Friday, 23 November 2012

FAHAMAN SYIAH (BAHAGIAN 1)


DEFINISI SYIAH

Segi Bahasa             :

Dalam bentuk kata kerja “shayya’a”, bererti menyokong. Kata kerja ini juga bermaksud, ‘menolong dan bergabung’. Al-Azhari menyebut bahawa, Syiah ialah penolong-penolong seseorang dan pengikutnya. Penggunaan perkataan Syiah adalah untuk menunjukkan makna kumpulan manusia yang saling mengikut satu sama lain.



Segi Istilah                 :

Syiah bermaksud mereka yang menyokong Saidina Ali, dan berpegang bahawa Imam dan khalifah itu khusus bagi Saidina Ali, secara dalil nas dan melalui wasiat Rasulullah SAW, sama ada secara jelas atau sebaliknya. Mereka juga berpegang bahawa Imam itu tidak akan beralih tangan kepada selain daripada anak-anak keturunan Saidina Ali. Sekiranya berlaku perpindahan kepimpinan itu kepada selain daripada keturunan Saidina Ali, maka ini merupakan suatu kezaliman dari pihak yang menerima kepimpinan itu; atau sebagai suatu pelaksanaan pendekatan “taqiyyah” daripada pihak keturunan Saidina Ali.

SEJARAH KELAHIRAN SYIAH

Syiah sebagai suatu akidah dan pemikiran tidak lahir sekaligus. Ia berkembang mengikut peredaran masa dan melalui beberapa peringkat. Kebanyakan kelahiran kumpulan-kumpulan Islam berkait rapat dengan peristiwa bersejarah yang dilalui umat Islam. Ramai pengkaji dahulu dan sekarang menegaskan bahawa Ibnu Saba’ adalah pengasas bagi mazhab Syiah. Namanya disebut secara mutawatir dalam kitab-kitab ahli sunnah dan juga kitab-kitab Syiah.

Abdullah bin Saba’ adalah seorang Yahudi dari Yaman dan pengasas golongan Syiah Saba-iah yang merupakan golongan Syiah Pelampau. Dia telah memeluk Islam pada penghujung zaman Saidina Uthman R.A dan menjelajah ke kota-kota Islam dalam percubaannya untuk menyesatkan umat Islam. Bibit-bibit kelahiran fahaman Syiah dan asal usul prinsipnya lahir pada tangan puak-puak Syiah Saba-iah melalui pengakuan buku-buku muktabar Syiah sendiri yang mengatakan bahawa Ibnu Saba’ adalah orang yang pertama menzahirkan caci cela terhadap Abu Bakar, Umar dan Uthman R.H. Ibnu Saba’ juga adalah orang yang mula-mula melahirkan caci cela terhadap para sahabat, menyatakan wajib bagi Ali R.A menjadi imam; dan Ali adalah orang yang diwasiatkan oleh nabi SAW untuk menjadi imam. Ini merupakan asas “tasyayyu’” seperti yang dipegang oleh tokoh-tokoh Syiah sebagaimana definisi Syiah di atas.

Kemudian peristiwa-peristiwa yang terjadi seperti kewafatan Rasulullah SAW dan mesyuarat Al-Thaqifah, di mana Saidina Ali RA tidak menghadirinya untuk memberikan baiahnya pada awal lagi, peperangan Siffin, Majlis Tahkim, fitnah yang berlaku pada zaman Saidina Uthman R.A yang berakhir dengan pembunuhan, dan peristiwa pembunuhan Saidina Hussain R.A menyebabkan hati-hati dan perasaan umat Islam menyebelahi ahlu al-bait. Kefahaman asing melalui konsep “tasyayyu” kemudian mula meresap dan digunakan sebagai salah satu helah bagi pihak yang hendak menghancurkan Islam daripada golongan mulhidmunafiq dan thaghut.

Dr. Nasir bin Abdullah bin Ali Al-Ghifari menyatakan bahawa, “ …sebahagian prinsip akidah bagi Syiah lahir pada tangan Abdullah bin Saba’, tetapi tidak timbul dalam bentuk kumpulan atau nama tasyayyu’ . Selepas berlaku peristiwa-peristiwa yang disebutkan tadi, terutamanya selepas pembunuhan Al-Husain, Syiah mula menonjol sebagai satu kumpulan yang berkembang untuk membentuk mazhabnya berdasarkan prinsip-prinsip tertentu. Seterusnya pandangan yang dilontarkan oleh Ibnu Saba’ mula mendapat tempat di dalam suasana pemikiran bagi Syiah ini”.[1]

SUMBER PRINSIP “TASYAYYU’

Para pengkaji berbeza pendapat tentang sumber bagi prinsip “tasyayyu” seperti berikut :
1) Pendapat mengatakan bahawa ia berasal dari ajaran Yahudi2) Pendapat mengatakan ia berasal dari ajaran Parsi3) Pendapat mengatakan ia berasal dari prinsip-prinsip akidah dari kawasan Asia Klasik seperti ajaran Budha dan selainnya.
PENDAPAT TENTANG SUMBER AJARAN SYIAH DARI AJARAN YAHUDI

Ibnu Saba’ adalah orang yang pertama menyatakan bahawa asal usul fahaman “tasyayyu” adalah berdalilkan nas, wasiat dan raj’ah. Beliau adalah seorang Yahudi. Pendapat ini menjadi prinsip kepada ajaran mazhab Syiah. Tokoh-tokoh Syiah yang terdahulu seperti Al-Kummi, Al-Naubakhti, dan Al-Kasyi merujuk kepada prinsip-prinsip ini ketika membentangkan pendapat Ibnu Saba’ yang kemudiannya menjadi antara sumber prinsip-prinsip Syiah.

Terdapat persamaan dari aspek prinsip pemikiran antara ajaran Yahudi dan Syiah. Huraian yang paling jelas tentang ini ialah apa yang diriwayatkan oleh Al-Sya’abi[2].

Ibnu Hazm berkata, “ Golongan Syiah telah berjalan di atas landasan ajaran Yahudi yang menegaskan bahawa Nabi Ilyas A.S dan Fanhas Ibnu Al-A’zar Ibnu harun A.S, hidup hingga sekarang,” [3]

Ibnu Taimiyah menyebut, di antara perkara-perkara yang jahil, dan pegangan mengikut hawa nafsu yang terdapat di dalam ajaran Syiah adalah persamaan di antara mereka dengan orang Nasrani dalam satu segi; dan persamaan di antara mereka dengan orang Yahudi dari segi yang lain. Beliau turut memetik apa yang diriwayatkan oleh Al-Sya’abi tentang persamaan mereka dengan orang Yahudi dan Nasrani. Beberapa orang pengkaji lain juga bersependapat demikian. Antaranya ialah Prof. Ahmad Amin yang mengatakan, “ Fahaman “tasyayyu”  terdapat dalam ajaran Yahudi pada prinsip al-Raj’ah. Golongan Syiah berkata: “Sesungguhnya neraka adalah haram ke atas puak Syiah kecuali sedikit dari mereka”,  sebagaimana ajaran Yahudi mengatakan, “kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari tertentu…”.[4] Konsep “tasyayyu” juga terdapat di dalam sebahagian ajaran Nasrani yang menyatakan bahawa kaitan Al-Imam dengan Allah ialah seperti perkaitan Al-Masih dengan Allah”.[5]

PENDAPAT TENTANG SUMBER AJARAN SYIAH DARI AJARAN PARSI

Sesetengah pengkaji memperakui bahawa sumber prinsip tasyayyu’ mempunyai kaitan dengan ajaran Parsi berdasarkan beberapa faktor:

Faktor Pertama - Ibnu Hazm dan Al-Maqrizi menyebut bahawa golongan Parsi mempunyai kerajaan dan kuasa yang luas serta berpengaruh terhadap bangsa-bangsa lain, dan juga mereka mempunyai perasaan bangga diri sehingga mereka menamakan diri mereka bangsa merdeka dan golongan para pemimpin. Mereka menganggap golongan lain adalah hamba bagi mereka.

Apabila mereka diduga dengan kejatuhan kerajaan mereka di tangan bangsa Arab yang mereka anggap satu bangsa yang mundur dan lemah, ini merupakan malapetaka yang besar bagi mereka. Mereka mula melakar rancangan terhadap Islam dengan melancarkan serangan-serangan dari semasa ke semasa, tetapi pada setiap kali serangan itu, Allah menzahirkan pihak kebenaran. Mereka kemudian menyedari bahawa tipu daya dan rancangan muslihat akan lebih berjaya. Oleh itu sesetengah mereka menzahirkan Islam mereka dan mengambil hati ahli-ahli tasyayyu’  dengan melahirkan cinta mereka terhadap ahlu al-bait dan melahirkan kebencian mereka terhadap kezaliman yang menimpa Saidina Ali R.A. Sebahagian anasir Parsi berselindung di sebalik penganut Syiah untuk memerangi kerajaan Umawiyah, sedangkan hakikat sebenar yang ada dalam diri mereka ialah kebencian kepada Arab dan pemerintahan mereka.

Faktor Kedua – Orang Arab berpegang kepada kebebasan, manakala orang Parsi berpegang kepada kekuasaan diwarisi di dalam sesebuah keluarga. Mereka tidak mengenali makna pemilihan bagi khalifah. Rasulullah SAW wafat tanpa meninggalkan anak lelaki. Ahli keluarga yang paling hampir kepada Rasulullah SAW selepas baginda adalah Saidina Ali b. Abi Thalib R.A. Dengan ini sesiapa yang mengambil alih tugas khalifah seperti Abu Bakar, Umar, dan Uthman, maka mereka dianggap telah merampas khalifah dari orang yang berhak. Orang-orang Parsi juga telah biasa melihat raja mereka dengan pandangan ‘suci’. Dengan pandangan ini, mereka melihat Saidina Ali dan keturunannya. Ramai daripada orang-orang Parsi yang memeluk Islam tanpa membersihkan pegangan yang mereka warisi daripada nenek moyang mereka daripada iktiqad mereka. Dari semasa ke semasa mereka mula mewarnakan Islam dengan corak warisan pemikiran mereka.

Syeikh Muhammad Abu Zuhrah berkata, “Kami percaya bahawa Syiah telah terpengaruh dengan pemikiran Parsi lampau tentang kerajaan dan pewarisan. Persamaan di antara fahaman Syiah dan sistem Raja Parsi adalah jelas. Yang menyokong pendirian ini ialah kebanyakan golongan Syiah terdiri daripada penduduk Parsi dan pengikut-pengikut Syiah yang paling awal adalah dari Parsi[6].

Faktor Ketiga – Ketika umat Islam membuka negeri Parsi, Al-Husain bin Ali telah berkahwin dengan salah seorang puteri Yazdajrad, yang datang bersama tawanan perang lain. Dari perkahwinan ini, lahir Ali bin Al-Husain. Orang Parsi melihat bahawa keturunan Al-Husain inilah yang layak mewarisi kerajaan Parsi. Mereka juga melihat bahawa darah yang mengalir dalam darah Ali bin Al-Husain dan keturunannya adalah darah Iran dari sebelah bondanya, anak kepada Yazdajrad[7]. Baginda adalah dari keturunan silsilah raja-raja Saasaan yang suci pada mereka.

Faktor Keempat – Pengaruh Parsi terdapat dalam banyak riwayat-riwayat mazhab Syiah Imam Dua Belas, yang mengkhususkan Salman Al-Farisi R.A dengan ciri-ciri dan sifat-sifat yang melampau tahap kemanusiaan. Ada di dalam riwayat mereka yang mengatakan bahawa , “ Salman adalah pintu Allah di bumi, orang yang mengenalinya adalah orang mukmin. Sesiapa yang mengengkarinya adalah orang kafir”. Telah menjadi lumrah bagi golongan syiah untuk memberi sifat-sifat yang mereka beri terhadap Salman ini, kepada Imam mereka yang dua belas.

Tercatat di dalam riwayat palsu mereka bahawa, “…Salman adalah salah seorang pengikut Syiah, kerana mereka inilah puak-puak Syiah diberi rezeki, dengan sebab mereka inilah, puak-puak Syiah diberi pertolongan dan melalui mereka juga, puak-puak Syiah mendapat hujan…”[8].

Bukan sekadar itu, sesetengah puak Syiah mengambil pendirian yang begitu melampau sehingga mengaitkan Salman dengan ciri-ciri ketuhanan. Puak seumpama ini telah wujud semasa zaman Abu Hassan Al-Asy’ari. Beliau ada menyebut dalam artikel-artikel beliau bahawa, “ …pada zaman kami, telah wujud orang-orang yang mengatakan tentang “ketuhanan” Salman al-Farisi…”.[9]

Riwayat-riwayat yang terdapat di dalam kitab-kitab mazhab Imam Dua Belas mengandungi kebanyakan pendapat puak-puak Syiah, termasuk yang luar biasa dan tidak diterima akal, seolah-olah kewujudan riwayat-riwayat ini di dalam kitab-kitab ini, memberi keizinan kepada golongan lain untuk keluar dari golongan mereka.

PENDAPAT TENTANG SUMBER AJARAN SYIAH DARI AJARAN LAMA ASIA

Sesetengah pengkaji menambah bahawa ajaran Syiah merupakan takungan bagi ajaran dan akidah yang datang dari Asia Purba seperti ajaran Budha dan lain-lain[10]. Prof. Ahmad Amin berkata, “ Di bawah fahaman tasyayyu’ , terdapat konsep perpindahan ruh”. Sebahagian daripada golongan orientalis menyatakan bahawa banyak akidah yang BUKAN ISLAM menyerap ke dalam ajaran Syiah. Sesetengahnya pula berkata, mereka telah mengkaji ajaran mazhab Syiah dan mendapati bahawa ia mengandungi semua aliran dan akidah agama-agama yang diperangi oleh Islam.

Kesimpulannya, tasyayyu’ dengan erti kata suatu akidah yang berdalilkan nas bahawa Saidina Ali R.A menjadi imam, Al-Raj’ah, Al-Bada’, Al-Ghaibah, maksum para imam dan lain-lainnya, tidak syak lagi merupakan akidah-akidah yang datang dari luar Islam dan masuk ke dalam umat Islam yang mempunyai latar belakang yang berbeza-beza. Semua yang mempunyai perancangan jahat, yang hidup dalam Islam sambil berpegang dengan akidah lamanya itu, daripada golongan Yahudi, Nasrani, Majusi dan lain-lainnya akan menggunakan tunggangan tasyayyu’  ini bagi tujuan mereka. Ibnu Taimiyah berpendapat bahawa mereka yang tergolong dalam golongan tasyayyu’, mengambil ajaran-ajaran daripada akidah Parsi, Rom, Yunan, Nasrani, Yahudi dan selainnya, dan mencampuradukkan ajaran-ajaran itu dengan konsep tasyayyu’.

KUMPULAN-KUMPULAN SYIAH

Di kalangan puak-puak Syiah, mereka berselisih pendapat sesama sendiri sehingga berpecah kepada beberapa kumpulan. Walau bagaimanapun, satu perkara yang menyatukan mereka adalah pandangan mereka terhadap imam bagi Saidina Ali R.A dengan cara dalil nas dan juga wasiat daripada Rasulullah SAW sama ada dalam bentuk terus terang mahupun cara tersembunyi. Imam ini kemudian diwarisi turun temurun kepada keturunan Saidina Ali R.A.

Antara faktor yang membawa kepada perpecahan mereka adalah perbezaan dari segi prinsip dan ajaran-ajaran seperti bersikap ekstrim sehingga memberikan imam-imam sifat suci dan keterlaluan mengkafirkan pihak yang berselisih dengan Saidina Ali R.A dan kumpulannya. Manakala setengah yang lain lebih bersikap sederhana dengan hanya menganggap mereka yang menyalahi Saidina Ali R.A adalah salah, tetapi bukan kafir.

Faktor perpecahan Syiah yang kedua adalah perbezaan dalam menentukan imam. Mereka berselisih pendapat tentang siapa imam-imam di kalangan keturunan Saidina Ali R.A. Oleh kerana perpecahan ini, para ulama membahagikan mereka kepada 4 kumpulan besar mengikut akidah dan pegangan setiap puak. Mereka dikategorikan berdasarkan akidah dan pegangan yang sama seperti berikut.

1. Ghulat (Pelampau)

Mereka adalah kumpulan yang berpegang bahawa Saidina Ali adalah manusia yang paling utama selepas Rasulullah SAW. Bukan sekadar itu sahaja, mereka menambah dalam akidah mereka apa yang menyebabkan mereka terkeluar dari Islam. Sebahagian mereka mengangkat Saidina Ali ke tahap kenabian, sebahagian lagi menjadi terlalu ekstrim sehingga mengangkat Saidina Ali ke tahap ketuhanan. Termasyhur dari kumpulan ini ialah 11 puak, iaitu : As Saba-iah, Al-Kamiliah, Al-‘Ali-iah, Al-Mughiriah, Al-Mansuriah, Al-Khitabiah, Al-Kibalah, Al-Hisyamiah, Al-Ni’maniah, Al-Yunusiah, dan Al-Nasiriah.

