Kuala Lumpur – Dua penuntut perubatan Malaysia di Mesir dilaporkan ditahan pasukan keselamatan negara berkenaan selepas didapati melanggar arahan perintah berkurung, Selasa lalu.
Mereka yang sepatutnya dihantar pulang ke Malaysia pada hari berkenaan, gagal dihubungi selepas mendaftarkan diri di kedutaan besar Malaysia di Kaherah.
Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Mesir, Shaiful Anuar Mohammad, ketika dihubungi BH berkata selepas diperiksa, kedua-dua penuntut yang berasal dari Sarawak dan Melaka itu didapati ditahan pasukan keselamatan di Helwan, Mesir.
Katanya, selepas ditahan, wakil pasukan keselamatan Mesir terus menghubungi pihak kedutaan bagi memaklumkan penahanan itu sebelum wakil kedutaan dihantar bagi membebaskan mereka.
“Kedua-dua mereka berada dalam keadaan baik dan pihak kedutaan sedang menguruskan proses bagi membebaskan mereka dari tahanan pasukan keselamatan.
Kena bayar denda
“Kami difahamkan pasukan keselamatan di sini (Mesir) menahan mereka selepas didapati melanggar waktu perintah berkurung yang dikuatkuasakan pemerintah sementara negara ini sejak pergolakan berlaku minggu lalu,” katanya.
BH difahamkan, pihak kedutaan mungkin terpaksa membayar denda bagi membebaskan dua penuntut itu yang masing-masing menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah dan Universiti Iskandariah.
Dalam perkembangan lain, Shaiful berkata hingga semalam, 588 pelajar Malaysia yang menuntut di universiti sekitar Kaherah dan Iskandariah sudah dihantar pulang.
“Kini pihak kedutaan sudah menutup pendaftaran bagi penghantaran pulang secara sukarela pelajar Malaysia yang berada di Kaherah dan Iskandariah dan memfokuskan proses penghantaran penuntut kita yang berada di daerah lain pula,” katanya.
Terpaksa catu makanan
Di Sepang, penuntut Malaysia yang baru tiba di sini, berkata rakan mereka yang masih berada di Mesir terpaksa mencatu dan menyimpan bekalan makanan kerana bimbang keselamatan terancam atau terkena peluru sesat jika keluar dari kediaman.
Penuntut Universiti Al-Azhar, Nur Hidayati Suwarso, 23, dari Kedah, berkata dia dan rakannya terpaksa menyimpan stok makanan kerana bimbang keselamatan terancam jika keluar membeli barangan keperluan harian di pasar atau kedai runcit berhampiran kediamannya.
“Kami terpaksa membeli stok makanan untuk seminggu sebagai langkah berjaga-jaga berikutan krisis yang berlaku di Mesir,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.
Nur Hidayati adalah antara 41 penuntut dari Mesir yang pulang ke tanah air semalam menaiki pesawat Etihad Airways dan Emirates, masing-masing pada jam 1.50 petang dan 3.10 petang.
Ketua Pegawai Eksekutif Medic Mesir, Siti Haniza Mohd Nazri, berkata 100 daripada 350 penuntut yang diurus agensi itu mendaftar untuk mengikuti pengajian dalam program asasi di universiti swasta di negara ini. -BH
No comments:
Post a Comment