Korban keganasan di Syria
KUALA LUMPUR - Meskipun konflik di Syria semakin genting dengan berlakunya kejadian tembak menembak dan bedilan bom, sembilan pelajar Malaysia bertindak nekad untuk tidak pulang ke tanah air.
Pemangku Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPSM), Anuar Majdi Azahan berkata, terdapat antara pelajar tersebut yang ingin terus menetap di Syria berikutan tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk menyambung belajar di negara ini.
"Walaupun sebelum ini saya telah meminta mereka pulang sementara ke tanah air dan sekiranya keadaan beransur pulih, tiada halangan bagi mereka untuk kembali ke Syria namun, mereka sudah nekad kekal di Syria dalam apa jua risiko yang menimpa.
"Saya juga meminta mereka supaya mengutamakan keselamatan keluarga bagi yang berkeluarga berbanding kehendak peribadi. Namun, mereka tidak mengendahkan permintaan itu dan terus menetap di Syria atas alasan pengajian universiti masih berjalan seperti biasa.
"Ada juga yang beranggapan situasi akan beransur pulih dalam masa terdekat. Bagaimanapun, kesemua mereka sudah dipujuk dan dijelaskan mengenai masalah-masalah yang lebih teruk bakal menimpa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Konflik di Syria semakin meruncing apabila kereta-kereta kebal tentera pimpinan Presiden Bashar al-Assad dilihat memasuki Damsyik, tempat di mana pelajar dan rakyat Malaysia kini berlindung.
Kejadian tembak menembak dan letupan bom di beberapa kawasan tumpuan penuntut Malaysia turut berlaku sehingga terdapat dalam kalangan mereka yang hampir terkena tembakan yang dilepaskan rejim tentera dan puak pemberontak.
Jelas Anuar, terdapat juga sebahagian daripada sembilan pelajar berkenaan meneruskan pengajian tidak formal bersama ulama-ulama tempatan di sekolah agama pondok serta ada yang sedang membuat keputusan untuk menetap di Syria.
"Setakat ini proses penghantaran pulang lain-lain pelajar Malaysia dari Syria sudah hampir siap namun keadaan pusat imigresen negara bergolak itu yang dijangka sesak akan menyukarkan urusan perjalanan," katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata, sembilan penuntut yang masih berdegil untuk terus berada di Syria mempunyai tempoh sehingga Isnin ini bagi mengubah fikiran.
Beliau berkata, sebelum tempoh itu MKN akan menggunakan segala pendekatan terbaik untuk mengeluarkan semua rakyat Malaysia di negara yang sedang bergolak itu.
Menurut beliau, tempoh yang diberikan itu mengambil kira jadual penerbangan terakhir misi membawa pulang 138 rakyat Malaysia termasuk 128 orang penuntut dan 10 orang ekspatriat.
"Kita sudah pun menghubungi ibu bapa penuntut terbabit supaya dapat berusaha memujuk dan meminta anak mereka balik. Kami akan melakukan apa sahaja yang terbaik kerana berdasarkan maklumat risikan, keadaan di Syria sekarang tidak menunjukkan tanda-tanda positif.
"Jadi, sebelum keadaan semakin buruk dan genting, sebelum jalan-jalan atau lapangan terbang ditutup, MKN akan mencari jalan terbaik untuk membawa mereka pulang," katanya.
Menurut Mohamed Thajudeen, usaha itu dibuat untuk mengelakkan masalah yang pernah berlaku di Libya pada tahun lalu berulang lagi di Syria.
Katanya, MKN pernah mengalami keadaan yang cukup sukar semasa pergolakan di Libya apabila jalan-jalan ditutup dan terpaksa mengeluarkan rakyat Malaysia dengan menggunakan laluan-laluan berbahaya.
"Kita tidak mahu peristiwa itu berlaku lagi kerana situasi Syria juga semakin genting, payah dan teruk," katanya sambil menambah seandainya sembilan penuntut itu tetap nekad untuk berada di Syria, MKN tidak mampu berbuat apa-apa.
Menurut beliau, mereka perlu menanggung risiko sendiri kerana kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk menyelamat setiap nyawa rakyat Malaysia di Syria.
***Sebagai kerajaan yang prihatin terhadap masalah rakyatnya, walaupun yang tinggal di luar negara kerana belajar, bekerja dan sebagainya, sentiasa mendapat perhatian dan diambil berat. Begitu jugalah dengan rakyat Malaysia yang berada di Syria. Khalayak mengetahui bagaimana situasi di Syria sekarang ini, maka sewajarnyalah kerajaan mengambil langkah2 perlu dengan membawa pulang rakyatnya yang tinggal di sana seberapa cepat yang boleh sebelum sesuatu yang buruk terjadi, demi mengutamakan keselamatan mereka.... tetapi jika enggan dan tetap berdegil mahu terus tinggal di sana, ambillah risiko sendiri ye, jangan nanti bila terjadi sesuatu yang tidak diingini nak salahkan kerajaan dan dijadikan alat pembangkang untuk menghentam kerajaan....!!!
No comments:
Post a Comment