2. Al-Kaisaniah

 Mereka adalah pengikut Kaisan Maula Amirul Mukminin Ali, murid kepada As- Sayyid Muhammad bin Al-Hanafiah. Mereka berpegang bahawa Muhammad bin Al-Hanafiah adalah imam. Mereka juga mengatakan harus bagi Allah mempunyai satu permulaan wujud. Menurut mereka agama itu adalah ketaatan seseorang itu. Pendirian begini menjadikan mereka melampau terhadap hak-hak imam sehingga menganggap bahawa para imam adalah suci.

Kumpulan ini terbahagi kepada Al-Mukhtariah, Al-Hasyimiah, Al-Bananiah dan Al-Rizamiah.

3. Al-Zaidiah

Mereka adalah pengikut –pengikut Zaid bin Ali bin Al-Husain bin Ali bin Abu Talib. Mereka digelar sebagai Zaidiah kerana mereka berpegang kepada kata-kata Zaid bin Ali yang mengutamakan Ali bin Abu Talib lebih daripada sahabat-sahabat Rasulullah yang lain. Beliau juga memperakui Abu Bakar dan Umar sebagai khalifah dan berpendapat bahawa harus bagi umat Islam menentang imam-imam yang zalim. Apabila beliau berada di kalangan pengikut-pengikutnya dan mendengar ada yang mencela Abu Bakar dan Umar, beliau mengengkari orang yang mencela itu. Mereka yang telah memberi bai’ah kepadanya meninggalkannya. Nama Zaidiah kekal diberi kepada pengikut-pengikut yang tetap terus bersamanya.

Imam pada pegangan puak ini adalah daripada keturunan Fatimah dan tidak boleh berpindah kepada selain dari keturunan Fatimah. Mereka mengharuskan imam selain daripada keturunan Al-Hasan dan Al-Husain dengan syarat seorang itu mesti berilmu, zuhud, berani dan pemurah yang wajib ditaati. Mereka adalah puak Syiah yang mempunyai pegangan yang paling hampir kepada ahlu sunnah kerana mereka menerima khalifah Abu Bakar dan Umar kecuali satu kumpulan dari mereka yang dinamakan Al-Jarudiah.

Puak yang masyhur dari kumpulan ini Al-Jarudiah, Al-Sulaimaniah, Al- Solihiah dan Al- Banziah.

4. Al-Imamiah

 Mereka adalah orang yang berpegang kepada pendapat bahawa Ali adalah imam selepas Rasulullah dengan cara dalil nas yang jelas menyebut nama Ali. Asy-Syahrastani mendefinisikan mereka dalam buku al-malal dan Al-Nahl dengan berkata: “… Al-Imamiah adalah mereka yang berpendapat bahawa Ali adalah imam selepas Rasulullah dengan cara dalil nas yang jelas dan bukan dengan cara isyarat dengan sifat-sifat tertentu tetapi dengan lantikan yang jelas...”

Di antara kumpulan-kumpulan Syiah Al-Imamiah ialah:

Al-Imam dua belas: Mereka dinamakan demikian kerana mereka mempercayai bahawa terdapat 12 imam selepas Rasulullah. Imam-imam ini bagi mereka merupakan kebanyakan Imam-imam Syiah di kalangan puak Syiah di dunia sekarang yang dikenal sebagai Al-Imamiah. Apabila disebut lafaz Al-Imamiah ia bererti Imam Dua Belas.

Al-Ismailiah: Meraka adalah puak Syiah yang berpendapat bahawa imam selepas Jaafar adalah anaknya Ismail bin Jaafar. Selepas kematian Ismail mereka berpecah menjadi dua kumpulan. Pertama adalah kumpulan yang menunggu-nunggu kemunculan Ismail bin jaafar kerana mereka percaya bahawa Ismail tidak mati. Kumpulan kedua pula mempercayai bahawa imam selepas Jaafar adalah Muhammad bin Ismail kerana Jaafar telah melantik anaknya Ismail sebagai imam selepasnya. Apabila Ismail meninggal dunia semasa ayahnya masih hidup mereka percaya bahawa Jaafar melantik anaknya Ismail sebagai imam sebenarnya untuk menunjukkan bahawa imam selepasnya sebenarnya adalah Muhammad bin Ismail. Kemudian mereka berpecah menjadi kumpulan yang banyak dengan pandangan yang pelbagai. Mereka juga mempunyai gelaran yang banyak. Di antara yang termashur adalah Al-Bathiniahkerana bagi mereka setiap hukum yang zahir ada batinnya atau kerana mereka berpendapat bahawa imam juga wujud dalam keadaan batin atau terselindung.

Oleh: Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.
Bersambung ke  Bahagian 2..


No comments: