BERPUASA pada siang hari dan beribadat sebelah malamnya dengan mengerjakan solat tarawih sepanjang bulan Ramadan merupakan dua amalan yang penuh dengan keistimewaan serta keberkatan. Kedua-duanya begitu sinonim dan sukar dipisahkan kerana ia memberi manfaat tersendiri kepada umat Islam dalam melaksanakan ibadah tersebut.
Jika tertinggal atau tidak mengerjakan salah satunya, maka puasa atau solat tarawih yang dilakukan bukan sahaja terasa kosong, malah sia-sia. Sebaliknya, seseorang itu hanya mendapat kepenatan. Bagi Haniff Abu Talib, 23, pelajar jurusan Ijazah Takhassus Qiraat Shoubra di Maahad Qiraat Al-Azhar, Mesir, ketibaan Ramadan amat ditunggu-tunggu walaupun beliau berada di perantauan.
Bagi masyarakat Asia Barat, Ramadan begitu istimewa terutama dalam mengerjakan ibadah tarawih.
"Sepanjang menuntut di Mesir sejak dua tahun lalu, saya berpeluang mengunjungi daerah Tarim di Hadramaut, Yemen. Pengalaman pertama kali berada di Masjid Tarim sangat mengujakan kerana kami langsung tidak tidur malam.
"Masyarakat Yemen melaksanakan ibadah sebanyak-banyaknya pada malam-malam bulan Ramadan. Selepas solat Maghrib, mereka terus melakukan solat tasbih beramai-ramai. Kemudian, selepas Isyak, solat tarawih dilakukan sebanyak 100 rakaat.
"Mereka seolah-olah mengqada semua solat-solat sunat yang ditinggalkan dahulu bagi merebut pahala ibadah berlipat kali ganda yang dijanjikan Allah pada bulan ini. Bayangkan hebatnya masyarakat Islam di Hadramaut menunaikan ibadah," jelas Haniff yang berjaya khatam al-Quran Riwayat Imam Qolun dan Imam Abu Ja'far secara talaqqi di hadapan Sheikh Waeel Hajjaj di Mesir.
Pusat ilmu
Haniff juga pernah berkunjung ke Masjid Ba'alawi dan tidak melepaskan peluang mengerjakan solat tarawih bersama ulama terkemuka Yemen, Habib Umar bin Hafidz di Darul Mustofa, Tarim, Hadramaut.
Tarim merupakan sebuah kota kecil yang terletak kira-kira 500 kilometer dari ibu kota Yemen, Sana'a. Menurut Ensiklopedia Islam, ia turut disebut sebagai kota Seribu Wali dan terkenal sebagai pusat ilmu dan penyebaran Islam ke seluruh dunia.
SOLAT tarawih hanya boleh dilakukan pada bulan Ramadan dan ini menjadikan ia satu solat yang eksklusif |
Di Yemen, terdapat 365 buah masjid. Setiap kali Ramadan, solat tarawih akan dikerjakan sepanjang malam hingga solat Subuh. Keadaan itu membolehkan para jemaah memilih masa yang diinginkan untuk menunaikan solat tarawih di mana-mana masjid yang ada.
Menurut anak kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan itu, di Malaysia lain pula ceritanya. Apabila Ramadan menjengah, kehangatan Aidilfitri sudah dirasai. Namun, di Mesir, bulan Ramadan dirasakan seolah-olah hari raya.
"Di Mesir, Ramadan disambut meriah seperti hari raya. Kebanyakan penduduk akan memasang pelita besar yang dikenali sebagai fanus. Ia akan ditulis dengan kalimah Allah atau perkataan Ramadan Kareem. Setiap masjid pula biasanya akan menyediakan makanan untuk berbuka puasa yang dinamakan maidatur rohman," terangnya lanjut.
SUMBER mup
No comments:
Post a Comment