BERMULA dengan kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang
melahirkan hasrat untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRI-13)
nanti, seorang lagi daripada golongan ulama iaitu Datuk Seri Azizan Abdul Razak
memberikan isyarat yang sama.
Bagaimanapun kita tidak boleh menyatakan bahawa pendirian mereka
ini suatu yang pasti atau tidak kerana akhirnya keputusan muktamad terletak
kepada parti. Namun ini tidak bermaksud kita tidak berhak untuk menghitung
nasib golongan ulama di dalam Pas dalam pilihan raya umum akan datang.
Sememangnya, kedudukan golongan itu menjadi perhatian sama ada
mereka akan menjadi calon majoriti atau sekadar ditempatkan dalam kelompok yang
kecil untuk bertanding di kawasan-kawasan luar bandar (kampung-kampung).
Semua orang tahu bahawa biar pun Pas suatu ketika memperkasakan
kepimpinan ulama namun slogan berkenaan boleh dikatakan hampir tidak kedengaran
lagi, apa yang kita sering dengar kini adalah Pas Untuk Semua (Pas For All) .
Justeru timbul persoalan sejauh manakah suara ulama akan memainkan
peranan penting dalam penentuan calon bagi Pas dalam PRU-13 nanti. Sama ada
penyokong Pas hendak mengakui atau tidak, suara ulama di dalam parti itu sudah
semakin menipis.
Segalanya berlaku sejak Pas bersekutu dengan Parti Keadilan Rakyat
(PKR) dan DAP, malahan pemilihan parti itu tahun lalu sudah menjadi bukti
bagaimana golongan ulama tidak begitu lagi diharapkan untuk menjadi peneraju
utama dalam mencapai cita-cita politik Pas mencapai kejayaan cemerlang dalam
pilihan raya.
Mungkin atas dasar itu juga, Abdul Hadi ketika diminta mengulas
mengenai kejayaan calon-calon profesional menduduki jawatan utama dalam parti
itu menganggap, ''inilah barisan pilihan raya Pas."
Sememangnya Abdul Hadi tidak mampu berbuat apa-apa bagi menghalang
penguasaan golongan ulama semakin luntur dalam parti itu. Biar pun Pas
mempunyai Dewan Ulama atau Majlis Syura yang seharusnya menjadi pakar rujuk
kepada sebarang tindakan politik Pas tetapi sejauh manakah badan-badan
berkenaan berfungsi?
Apa yang menarik dari semasa ke semasa suara ulama yang lantang
memperjuangkan sesuatu perkara atas nama kebenaran semakin dihalangi dengan
cita-cita politik Pas. Sebab itulah kita melihat bagaimana Dr. Hasan Ali biar
pun menjadi Exco Kerajaan Negeri Selangor beliau akhirnya disingkirkan, begitu
juga dengan nasib Ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa yang dikatakan
semakin tidak menentu kerana dilihat cenderung kepada usaha bekerjasama dengan
UMNO.
Ramai pemerhati politik melihat, penguasaan golongan profesional
bagi jawatan-jawatan utama dalam Pas akan turut mempengaruhi keputusan parti
itu dalam penentuan calon-calon dalam pilihan raya umum akan datang.
Ini memandangkan, golongan profesional mungkin sudah merasakan
masanya sudah tiba bagi mereka menguasai parti itu manakala golongan ulama
hanya bertindak sebagai penasihat sahaja. Mengulas perkara ini, penganalisis
politik, Ahmad Masrizal Muhammad berkata, sesuatu yang menarik untuk
diperhatikan dalam isu ini ialah bagaimana pengaruh pemimpin profesional dalam
Pas membuat keputusan terbaik memilih calon untuk partinya dan setakat mana
kumpulan aliran agama sanggup berkompromi.
Menurut beliau, secara strategiknya, peminggiran terhadap kumpulan
berlatarbelakang agama dilakukan dalam beberapa situasi.
''Pertama, ia dibuat berdasarkan kepada faktor lokaliti iaitu
kumpulan itu tetap akan menjadi taruhan terutama dalam kawasan yang majoriti
Melayu konservatif namun bagi kawasan Melayu di bandar utama, pasti kumpulan
ini tidak akan diberi peluang. Kumpulan profesional akan lebih diutamakan.
''Kedua, peminggiran berlaku dalam situasi kepimpinan struktural
parti.
Jawatan-jawatan utama yang strategik akan dipastikan diproksikan kepada
kumpulan bukan aliran agama. Ini adalah lebih merbahaya kerana ia akan ada
kaitan dengan hala tuju, dasar dan orientasi parti," katanya ketika
dihubungi.
Beliau berkata, dalam hal ini jika jawatan-jawatan utama parti
dipegang oleh kumpulan profesional maka adalah tidak mustahil dalam pilihan
raya umum nanti kita akan dihidangkan dengan lebih ramai calon-calon Pas yang
bukan daripada aliran agama kerana sudah pasti mereka akan campur tangan
menentukan calon-calonnya.
'' Jawatan utama mereka dalam parti adalah modal untuk mereka
bertegas dalam membuat keputusan penting parti seperti calon-calon pilihan
raya. Majlis Syura pun nampaknya sudah semakin menipis imunitinya. Inilah wajah
dan warna baru pas di era kepimpinan profesional dengan tagline 'Pas For
All'," katanya.
Namun apa pun yang hendak dilakukan oleh Pas, mereka tidak harus
melupakan jasa golongan ulama yang bukan sahaja bertanggungjawab menubuhkan
parti berkenaan tetapi juga meletakkan Pas pada tahap sekarang.
Bermula dengan hanya menangi satu kerusi dalam pilihan raya, Pas
kini sudah berupaya memerintah dua negeri iaitu Kelantan dan Kedah serta suatu
ketika pernah menawan Terengganu. Semua itu berlaku kerana jasa dan pengorbanan
golongan ulama yang disifatkan oleh Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr.Haron
Din sebagai juruterbang.
Malahan dalam satu wawancara dengan lidah rasmi Pas, Haron pernah
mengingatkan bahawa sejak Pas ditubuhkan pada 1951, ia adalah sebuah parti
Islam yang tujuan utamanya untuk melaksanakan tuntutan Allah bagi mengislamkan
masyarakat dan negara.
Selain itu, Haron juga menyentuh bagaimana dalam era kepimpinan
ulama, pencapaian besar perjuangan yang diletakkan atas landasan Islam bagi
menuju matlamat, keagungan dan memartabatkannya menjadi perjuangan yang memikat
hari majoriti umat Islam.
Tetapi itu dulu, Haron bercakap dalam wawancara yang disiarkan 15
Mei 2009, namun sekarang Pas sudah berbeza,. Matlamat negara Islam sudah tidak
lagi menjadi sasaran parti itu dan ini kemungkinan akan disusuli dengan
peminggiran konsep kepimpinan ulama secara terancang.
Ia terjadi kerana keterujaan Pas yang lebih bersikap terbuka dalam
berpolitik merebut kekuasaan. Keterujaan inilah yang memungkinkan Pas sanggup
berkompromi dan bersekongkol dengan PKR dan DAP biar pun banyak tindak-tanduk
kedua-dua parti itu dilihat bertentangan dengan perjuangan Pas.
Oleh itu bagi penyokong-penyokong golongan ulama dalam Pas mereka
perlu sedar tentang ancaman yang sedang dihadapi oleh golongan berkenaan
menjelang pilihan raya umum akan datang. Seperti mana kita ketahui golongan
ulama bukannya kumpulan yang semakin kuat dalam Pas malah semakin luntur
kekuatan mereka.
Tanpa menduduki jawatan penting dalam parti kecuali Abdul Hadi
yang menjadi Presiden, golongan ulama dalam Pas tidak boleh bersuara banyak.
Selama ini pun kita sudah lihat bagaimana apabila ada ulama yang cuba bersuara
lantang hatta dalam soal agama sekali pun mereka akan mendapat kritikan
daripada dalam Pas sendiri.
Oleh itu, kata-kata kononnya golongan ulama akan menjadi jurupandu
kepada perjuangan politik Pas hanyalah omong kosong dan nasib golongan itu akan
terus terpinggir dalam pilihan raya umum akan datang.
Jika golongan ulama mahu memperkukuhkan semula kedudukan mereka
dalam parti itu, mereka harus mematikan calon daripada golongan itu paling
ramai menjadi calon kerana jika tidak percayalah haluan perjuangan Islam yang
dipelopori oleh ulama pada 1951 hanya akan tinggal sekadar catatan sejarah.
No comments:
Post a Comment