Tuesday, 20 March 2012

APAKAH SIKAP YANG SEPATUTNYA DIMILIKI BLOGGER UMNO (BN - KERAJAAN) MENJELANG PRU 13..???

17 Sikap Blogger UMNO(BN) Yang Sepatutnya Menjelang PRU Ke-13...



1. Blogger UMNO atau boleh sahaja diperluaskan sebagai Blogger Barisan Nasional(BN) wajar membezakan dirinya dengan tipa dan kinda blogger pembangkang. Apa yang kita tidak suka berlaku pada blogger pembangkang, tidak sepatutnya berlaku kepada kita supaya pembaca blog tidak akan berkata yang kita sama sahaja dengan blogger sebelah sana.

2. Blogger memang muncul daripada manusia biasa, tetapi cara berfikir dan bertindak mereka bukan biasa-biasa. Mereka bukan sahaja individu yang dilihat mampu menggali masalah sehingga ke akar umbinya, tetapi mampu juga melakukan diagnosis dan mencadangkan solusi dan ubat yang tepat.

3. Ia boleh sahaja menerima sedikit imbalan daripada usahanya jika ada orang mahu memberinya, dan tentulah itu tidak salah. Tetapi ia tidak sepatutnya mencari makan dengan menyondol-nyondolkan kepalanya kepada seseorang lalu akhirnya membiarkan dirinya dipengaruhi oleh sikap orang itu sehingga sanggup pula menjadi musuh kepada sahabat partinya sendiri.

4. Kita boleh meminta dana atau sedikit peruntukan atas usaha kita sebagai satu cara untuk menyuntik semangat bagi meneruskan perjuangan memperkukuhkan parti dan negara, tetapi blogger tidak sepatutnya mencari sesuap nasi dengan blognya dan lebih hina daripada itu sanggup pula mengekang pemikiran merdeka dan cadangan bebas mereka dengan membiarkan dirinya dipengaruhi oleh cara berfikir dan bertindak seseorang yang dia sendiri di bawah pengaruhnya.

5. Blogger patut menjadi rakan jujur kerajaan dan parti dengan jiwa yang tenang lagi merdeka melalui garapan pemikirannya yang bitara, yang sarat dengan pelbagai cadangan dan pandangan strategik dan taktikal dengan hanya satu nawaitu iaitu untuk membantu usaha transformasi kerajaan BN yang sedang diusahakan oleh YAB DS Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dan Timbalannya dalam agenda yang dikongsi dan dihayati bersama untuk memperkukuhkan parti dan kerajaan.

6. Jika ia mahu berpihak juga ia hanya patut berpihak kepada parti, agama dan bangsanya. Jika ada individu yang mahu disokongnya individu itu tidak lain dan tidak bukan ialah Perdana Menteri dan Timbalannya.Itu pun bukan sokongan membabi buta tanpa alasan. Usaha transformasi dan agenda memperkukuhkan parti dan kerajaan itulah alasannya untuk kita menyokong mereka.

7. Seseorang blogger itu boleh sahaja menyokong individu tertentu yang diminatinya. Ini adalah fitrah manusia. Tetapi janganlah tendensinya untuk meminati seseorang sampai ia menjadi lupa bahawa ia bukan musuh kepada individu dalam partinya sendiri walhal individu yang dilayan sebagai musuhnya itu tidak ada dosa peribadi dengannya yang turut sama berjuang memperkasakan parti, agama, bangsa dan negara tetapi menggunakan cara dan taktik yang berbeza.

8. Jika ini berlaku juga ia tidak ubah seperti perangai kita seperti 2008 dan sebelumnya. Kita sebagai blogger sepetutnya menjadi pemimpin kepada yang lain, sebaliknya jika ini yang berlaku kehadiran kita sebagai blogger dan nama blogger kita tidak membawa apa-apa. Jelas sekali ini satu kerugian dan pembaziran, tiada perubahan dengan masa lalu kita.

9. Blogger mesti dilihat berfikir bebas tetapi terkawal, bukannya terikat dan berdendam; mencintai perpaduan dan kerjasama bukannya dilihat memihak, memecah, membelah dan menyebab permusuhan; menawarkan idea bernas dan memperkukuh parti, bukan idea biasa-biasa dengan sekadar berpuas hati melakukan copy and paste.

10. Blogger tidak boleh mengambil sikap mengecilkan saiz, melakukan taktik pecah dan perintah dalam partinya (tetapi betul untuk melemahkan musuhnya), membelah bahagi pasukan (team) kepada kumpulan yang lebih kecil, memotong saiz kepada piece meal,menanamkan kebencian terhadap seseorang yang tidak ada permusuhan peribadi dengannnya dan bersikap memihak.

11. Apabila seseorang blogger mendekati seseorang, jangan pula sampai ia membenci saudaranya sendiri. Ketahuilah ada individu yang berjuang bak bahtera di lautan, nampak susuk kapal dan pergerakannya, tetapi ada individu yang menyusup seperti ular dalam belukar atau seperti ikan yang menyelam di dalam air.

12. Sebarang pandangan, kritikan dan pendapat tidak seharusnya dilihat terlalu memihak kepada individu tertentu sehingga sanggup pula memusuhi individu yang lain walhal individu yang cuba dimusuhi itu berada di dalam organisasi yang sama yang sama-sama berjuang untuk membela parti, agama, bangsa dan negara.

13. Blogger tidak boleh mengajar orang ramai melihat seseorang dengan pandangan ekor matanya, tetapi blogger melihat seseorang secara terus dengan mata bulat dan penuh. Blogger tidak patut membiarkan dirinya dipengaruhi oleh sikap dan pandangan yang salah, seperti juga dia tidak sepatutnya mempunyai sikap dan pandangan yang salah sehingga boleh menjejaskan parti dan negaranya.

14. Apabila seseorang blogger mendekati individu A, individu B bukan musuhnya. Begitu juga apabila mereka mendekati individu B, individu A bukan musuhnya. Musuh blogger bukan A dan B tetapi adalah musuh yang sama-sama dihadapinya iaitu syaitan dan mereka yang menuruti musuh Allah itu yang sukakan perpecahan, perbalahan dan permusuhan sehingga menjahanamkan parti, agama, bangsa dan negara.

15. Atas sikap itulah saya mengambil pendirian sehingga sekarang untuk tidak menjadi ahli mana-mana persatuan blogger. Saya mahu bebas mandiri, menjadi rakan jujur kerajaan BN dan parti agar parti dan kerajaan yang saya cintai (dan takut jika sesuatu yang tidak baik akan berlaku kepadanya) hanya mendapat sesuatu yang benar, bersih dan ikhlas daripada saya.

16. Saya tidak akan menyembunyikan sesuatu jika itu penting untuk keutuhan parti dan negara, tetapi pada masa-masa tertentu saya juga lebih suka berdiam diri jika dengan diam saya itu parti dn negara yang saya cintai akan mendapat manfaatnya.

17. Saya ingin beritahu kepada semua blogger yang cintakan perpaduan dan keamaman, yang menolak kebencian dan permusuhan, jika berlaku apa-apa yang buruk kepada negara dan parti yang dicintai ini, blogger tidak boleh berlepas tangan begitu sahaja. Anda turut bertanggungjawab dengan apa yang anda tulis dan lakukan.

Sumber : DI SINI

No comments: