Berkata Ibnu Abbas r.a bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda : Allah telah berfirman :
“Hanyasanya Aku menerima solat itu dari orang yang merendahkan diri kerana kebesaranKu dan dia tiada pula menyombongkan dirinya terhadap makhlukKu, tiada terus-menerus mengerjakan maksiat kepadaKu, dia menghabiskan semua harinya dengan berzikir kepadaKu, dia sentiasa berbelas kasihan terhadap kaum fakir miskin, Ibnu Sabil (musafir) dan janda-janda, dia berbelas kasihan juga terhadap orang yang di timpa musibah. Orang itu bercahaya laksana cahaya matahari. Akan Aku lidunginya dengan kebesaranKu, akan Aku memeliharanya dengan malaikat-malaikatKu. Akan Aku berikannya cahaya ketika di dalam kegelapan, akan Aku berikannya kesopan-santunan ketika di dalam kekerasan. Perumpamaannya di antara makhluk-makhlukKu seperti perumpamaan syurga Firdaus antara syurga-syurga yang lain.” (Riwayat Bazzar)
Huraiannya :
Ada sebuah hadis lain yang menyifatkan solat itu sebagai “ketenangan hati, kerendahan diri dan permohonan jiwa.” Bila ia tidak diliputi dengan syarat-syarat ini, bukanlah ia dinamakan solat. Apatah lagi kalau solat itu dijadikan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang, atau untuk bermegah-megah supaya mendapat pujian orang, maka jadilah solat itu sebagai suatu permainan dan tentulah solat serupa ini jauh dari boleh diterima oleh Allah SWT. Lantaran itu di dalam firmanNya di dalam hadis Qudsi di atas, dikatakan bahawa Dia (Tuhan) hanya akan menerima solat orang yang merendahkan diri kepadaNya.
Kalau di dalam solat, manusia harus merendah diri. Di luar solat juga, dia harus bersifat demikian pula. Dia harus mempunyai juga sifat-sifat terpuji yang lain, sehingga solatnya diterima Allah SWT iaitu sifat-sifat yang mesti disifati oleh seorang Mukmin yang hakiki, yang benar-benar patuh kepada pengajaran Islam.
Antara sifat-sifat itu ialah tidak menyombong diri kepada sesama manusia, kerana semua mereka itu sama dalam pandangan Allah SWT. Tiadalah lebih yang satu kepada yang lain, melainkan dengan taqwa saja. Dia tidak pula terus-menerus mengerjakan maksiat, tanpa takut atau segan lagi.
Orang itu tentu tidak diterima Allah solatnya, sebab kalau solatnya diterima Allah. Nescaya dia akan berhenti dari melakukan maksiat dan dosa.
Kemudian hendaklah dia sentiasa mengingati Allah Ta’ala, berzikir kepadaNya, sentiasa bersifat belas kasihan kepada kaum fakir miskin, janda-janda yang tidak punya suami. Dia suka pula membantu orang yang ditimpa bala dan bahaya untuk meringankan penderitaannya. Kalau semua sifat ini ada pada seseorang, nescaya solatnya diterima Tuhan. Dia sentiasa berada di dalam lindungan Allah serta penjagaan para malaikatNya. Dia laksana cahaya matahari yang menyinari alam sekitarnya. Ketika di dalam gelap, dialah yang menjadi cahayanya. Ketika di dalam kekerasan, dialah yang menjadi penyantunnya.
Hadis ini diakhiri dengan menyebut suasana pangkat yang tinggi yang diberikan tuhan kepadanya, iaitu: Dia antara sesama makhluk, laksana syurga Firdaus antara syurga-syurga yang lain, padahal Firdaus itu adalah nama bagi syurga yang tertinggi sekali di akhirat kelak.
Yang baik itu dari Allah, dan yang tak baik itu dari kelemahan diri ini…
Wallahu’alam
No comments:
Post a Comment