Thursday 29 March 2012

NALLA TETAP PENDIRIAN : ANWAR MEMANG TAK LAYAK JADI PM

Anwar Tak Layak Jadi PM: Nalla

KUALA LUMPUR – Datuk S Nallakaruppan tetap dengan pendiriannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana Ketua Pembangkang itu seorang biseksual.
Dengan nada tegas, bekas rakan karib Anwar itu berkata beliau sanggup disaman walaupun RM500 juta kerana mendakwa mempunyai bukti yang boleh menyokong kenyataannya dan bersedia mendedahkannya di mahkamah.
“Saya tetap dengan pendirian bahawa seorang biseksual tidak layak jadi Perdana Menteri atau Ketua Pembangkang. Bukan di negara ini. Ini prinsip yang saya tetap pegang walaupun saya disaman RM500 juta,” katanya yang membaca kenyataan empat perenggan pada sidang media, di sini semalam.
Hadir sama peguamnya, Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah serta tiga Ahli Parlimen BEBAS, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Datuk Zulkifli Nordin (Kulim Bandar Bharu) dan N Gobalakrishnan (Padang Serai).
Isnin lalu, Anwar mengemukakan saman malu menuntut ganti rugi RM100 juta daripada Nallakaruppan yang juga Presiden Parti India Malaysia (MUIP) dan dua pihak lagi berhubung artikel dalam akhbar Utusan Malaysia yang didakwa mengaitkannya dengan aktiviti biseksual.
Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar berkata, semua defendan secara salah dan berniat jahat menerbitkan perkataan fitnah melalui artikel muka depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20 Mac lalu bertajuk ‘Anwar biseksual, tak boleh jadi ketua pembangkang – Nalla’ dan pada muka enam bertajuk ‘Nallakaruppan tuduh Anwar biseksual.’
Anwar mendakwa, perkataan fitnah dalam artikel itu antaranya membawa maksud beliau seorang yang tidak layak memegang jawatan sebagai Ketua Pembangkang, pemimpin Muslim yang berkelakuan tidak selari dengan ajaran Islam, tidak mempunyai reputasi yang baik dan rendah moral.
Katanya, perkataan fitnah itu adalah palsu, tidak berasas dan disiarkan dengan niat jahat serta menjejaskan dengan teruk karakter, penghormatan, reputasi peribadi, politik serta kedudukannya.
Anwar mendakwa, beliau melalui peguam Tetuan Edwin Lim Suren & Soh pada 20 Mac lalu mengarahkan ketiga-tiga defendan menarik semula artikel berkenaan, memohon maaf dan membayar ganti rugi kepadanya tetapi sehingga kini mereka gagal berbuat demikian.
Dalam sidang media itu, Nallakaruppan juga mahu perbicaraan dimulakan segera bagi membolehkan rakyat mengetahui kebenaran.
Beliau juga mendakwa Anwar menyamannya kerana kenyataannya yang mengatakan tiada peruntukan dalam Perlembagaan bahawa seorang biseksual tidak boleh menjadi Perdana Menteri atau Ketua Pembangkang.
“Saya tidak boleh terima seorang biseksual sebagai menantu dan saya juga tidak boleh terima seorang biseksual sebagai pemimpin,” katanya.
Sementara itu Zahrain, berkata kehadiran beliau bersama pemimpin lain pada sidang media itu bagi membuktikan sokongan mereka terhadap pendedahan Nallakaruppan.
“Kita lebih mengenali Anwar dan kita tidak mahu rakyat terus ditipu. Sebab itu saya akan bersama-sama dengan beberapa pemimpin lain untuk menjelaskannya kepada rakyat,” katanya.
Pengasas PKR, Ng Lum Yong yang turut hadir pula berpendapat kes saman itu bukan antara Anwar dengan Nallakaruppan, sebaliknya antara pemimpin pembangkang itu dengan rakyat Malaysia.
Bekas setiausaha politiknya, Annuar Shaari pula menyifatkan hubungan Anwar dengan Nallakaruppan sangat akrab dan pasti tahu banyak mengenainya.
Bekas Naib Ketua Pemuda Keadilan, Zahid Md Arip pula secara sinis berharap Anwar tidak lagi cuba berselindung di sebalik nama besar ulama Yusof Al-Qardawi dalam menghadapi kes biseksual itu. - Berita Harian Online

No comments: