Pembangkang dilihat cuba bermain politik dengan menyembunyikan fakta sebenar bahawa mereka juga bersetuju dengan pindaan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 yang dibentangkan pada April lalu.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata perkara itu telah dibahaskan selama empat jam, satu masa yang cukup lama dan ia juga tidak dihadkan pada hari berkenaan sahaja.
“Saya telah menjawab segala persoalan yang dibangkitkan oleh pembangkang yang antara menegaskan pindaan itu bagi menjamin keselamatan negara ini.
“Apabila sampai masa mengundi, pihak yang tidak bersetuju dengan kerajaan akan minta belah bagi undian ikut suara atau terus keluar dewan tetapi pada waktu itu, kedua-duanya tidak berlaku di pihak pembangkang.
“Ini membuktikan pembangkang juga setuju dengan pindaan ini kerana merasakan mereka juga mangsa yang berpotensi untuk posting yang berbaur hasutan yang dikeluarkan dalam portal atau blog,” katanya kepada pemberita di Kuala Kangsar, hari ini.
Sehubungan itu, pihak pembangkang tegasnya, tidak perlu bermain politik dan kini bersetuju pula dengan pihak minoriti untuk menarik balik pindaan Seksyen 114A Akta Keterangan.
Tambahnya, pembangkang sendiri tidak menentang habis-habisan perkara itu sebaliknya menggunakan isu berkenaan untuk menempelak kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menurut Mohamed Nazri lagi, pindaan dilakukan bagi membantu kerajaan mengambil tindakan terhadap kesalahan keselamatan seperti tindakan pengganas.
“Tidak ada mana-mana kerajaan mahu mewujudkan akta untuk menjatuhkan hukuman kepada orang yang tidak bersalah.
“Oleh itu, pindaan Seksyen 114A akan kekal kerana ada yang serius perlu ditangani seperti tindakan pengganas yang memerlukan pindaan bagi melindungi keselamatan negara ini,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Seksyen 114A itu juga menggalakkan orang ramai terutamanya pemilik portal, blog, Facebook dan Twitter supaya lebih bertanggungjawab sebelum mengeluarkan posting di laman media maya.
Baru-baru ini, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, dilaporkan berkata Kabinet sedang meneliti Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 yang hebat diperkatakan dalam alam maya ketika ini selaras dengan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, kerajaan mempunyai pendirian yang teguh mengenai perkara itu, namun setakat ini tidak ada ada cadangan untuk sebarang pindaan baru terhadap Akta berkenaan.
Seksyen 114A adalah satu daripada dua pindaan yang dibuat terhadap Akta Keterangan yang digazetkan Julai lepas, dan ia mula mendapat reaksi pelbagai pihak daripada kalangan pengguna internet.
Kempen-kempen tentangan terhadap akta itu dibuat oleh pertubuhan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan sepanduk yang dibuat oleh pertubuhan itu melalui laman facebook dengan tajuk ‘Stop 114A’ itu dimuat turun oleh pelbagai pengguna internet dalam negara.
Petikan dari : Perak Today
No comments:
Post a Comment