Thursday 22 March 2012

PAS KHIANATI BANGSA SENDIRI..???

KOTA BHARU  - Rakyat Kelantan tidak dapat menerima tindakan kerajaan Pas negeri yang didakwa telah memajakkan tanah rizab Melayu kepada syarikat bukan bumiputera kerana menganggap perbuatan itu mengkhianati bangsa sendiri.


Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata rakyat Kelantan yang ditemui menyifatkan, tindakan kerajaan Pas tersebut bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang melindungi hak-hak istimewa orang Melayu.


Seorang penjawat awam, Mohd. Rashidi Zakaria, 36, berkata, tindakan tersebut tidak boleh dimaafkan kerana ia melibatkan kepentingan kaum Melayu sendiri.


Selain mampu memberi kesan kepada nasib orang Melayu terutamanya golongan miskin, tindakan tersebut juga katanya, dilihat telah menutup ruang kepada pengusaha-pengusaha Melayu di Kelantan.


"Saya berharap kerajaan fikirkanlah nasib rakyat di negeri ini, janganlah asyik mengutamakan keuntungan semata-mata," katanya diminta mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai tindakan kerajaan Pas Kelantan yang didakwa memajak tanah rizab Melayu kepada syarikat bukan bumiputera.


Pelbagai pihak menyifatkan tindakan kerajaan Pas Kelantan memajak tanah rizab Melayu kepada syarikat-syarikat bukan bumiputera dari luar Kelantan dan mengenepikan penduduk tempatan yang rata-ratanya miskin sebagai perbuatan zalim.


Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed pula menganggap sikap kerajaan negeri yang berbuat demikian jelas menganiaya rakyat.
Bagi seorang usahawan, Sharul Fadhel, 32, tindakan kerajaan Pas Kelantan itu akan memberi kesan buruk kepada kaum Melayu di negeri ini pada masa akan datang.


"Mungkin sekarang tidak menampakkan kesan, tetapi bayangkan 20 tahun ke depan, apa nasib akan diterima generasi akan datang terutamanya golongan miskin negeri ini.


"Pembangunan yang dilaksanakan syarikat bukan bumiputera ini pasti akan menenggelamkan golongan Melayu miskin selepas ini," dakwanya.


Mohd. Zaidan Abd. Rahim, 36, pula berpendapat, kerajaan Pas sepatutnya memelihara tanah rizab Melayu yang ada, bukannya memajakkan tanah-tanah berkenaan kepada pihak luar.


"Kita mahu tanah Melayu ini dimajukan oleh orang Melayu sendiri, jangan melibatkan syarikat luar. Pas selama ini sering melaungkan slogan kerajaan Islam dan kerajaan berkebajikan, namun tindakan yang dilakukan ini jelas mencerminkan siapa Pas sebenarnya," dakwa beliau.
Arif Hakimi Zulkifli, 32, pula berharap, kerajaan Pas Kelantan menarik balik tindakan yang dilakukan itu kerana ia akan hanya merugikan rakyat negeri ini.


"Sepatutnya, sebagai pemerintah keutamaan kepada rakyat mesti didahulukan," katanya.


 

No comments: