Bagaimana boleh berlaku peningkatan sebegini?
Terdapat banyak faktor yang boleh menyumbang kepada penyakit diabetes seperti masalah berat badan, pengambilan makanan tinggi lemak dan kurang serat, keturunan atau sejarah keluarga (diabetes ada hubungkait kuat dalam keluarga). Begitu juga peningkatan umur, kurang bersenam dan mengamalkan gaya hidup tidak aktif - ciri yang ada pada kebanyakan masyarakat kita. Wanita yang mengalami masalah diabetes ketika hamil mempunyai risiko tinggi menghidap penyakit ini.
Diabetes boleh dibahagikan kepada dua jenis/kategori iaitu:
I. Diabetes Mellitus yang bergantung kepada Insulin (IDDM) atau Diabetes Mellitus Jenis I;
II. Diabetes Mellitus yang tidak bergantung kepada Insulin (NIDDM) atau Diabetes Mellitus Jenis II. Jenis yang paling banyak dialami adalah diabetes jenis II.
Jika anda mengalami gejala seperti luka yang lambat sembuh, jangkitan pada sistem pembuangan air kencing dan kemaluan, kebas kaki, dahaga, kerap buang air kecil dalam kuantiti yang banyak, letih dan lesu serta berat badan menurun tanpa sebab, anda disarankan menjalani ujian untuk diabetes.
Luka yg lambat sembuh akibat diabetes
Kebanyakan orang tidak sedar mereka menghidap diabetes. Di Malaysia, pakar perubatan menganggarkan kebanyakan pesakit sudah menghidap diabetes bertahun-tahun lamanya sebelum penyakit mereka dikesan. Inilah sebabnya kita perlu mengetahui paras gula darah kita dengan kerap menjalani pemeriksaan. Diabetes boleh dikesan melalui ujian darah di mana-mana klinik atau makmal seperti Pathlab iaitu:
"Ujian paras gula ketika berpuasa - Ujian ini biasanya dijalankan pada waktu pagi selepas berpuasa selama lapan jam. Ini bermakna seseorang yang ingin menjalani ujian ini tidak boleh makan atau minum (kecuali air masak) selama lapan jam sebelum ujian.
"Ujian paras gula secara rambang - Ujian ini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan tidak perlu berpuasa.
"Ujian oral toleransi glukosa - Dalam ujian ini seseorang akan diberi minum air yang dibancuh dengan 75 gram glukosa. Tahap gula dalam darah akan diperiksa semasa puasa dan selepas dua jam pengambilan 75g glukosa.
Secara lazimnya ujian ini untuk wanita hamil yang disyaki menghidap diabetes di klinik kerajaan. Ramai wanita menghidap diabetes ketika hamil sedangkan mereka tidak pernah mengalami masalah itu. Keadaan ini dipanggil diabetes gestasi yang hanya berlaku ketika hamil. Wanita yang ada masalah ini mempunyai risiko mengalami pradiabetes dan diabetes jenis II kelak.
Biasanya ujian ini bertujuan mengetahui risiko menghidap diabetes gestasi ketika kehamilan memasuki minggu ke-24 hingga 28. Untuk mengesannya, wanita dikehendaki berpuasa selama lapan jam, dan akan diberikan air glukosa (ujian oral toleransi glukosa). Ujian ini sangat penting kerana diabetes gestasi boleh memberi kesan kepada kandungan; antara risikonya ialah badan bayi menjadi besar daripada normal (makrosomia), tahap gula dalam darah bayi terlalu rendah (hipoglisemia), bayi boleh mengalami demam kuning atau bayi boleh mengalami sindrom sesak nafas.
Ada lagi satu perkara penting yang perlu diketahui khususnya bagi pesakit diabetes iaitu ujian untuk mengetahui paras HbA1c. Ini adalah ujian bagi menunjukkan purata gula dalam sel darah merah dalam tempoh tiga bulan. Ia juga menunjukkan sama ada diabetes anda terkawal atau sebaliknya.
Dalam ujian ini, sampel darah pesakit akan diambil dan dihantar ke makmal untuk dianalisis. Keputusan anda normal jika HbA1c berada pada tahap 6 peratus atau kurang. Tahap HbA1c yang digunakan untuk diagnosis diabetes ialah kurang dari 5.7 peratus (normal), 5.7 hingga 6.4 peratus (pra diabetes) dan 6.5 peratus atau lebih (diabetes). Jika anda menghidap diabetes, anda perlu memastikan paras HbA1c di bawah 7 peratus dan berbincang dengan doktor tahap yang sesuai untuk anda.
Diabetes dan kerosakan pada buah pinggang
Diabetes tidak terkawal boleh mencetuskan pelbagai komplikasi yang membabitkan banyak organ seperti menyebabkan kerosakan jangka panjang kepada mata (boleh mengakibatkan buta), saraf (kebas atau hilang deria rasa di tangan dan kaki boleh cedera tanpa disedari), otak (strok), buah pinggang (kegagalan buah pinggang) dan jantung (serangan jantung).
Kerosakan saraf pada uretra akibat diabetes
Jangan perjudikan kesihatan dan segeralah jalani pemeriksaan kesihatan am untuk mengetahui tahap kesihatan anda. Sesiapa yang bertanggungjawab terhadap kesihatan sendiri, seharusnya datang untuk menjalankan saringan pemeriksaannya kerana umur yang panjang tidak bermakna jika kita tidak sihat. Ujian saringan kesihatan am boleh dilakukan di mana-mana klinik atau 50 cawangan makmal Pathlab di seluruh Malaysia.
Penulis : Amalkan cara hidup dan pemakanan yg sihat utk hidup yg sihat.....
No comments:
Post a Comment