimanapun di kalangan sekumpulan yang lain selain dari kumpulan kebanyakan yang dinyatakan di atas, terdapat perselisihan di antara kedua-dua pihak, jurang pemisah amatlah besar pada sudut akidahhukum-hukum dan sumber yang diperolehi. Ini menjadikan jalan-jalan untuk mempererat keduanya tertutup, tiada lagi jalan penyelesaian. Setiap pihak berpegang dengan pegangan mereka sendiri, tiada faedah dalam menganjurkan seminar-seminar dan rundingan-rundingan. Dengan meninggalkan segala perdebatan atau dialog adalah merupakan jalan yang terbaik untuk memadamkan api fitnah. Jadi setiap pihak dengan mazhab mereka sendiri dan di sana ada kehidupan serta kerjasama dalam urusan harian seperti mana negara-negara lain yang berlainan agama dapat menjalankan kerjasama. Ini adalah pandangan sebahagian besar kedua-dua belah pihak seperti Sheikh Muhammad Zahid Al-Kuthri, Sheikh Muhammad Bahjah Al-Baitar (Ulama Sham), Sheikh Muhammad Al-Kholisi di Iraq, Sheikh Syaid Ridho dan yang terdahulu daripada mereka iaitu Sheikh Al-Islam, Ibnu Taimiyyah dan lain-lain.

Berdasarkan apa yang terdahulu, sesungguhnya kita pada hari ini perlu meneliti semula pandangan-pandangan ini kerana seruan ke arah mempererat lagi hubungan terus diperbaharui pada masa kini yang mana ianya telah dilakukan oleh orang persendirian mahupun badan atau pertubuhan-pertubuhan tertentu. Berlaku suasana kecelaruan di kalangan sesetengah masyarakat Islam hingga tidak dapat membezakan antara “khilaf” atau perbezaan yang dibenarkan dan pegangan menyeleweng daripada akidah yang benar. Pada hakikatnya “pendekatan” antara ahli sunnah dan syiah merupakan satu usaha “kompromi” antara perkara yang hak dengan yang batil.

PERTUBUHAN YANG MENYERU KEPADA PERPADUAN DI ANTARA AHLI  SUNNAH DAN SYIAH

Dr. Urfan Abdul Majid Rahimahullah berpendapat bahawa dakwah atau seruan kepada penyatuan akidah adalah berbalik pada asal yang dicetuskan oleh kumpulan-kumpulan pelampau Syiah yang mana mereka ini cuba menggabungkan akidah Islam dengan pemikiran-pemikiran yang diambil daripada agama-agama dan falsafah yang lain seperti Yahudi, Nasrani, Majusi dan falsafah Yunani. Maka mereka telah menemui hasil daripada percubaan ini apa yang di kenali dengan Al-Dawair Al-Funusiyyah yang cenderung kepada penyatuan dan percantuman. Kemudian ianya berkembang di tangan Al-Batiniyyah dari pecahan Al-Ismailiyyah dan juga jamaah Ikhwan Al-Sofa wal Qurmitoh.

Dr. Nasir Al-Qafari berkata “percubaan untuk menyatukan kedua pihak ini adalah satu permasalahan yang telah lama dan saya tidak tahu sesiapapun mengambil berat untuk merekodkan realitinya dan tidak juga untuk mengkajinya kerana permasalahan ini banyak pecahannya dalam buku Tawarikh. Di sini akan dipaparkan sebahagian badan pertubuhan pada masa dahulu mahupun kini yang berusaha mencuba mempererat hubungan antara Ahli Sunnah dan Syiah”.

PERTUBUHAN UNTUK MISI PERPADUAN PADA ZAMAN DAHULU

1. Al-Syeikh Al-Thusi

Meninggal dunia pada tahun 460H yang digelar oleh Syiah dengan Syeikh Al-Toifah, pengarang dua kitab hadis dari kitab-kitab utama Syiah yang empat.

Berkata Syeikh Abu Zahrah “ Al-Thusi adalah orang yang pertama cuba untuk menyatukan ideologi dan psikologi di antara Syiah dua belas dan orang muslimin”.

2. Al-Tabrisi

Meninggal dunia pada tahun 548H. Beliau adalah salah seorang Syeikh Syiah yang digelar dengan Amin Al-Islam. Beliau adalah pengarang kitab ‘Tafsir Majmuk Al-Bayan Fi Tafsir Al-Quran’.

Dr. Mahmud Bisayuni Fudah mengatakan bahawa seruan untuk mempererat ini sebanarnya telah lama wujud sehingga ke kurun yang keenam hijrah iaitu pada zaman Al-Tabrisi. Beliau berpendapat bahawa Al-Tabrisi adalah orang yang pertama melatakkan batu asas bagi mempererat hubungan antara Ahli Sunnah dan Syiah dalam bentuk gambaran yang terbuka dan psikologi yang tenang bagi menghilangkan jurang di antara mereka. Metod pentafsirannya adalah berdasarkan prinsip ‘Al-Taqiyyah’. Sebagai bukti beliau telah menolak berhujah dengan riwayat Ahli Sunnah dan menolak periwayatan Zaid bin Ali bin Husin r.a sedangkan Zaid dari golongan Al- Bait yang utama yang mana Ahli Sunnah telah ijmak ini kerana Zaid bukan golongan Ja’fari. Beginilah cara dan metod pentafsiran Al-Tabrisi.

Percubaan Al-Thusi dan Al-Tabrisi ini dengan menggunakan pendekatan “Al-Taqiyyah” telah membawa kepada penyebaran akidah Syiah di kalangan orang-orang muslimin.

Adapun Al-Majlisi dalam kitabnya ‘Al-Bahr’ iaitu salah satu daripada kitab-kitab hadis Syiah yang lapan telah menulis satu bab khas berkenaa larangan mengambil periwayatan Ahli Sunnah melainkan untuk berhujah dengan mereka. Cara yang sama jugalah dilakukan oleh At-Thusi dan Al-Tabrisi.

3. Siri Perdamaian Di Antara Ahli Sunnah Dan Syiah Di Baghdad

Sejarah menunjukkan bahawa perpaduan pernah berlaku di antara Ahli Sunnah dan Syiah pada kurun kelima hijrah selepas berlakunya konflik yang hebat di antara kedua-dua pihak di Baghdad yang bermula pada tahun338H. Ianya merupakan fitnah yang pertama berlaku.

Pada tahun 437H, Ahli Sunnah dan Syiah bersepakat untuk menentang puak Yahudi di Baghdad. Persepakatan ini hanya berlaku di kalangan orang awam sahaja bukannya ulama’, sedangkan Islam memberi hak kepada Ahli Kitab, oleh sebab itu pakatan ini terhenti pada tahun 439H yang mana pada masa itu berlaku sekali lagi fitnah besar yang mengorbankan banyak jiwa.

Pada tahun 442H, berlaku perdamaian sekali lagi. Mereka bersama-sama menziarahi kubur Saidina Ali dan puak Syiah di Al-Karakh mula redho terhadap para sahabat. Mereka telah mula bersolat di masjid Ahli Sunnah. Telah berkata Ibnu Kathir bahawa perkara ini benar-benar menakjubkan. Perkara ini tidak mungkin berlaku melainkan ianya adalah “Al-Taqiyyah”.

PERTUBUHAN UNTUK MISI PERPADUAN PADA ZAMAN SEKARANG

1. Jamaah Ukhwatul Islamiyyah

Telah ditubuhkan pada tahun 1937 oleh Muhammad Azmi, beliau seorang pengikut Bathini Ismai’li. Beliau telah menyeru kepada penyatuan umat Islam, usaha ini menyebabkan ramai daripada kalangan orang yang terkenal terlibat dalam menjayakan misi dan dakwahnya ini. Jamaah ini berpusat di Mesir kemudian di Karachi pada tahun 1948.

2. Dar Ahlul Al-Bait

Telah ditubuhkan oleh salah seorang pelajar Al-Rafai’ Al-Husaini yang telah menggelar dirinya dengan gelaran “Imam Syiah di Republik Arab Mesir”. Beliau telah menyebarkan fahaman-fahaman Syiah melalui kitab-kitabnya serta menghidupkan perayaan-perayaan dan memperkenalkan mazhab ini kepada golongan pemuda atas nama kecintaan terhadap Al-Bait.

Majalah Al-Taqrib telah menerbitkan satu kajian yang panjang ditulis oleh salah seorang ulama’ Syiah di Iran, Muhammad Soleh Al-Ha iri, baliau telah menyeru Ahli Sunnah agar kembali kepada ajaran Syiah lapan dan meminta agar figh Syiah diajar di negara Mesir serta beliau juga meminta supaya diajar akidah mereka serta menyeru Ahli Sunnah mengiktiraf persoalan Al-Imamah di sisi mereka seperti mana yang telah dilakukan sebelum ini oleh Al-Qamiy yang menyeru kepada Ahli Sunnah agar menerima akidah Syiah dan juga pandangan-pandangan mereka.

MISI PERPADUAN OLEH INDIVIDU

1. Syeikh Muhammad Abduh

Beliau adalah antara pelopor utama dalam mengetengahkan ideologi ini yang bertujuan untuk memperdekatkan Syiah kepada kebenaran.

2. Muhammad Rasyid Redho

Beliau yang pada mulanya begitu bersemangat tetapi pada akhirnya beliau merasakan adanya rintangan daripada ulama’-ulama’ Syiah yang tidak bersetuju terhadap apa sahaja yang menafikan kemashlahatan mereka dari sudut kewangan dan kedudukan mereka. Mereka tidak berhenti daripada memfitnah Ahli Sunnah dan Khalifah Al-Rasyidin yang mencetuskan komplen ini sebenarnya ialah Mohsan Amin Al-A’mali ekoran ini menyebabkan Muhammad Rasyid Redho untuk menjawab segala penipuan puak Syiah.

3. Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi

Yang terkenal dengan keperibadian yang tinggi juga turut serta dalam misi mempererat hubungan antara Ahli Sunnah dan Syiah. Walaupun begitu beliau terpaksa menghentikan seruan itu dengan berkata (pada salah satu konvensyen di Qatar) “bagaimana kita hendak berbaik-baik dan mempererat hubungan dengan puak Syiah sedangkan kita mengatakan para sahabat seperti mana firman Allah Taala dalam surah al-Bayyinah, ayat 8 yang bermaksud ; “Allah redha akan mereka dan merekapun redha (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya”, sedangkan Syiah pula mencaci dan memfitnah mereka.

USAHA PERPADUAN OLEH PENDAKWAH DARI KALANGAN PUAK SYIAH YANG IKHLAS DAN PENDEDAHAN PENYELEWENGAN SYIAH

Seorang pendakwah yang dibesarkan di dalam persekitaran dan keluarga Syiah serta beliau juga memegang jawatan penting dalam kehakiman sebagai ketua hakim. Beliau yang dimaksudkan itu ialah Ahmad Mir Qasim bin Mir Ahmad Al-Kasrawi, beliau dilahirkan di Tabriz, Iran. Fasih di dalam beberapa bahasa serta mempunyai hasil penulisan yang baik. Beliau adalah contoh yang terbaik dalam menyeru ke arah mempererat hubungan dan dalam memisahkan perkara yang hak dan yang batil. Akhirnya beliau telah dibunuh oleh puak Syiah sendiri kerana beliau telah mengetahui hakikat sebenar mazhab Syiah ini.

Beliau banyak menulis artikel yang mendedahkan prinsip asas mazhab Syiah yang mana penulisan beliau itu telah tersebar secara meluas ke negara-negara Arab. Selain itu juga beliau ada mengarang sebuah kitab dalam bahasa Arab yang berjudul “Atsyi’ was Syiah”. Kitab ini mendedahkan tentang kebatilan prinsip-prinsip dasar mazhab Syiah dan mendedahkan juga bahawa perselisihan yang berlaku di antara Ahli Sunnah dan Syiah adalah disebabkan ketaksuban bukannya berdasarkan hujah yang benar. Beliau telah ditembak oleh puak Syiah tetapi tidak meninggal ketika itu. Pada tahun 1324H beliau sekali lagi ditembak, kali ini beliau terkorban kerana tembakan itu.

Antara yang diperkatakan oleh Al-Kasrawi ketika beliau masih hidup ialah bahawa Syiah telah menyeleweng hingga ketahap kecintaan yang melampau terhadap Saidina Ali dan memusuhi Abu Bakar serta Umar. Mereka mendakwa Ali adalah lebih berhak untuk menjadi Khalifah, tetapi Abu Bakar dan Umar telah menzaliminya. Syiah juga mencipta akidah yang tidak dipersetujui oleh umat Islam, kemudian mereka memfitnah para sahabat dan mengadakan “al-Taqiyyah” iaitu tipu daya dan nifaq. Mereka juga mengadakan upacara khas sempena memperingati Husin, memukul-mukul badan mereka, mengalirkan darah dan lain-lain lagi perkara yang jauh bertentangan.

PENYELEWENGAN SYIAH TERHADAP SUMBER RUJUKAN UTAMA

1. AL-QURAN

Adapun Syiah mereka beranggapan bahawa al-Quran yang ada pada umat Islam sekarang sama ada di dalam mashaf atau yang dihafaz telah terseleweng. Al-Quran yang sebenarnya ada pada Saidina Ali bin Abi Talib, kemudian beliau telah mewariskan kepada Imam yang selepasnya dan sekarang ini ada pada Imam Mahdi Al-Muntazir.

Selain daripada itu, puak Syiah mempunyai pandangan yang khas dalam mentafsirkan al-Quran dan mentakwilkannya. Antara contoh tafsiran Syiah adalah seperti berikut;

1.  mereka mentafsirkan firman Allah SWT surah al-Nahl ayat 51 iaitu

“ dengan itu janganlah kamu menjadikan dua orang Imam sebenarnya ambillah satu Imam sahaja”.

2.            firman Allah SWT dalan surah al-Baqarah ayat 238 dengan maksud

“ (al-solah) ialah Rasulullah, Amirul Mukminin, Hasan dan Husin, manakala (al-wusto) ialah Amirul Mukminin, (waqumu lillahi qonitin) ialah taat terhadap Imam-imam.

3.            firman Allah SWT dalam surah al-Naba’ ayat 1-2. mereka mentafsirkan

(al-naba’) ialah Amirul Mukminin Ali bin Abi Tolib.

2. SUNNAH NABAWIYYAH


Adapun Syiah mereka berpegang kepada empat kitab-kitab hadis sahaja, dan dengannya lah mereka beramal untuk sepanjang zaman. Kitab tersebut adalah seperti berikut;
1. Al-Kafi Fi Usul Wa Al-Furu’
Karangan Muhammad bin Yaakub Al-Kalini, di gelar oleh puak Syiah sebagai Thiqah Al-Islam. Kitab ini adalah kitab yang terulung mazhab Syiah. Periwayatannya disandarkan terus kepada salah seorang Imam 12 bukannya kepada Rasulullah SAW. Mereka berpendapat bahawa tiada bezanya di antara Imam-imam itu dengan Rasulullah SAW. Imam yang paling banyak disandarkan kepadanya ialah Imam Jaafar Al-Sodiq. Kitab ini mengandungi riwayat-riwayat yang menghina dan mengaibkan al-Quran dengan mengatakan ianya ada kekurangan dan terseleweng.
2. Man La Yakhdarah Al-Faqih

3. tahzib Ahkam

4. Al-Istibsor Fima Ikhtilafiyyah Min Akhbar

PERBANDINGAN AKIDAH ANTARA AHLI SUNNAH DAN SYIAH




BIL



AHLI SUNNAH



SYIAH



1

Al-Quran adalah terpelihara dan bebas dari kekurangan mahupun penyelewengan

Al-Quran yang ada sekarang ada kekurangannya dan terseleweng.



2

Beriktikad bahawa penafsiran al-Quran hendaklah berpandukan pada apa yang datang daripada Nabi SAW

Berpendapat penafsiran al-Quran hendaklah berpandukan daripada apa yang telah diriwayatkan  al-Bait dengan riwayat-riwayat yang mencela para sahabat dan mendakwa Imam Ali sebagai tuhan serta imam selepasnya.



3

Al-Quran diturunkan sepenuhnya ke atas Rasulullah SAW, tiada kekurangn padanya dan tiada kitab lain selepasnya.

Beriktikad bahawa di sana ada mashaf yang diturunkan selepas kewafatan Nabi SAW dan dinamakan mashaf  Fatimah.



4

Sunnah Nabi adalah apa sahaja yang datang daripada Nabi sama ada percakapan, perbuatan mahupun taqrir

Mengatakan bahawa percakapan Imam 12 seperti firman Allah Taala dan sabda Rasulullah SAW. Meriwayatkan daripada mereka sama seperti meriwayatkan hadis daripada Nabi kerana mereka juga adalah maksum



5

Syariat Islam adalah sempurna

Bahawa Rasulullah SAW menyampaikan sebahagian daripada Syariat sahaja sedangkan sebahagiannya disembunyikan dan ditinggalkan pada Imam Ali.



6

Menerima periwayatan sahabat r.a kerana mereka adil dan thiqah

Menolak periwayatan sahabat, mereka beriktikad bahawa para sahabat semuanya menipu seperti Abu Hurairah.



7

Menerima semua hadis-hadis yang di riwayatkan oleh Bukhari dan Muslim serta kitab-kitab hadis soheh yang lain.

Tidak berpegang dengan kitab-kitab hadis Ahli Sunnah melainkan yang ada persamaan dengan akidah pegangan mereka.



8

Berpegang dengan al-Quran Sunnah dan Ijmak sebagai prinsip asas kepada Syariat Islam

Tidak percaya dengan Ijmak sama ada dari sahabat mahupun selain mereka tanpa kewujudan orang yang maksum bersama mereka.







9

Tiada yang maksum melainkan Rasulullah SAW, para anbiya’ dan rasul-rasul terdahulu.

Para Imam-imam adalah maksum dan kemaksuman mereka adalah perkara dasar dalam prinsip Imamah. Imam tidak akan terkena dosa sama ada sengaja atau tidak.



10

Mukjizat yang dianugerahkan Allah kepada para nabi dan rasul adalah satu bukti tentang kebenaran.

Mukjizat hanya untuk para imam, mereka mampu menghidupkan yang mati, menyembuhkan penyakit bisu, kusta serta mereka memiliki semua mukjizat yang dimiliki oleh para nabi.



11

Tiada yang mengetahui perkara-perkara ghaib melainkan Allah

Para imam mengetahui perkara-perkara ghaib, tidak terhijab daripada mereka ilmu-ilmu apa yang dilangit, di bumi, di syurga dan neraka.



Oleh yang demikian, tiada jalan untuk mencapai perpaduan dan mempererat hubungan keduanya dengan menggunakan pendekatan akidah ataupun sumber pegangan melainkan salah satu pihak meninggalkan sumber pegangan mereka dan mengiktiraf sumber yang lain.
KEPUTUSAN MUZAKARAH JAWATANKUASA FATWA
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 telah membincangkan Syiah Di Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa yang telah diadakan pada 24 dan 25 September 1984 [Kertas bil. 82/8/2, perkara 4.2.(2)] mengenai aliran Syiah yang menetapkan seperti berikut:
1.      Bersetuju supaya keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa yang telah diadakan pada 24 dan 25 September 1984 [Kertas Bil. 2/8/84, Perkara 4.2. (2)] mengenai aliran Syiah yang menetapkan seperti berikut :” Setelah berbincang dan menimbang kertas kerja ini Jawatankuasa telah mengambil keputusan bahawa hanya Mazhab Syiah dari golongan Al – Zaidiyah dan Jaafariah sahaja yang diterima untuk diamalkan di Malaysia.” Dimansuhkan.
2.      Menetapkan bahawa Umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah dari segi akidah, syariah, dan akhlak.
3.      Menyokong dan menerima cadangan pindaan perlembagaan persekutuan dan perlembagaan negeri-negeri bagi memperuntukkan dengan nyata bahawa agama bagi persekutuan dan negeri-negeri hendaklah agama Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah dari segi akidah, syariah dan akhlak.
4.     Memperakukan pindaan kepada semua undang-undang negeri yang hukum syara’ bagi menyelaraskan ta’rif “Hukum Syara”  atau “Undang-undang Islam seperti berikut:
5.      “Hukum Syara’ atau ‘Undang-undang Islam’ ertinya undang-undang Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah dari segi syariah, akidah dan akhlak.”
6.      Memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah adalah bercanggah dengan Hukum Syara’ dan Undang-undang Islam; dan dengan demikian penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah adalah dilarang.
7.     Menetapkan bahawa semua umat Islam warganegara di Negara ini adalah tertakluk kepada Undang-Undang Islam dan Hukum Syara’ yang berasaskan pegangan kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jama’ah sahaja.

8.    Menetapkan bahawa penerbitan, penyiaran, dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem, video, dan lain-lain yang berkaitan dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Waljama’ah adalah diharamkan.
Oleh: Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.



Sumber rujukan :
[1] Nasir bin Abdullah bin Ali al-Ghifari,  Masalatul al-Taqrib baina Ahli al-Sunnah wa al-Syi’ah, Halaman 142.
[2] 'Amir bin Syarahil bin Abd Zi Kibar Asy-Sya'bi, Riyawat daripada al-Tabi’in, yang diambil sebagai contoh pada kekuatan ingatannya ( w 102 H). Tahzib at-Tahzib: 5/5, lihat: Manhaj al-Sunnah Li Ibn  al-Taimiah, Jilid 1, Halaman  6-10.
[3] Ibnu Hazm, Al-Fashl fi al-Milal Wal Ahwa' Wan Nihal, Jilid 5, Halaman 37.
[4] Surah al-Baqarah: ayat 80
[5] Lihat: Ahmad Amin, Fajar al-Islam, Halaman 276.
[6] Muhammad Abu Zahrah, Tarikh al-Mazahib al-Islamiyah, Jilid 1, Halaman 38.
[7] Lihat: Tarikh al-Ya’kubi, Jilid 2, Halaman  247.
[8] Lihat: Rijal al-Kashi, Halaman 6-7.
[9] Abu al-Hassan al-Asy’ri, Maqalat al-Islamiyyin, Jilid 1, Halaman 80.
[10] Muhammad Abu Zahrah, Tarikh al-Mazahib al-Islamiyah, Jilid 1, Halaman 37.

No comments: