Monday, 23 January 2012

BILA GURU KENCING BERDIRI.....

FATWA memiliki kedudukan yang agung. Orang yang memberi fatwa mencurahkan fikiran untuk menjelaskan apa yang samar-samar bagi umat tentang urusan agama dan membimbing mereka ke jalan yang lurus. Oleh kerana itu, kedudukan ini tidak mampu disandang melainkan ahlinya.

Lantaran itu Ibnu Manzhur mendefinisikan bahawa fatwa ialah suatu kenyataan yang dikeluarkan oleh mufti mengenai suatu hukum atau satu keputusan yang dikeluarkan oleh seorang yang faqih iaitu seorang yang berpengetahuan luas dan mendalam dalam perundangan Islam. (Lisanul Arab).

Ramai ulama silam yang masyhur mengarang kitab yang membicarakan dengan panjang lebar mengenai fatwa dan kepentingannya dalam Islam. Ibnu Qayyim al-Jawziyah sendiri menulis I'lam al-Muwaqqi'in 'An Rabb al-'Alamin sebanyak 4 jilid besar.

Antara pihak lain yang menulis subjek sama termasuk Imam Qarrafi al-Maliki - Tamyiz al-Fatawa 'An al-Ahkam Wa Tasarrufat al-Qadhi, Imam Jamaluddin al-Qasimi - Fatawa Fil Islam, Ibnu Hamdan al-Hambali - Sifat al-Fatwa Wa al-Mufti Wa al-Mustafti, Abu Khatib al-Baghdadi -Al-Faqih Wa al-Mutafaqqih dan banyak lagi.

Dek kerana terperincinya sesuatu perkara itu difatwakan adalah tidak adil bagi orang awam untuk menolak dan mengabaikan fatwa itu tanpa sebarang perbincangan yang wajar. Lebih-lebih lagi apabila fatwa itu dikeluarkan secara rasmi oleh individu atau organisasi yang diberikan autoriti oleh pemerintah.

Isu Wang Zakat dan Saman

Ini merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh mengenai isu penyalahgunaan wang zakat oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Pihak pembangkang seperti membakul sampahkan fatwa ini. Lebih-lebih lagi fatwa ini bukanlah daripada akal dan pandangan peribadi mufti melainkan ia didasari dengan dalil dan dijelaskan oleh ulama terkemuka.

Oleh kerana suara ulama dan agamawan sudah mula dipinggirkan dalam Pas, maka elok juga kita ingatkan sebuah hadis daripada sahabat Abu Said al-Khudri, "Zakat itu tidak halal bagi orang kaya kecuali untuk lima golongan ; (1) amil, (2) seseorang yang membelinya dengan harta miliknya, (3) orang yang berhutang, (4) tentera yang berperang di jalan Allah, atau (5) seorang miskin yang menerimanya lalu menghadiahkan kepada orang kaya." (Sahih Sunan Abu Dawud)
Imam Muhammad bin Ismail Ash-Shan'ani ketika memberi syarahan hadis ini berkata, "Termasuk mereka juga seseorang yang bekerja untuk kepentingan orang Islam, seperti bidang pengadilan, pemberian fatwa dan pengajaran, walaupun mereka termasuk orang kaya." (Subulus Salam Syarah Bulughul Maram)

Urusan zakat bukan alang-alang penting dalam Islam kerana termasuk satu daripada lima Rukun Islam. Ia termasuk ibadah khusus yang tawqif memiliki tatacara yang telah baku, bermakna ia tidak boleh ditambahi dan dikurangi tanpa berasaskan dalil.

Sesungguhnya di antara kejahatan yang terbesar dalam agama adalah seseorang mengatakan tentang sesuatu bahawa ini halal, padahal dia tidak mengetahui hukum Allah tentang itu. Atau berkata tentang sesuatu bahawa ini haram padahal dia tidak mengetahui hukum Allah tentang itu.

Sesuai dengan firman Allah yang bermaksud; "Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebutkan oleh lidah secara dusta ini halal dan ini haram untuk mengadakan pembohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang yang mengadakan-adakah pembohongan terhadap Nama Allah tidak akan beruntung." (Surah An-Nahl, ayat 116)

Bukan itu sahaja, Nabi sendiri dalam beberapa hadis mengancam seseorang itu mengeluarkan pendapat tentang al-Quran sesuka hati berdasarkan akal dan nafsu semata-mata. Dalam Musnad Abdun Hamid, Nabi diriwayatkan berkata; Barang siapa berpendapat berdasarkan pendapatnya dalam masalah yang ada kaitannya dengan al-Quran, maka tempat kembalinya adalah neraka." (I'lamul Muwaqqi'in An Rabbil Alamin)

Begitu juga semulia-mulia dan seutama-utama manusia selepas Nabi Muhammad, sahabat dan mertuanya yang dicintai Abu Bakar As-Siddiq (semoga Allah redha kepadanya) mengatakan, "Langit mana yang akan menaungiku dan bumi mana yang akan membawaku, apabila aku berbicara tentang Kitab Allah tanpa ilmu." (Jamii Bayaanil Ilmi wa Fadhlihi)."

Justeru kita merasa sangat hairan dengan sikap mereka yang mendakwa diri berjuang untuk Islam dan mendaulatkan al-Quran dan As-Sunnah. Namun dalam pada masa yang sama, tindakan mereka bertentangan dengan apa yang mereka ucapkan. Al-Quran yang mereka baca tidak lebih daripada sekadar bunyi-bunyi indah dari kerongkong mereka sahaja. Manakala tindakan dan amalan mereka meluncur dan melencong tidak ubah seperti busur yang keluar daripada panahnya.

Sikap Pembangkang Terhadap Mufti dan Fatwa

Sikap meminggirkan fatwa bukan sekali ini sahaja berlaku, bahkan sudah berlarutan dan menjadi tabiat yang sukar dikikis.

Tan Sri Dr. Harussani Zakaria pernah menceritakan bahawa pihak pembangkang banyak kali tidak menerima fatwa yang dikeluarkan. Ini beliau ceritakan dalam sebuah wacana beberapa bulan yang lalu. Kenyataan beliau itu terbukti serta-merta apabila disambut cercaan "boo" daripada majoriti penyokong pembangkang yang hadir.

Sudahlah pemimpinnya angkuh menolak fatwa, ahli dan penyokongnya pula tidak berakhlak kepada mufti dan orang yang lebih tua. Ibarat kata, "guru kencing berdiri, anak murid berak melompat".

Bukankah dahulu mereka juga yang melaungkan kalam Allah, "Adakah kamu beriman dengan sebahagian Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain". (Surah Al-Baqarah, ayat 85)

Hari ini sepertinya ada yang lupa bahawa dalam kalam Allah juga memesankan supaya taat kepada Allah, taat kepada Rasul dan ulil amri. Dan para ulama menjelaskan salah satu dari tafsiran ulil amri ialah ulama. Dan ulama telah berfatwa sesuai dengan ayat Allah, sesuai dengan hadis Nabi dan tafsirannya benar mengikut pandangan ulama yang muktabar.

Benarlah apa yang dijelaskan oleh pengarang kitab Dar'ut Ta'arudh An-Naqli Wal Aqli; "Setiap kali ahli batil berhujah dengan dalil dari Al-Kitab mahupun As-Sunnah yang sahih untuk membela kebatilan mereka, maka dalil yang mereka gunakan tersebut akan berbalik menyerang mereka."

Begitulah manusia dan resam dunia. Ia bergulung laksana ombak. Seringkali juga kita melupakan apa yang telah kita perkatakan kepada orang lain. Dan akhirnya akibat kelupaan dan keseronokan kita menuding jari akan kesalahan kepada orang lain, ternyata empat jari yang lainnya berbalik menuding kita.

Kita akhiri dengan merenungkan perkataan Imam Ibnu Qayyim tentang manusia; "Manusia itu ada empat macam; yang terbaik di antara mereka adalah yang diberi ilmu dan sikap santun, yang terburuk di antara mereka adalah yang tidak memiliki ilmu dan tidak memiliki sikap santun..., Maka, sikap santun adalah hiasan ilmu sekali gus menjadi kecantikannya. Lawan kepada sikap ini adalah kurang akal, tergesa-gesa, dan tidak memiliki kemantapan."

Semoga kita semua termasuk dalam golongan manusia yang terbaik itu.

MOHD. RIDUAN KHAIRI
Biro Penerbitan iLMU
(Sekretariat Ulama Muda UMNO)

No comments: