SHAH ALAM - Beberapa artifak berupa serpihan tembikar, peralatan logam dan pecahan genting lama ditemui di dua tapak kerja ekskavasi di Bukit Jugra Lama, Banting.
Ia ditemui di tempat yang menempatkan pejabat daerah dan satu tapak lain terletak kira-kira 50 meter dari bangunan itu, yang dipercayai tempat membayar cukai semasa pemerintahan Sultan Selangor Almarhum Sultan Abdul Samad dari tahun 1859 hingga 1898.
Ekskavasi itu usaha sama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) dengan Jabatan Sejarah dan Sains Sosial Universiti Malaya.
Pengerusi Padat Dr Shafie Abu Bakar berkata ekskavasi itu, yang bermula 18 Jun lepas, disertai 21 pelajar Universiti Malaya diketuai Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah dan Sains Sosial Profesor Dr Mohd Supian Sabtu.
Setakat ini, kerja ekskavasi di kedua-dua tapak siap antara lima hingga sepuluh peratus dana akan diteruskan sehingga Disember ini, kata beliau pada sidang akhbar hari ini.
Katanya, tapak ekskavasi itu terletak tidak jauh dari bangunan yang menempatkan Balai Polis Jugra pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad dan kini dibangunkan sebagai Muzium Insitu.
Shafie juga berkata satu kompleks pentadbiran kerajaan Selangor yang lengkap seluas 20 hektar dipercayai terdapat di Jugra berikutan penemuan itu.
Beliau berkata tapak itu belum pernah diteroka mana-mana penyelidik dan tidak ada penulisan berkaitan bahan sejarah atau arkeologi di Jugra.
Katanya, Jugra penting kerana merupakan pusat pemerintahan kedua Selangor selepas Bukit Malawati di Kuala Selangor, yang diasaskan Raja Lumu iaitu Sultan pertama dari keturunan Bugis.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Padat Azlinda Azman berkata serpihan tembikar yang ditemui berasal dari China dan Belanda, manakala peralatan logam dipercayai merupakan alat pembinaan.
Beliau berkata terdapat satu lagi tapak istana lama Jugra yang belum dikaji dan Padat mungkin menimbang untuk melakukan konservasi ke atas bangunan pejabat daerah itu selepas kerja ekskavasi selesai. - Bernama
No comments:
Post a Comment