Friday 30 November 2012

BEKAS TLDM HILANG KETIKA MENYELAM DI SELAT DINDING....

Abdul Razak Johan
Abdul Razak Johan

LUMUT - Seorang bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dikhuatiri hilang semasa menyelam di kawasan Selat Dinding, lebih kurang 1.17 batu nautika Barat Daya Tanjung Siagin, berhampiran Pulau Pangkor, semalam.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 3 Perak, Kapten (M) Abdul Razak Johan berkata, pihaknya menerima laporan  kehilangan berkenaan daripada pasukan Gerakan Marin (PGM) Kampung Aceh pada jam 1.55 petang.

Menurutnya, operasi dan menyelamat mangsa dimulakan pada jam 2.45 petang, semalam dikoodinasikan oleh Maritim dan dibantu agensi lain.

“Daripada maklumat yang kita perolehi mangsa dikenali sebagai Elias Mohd Yusup, 32, bersama seorang lagi rakanya sedang menyelam untuk pemeriksaan di bahagian belakang 'sterngate' kapal.

“Pada ketika itu mangsa memakai pakaian menyelam berwarna hitam tidak memakai baling dan hanya menggunakan 'air compressor',” katanya.

Beliau berkata,  mangsa yang juga bekas anggota tentera laut disedari hilang apabila rakannya mendapati mangsa tidak naik ke permukaan.

“Setelah 10 minit, rakan mangsa telah menarik penyedut pernfasan, tetapi hanya pemberat sahaja yang timbul.

“Rakan mangsa telah bertindak melaporkan kejadian itu kepada pihak bertanggungjawab untuk menjalankan operasi dan menyelamat mangsa,” katanya.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat diteruskan pada hari kedua dengan memperluaskan kawasan pencarian dan berkemungkinan menggunakan Robotic Operation Vessel (ROV) sekiranya diperlukan kelak.

“Sekiranya mangsa masih tidak ditemui, kita akan meneruskan SAR sehari dua lagi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, seorang nelayan dilaporkan hilang di perairan Kuala Kurau, tanjung Piandang di sini, pagi tadi.

Teoh Weng Meng, 50, dilaporkan hilang setelah keluar ke laut menggunakan bot kecil sejak semalam.

Abdul Razak berkata, kehilangannya disedari apabila mangsa gagal dihubungi ahli keluarga lain.

"Bimbang dengan keadaan itu, ahli keluarga cuba menjejakinya sekitar jam 5 petang semalam, namun hanya menemui bot sahaja," katanya.

Susulan kejadian itu, bilik operasi Kuala Kurau telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat bermula hari ini pada jam 7.30 pagi tadi dengan menggunakan tiga bot kilat dan dibantu dua bot dari Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Sehingga kini, tiada perkembangan baru kejadian dan SAR masih diteruskan,” katanya. (Sinar Harian 30/11/12)

No comments: