Friday 27 July 2012

JUAL IJAZAH PALSU KAUT UNTUNG RM 5 JUTA...TAN SRI DAN AHLI POLITIK ANTARA YANG MEMBELI...!!!


Tun Hisan Tun Hamzah (tengah) menunjukkan risalah universiti yang digunakan oleh syarikat pemalsuan ijazah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam, semalam. 

SHAH ALAM  - Polis akan mengambil keterangan seorang individu bergelar Tan Sri dan beberapa ahli politik bagi membantu siasatan kegiatan penjualan ijazah palsu universiti luar negara yang didalangi sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Jakri Education Group di Subang Jaya dekat sini.


Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, pihaknya telah mengenal pasti identiti ahli politik dan orang kenamaan terbabit berikutan penahanan dua suspek termasuk dalang kegiatan itu yang merupakan pengarah di IPTS terbabit dalam dua serbuan di Subang Jaya dan Cheras semalam.





"Siasatan kita mendapati seramai 525 orang termasuk seorang Tan Sri dan ahli politik telah membeli ijazah palsu daripada IPTS terbabit yang turut beroperasi secara dalam talian sejak 2003.


"Kita juga mendapati kegiatan ini telah mengaut keuntungan sebanyak RM5 juta hasil penjualan diploma, ijazah, ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran palsu dari lima universiti luar negara mengikut harga tertentu," katanya kepada pemberita di Pusat Media Selangor di sini hari ini.


Tun Hisan turut menunjukkan barangan yang dirampas semasa serbuan di pejabat IPTS berkenaan antaranya senarai penerima sijil, dokumen permohonan, sijil ijazah, gambar dan risalah.


Menurutnya, siasatan mendapati empat daripada universiti itu iaitu University of Rockhampton dan Harvey International University, Amerika Syarikat serta Cannington Brook University dan Glastonbury University, United Kingdom adalah benar-benar wujud.


Ujar beliau, sebuah lagi universiti iaitu Charles Molnar University yang didakwa terletak di Afrika Selatan tidak wujud.


"Kita juga mendapati kesemua pembeli maklum ijazah yang dikeluarkan IPTS terbabit palsu kerana mereka tidak perlu belajar dan mengambil ujian tetapi terus menghadiri majlis konvokesyen yang dilakukan di hotel terkemuka di Kuala Lumpur atau Selangor dengan dihadiri ahli keluarga masing-masing," katanya.


Tambah Tun Hisan, pihaknya juga meminta kerjasama pihak majikan dan keluarga yang curiga dengan ijazah milik pekerja atau anak masing-masing yang melibatkan lima universiti yang disenaraikan tersebut tampil untuk membuat laporan.


Kata beliau lagi, pengarah IPTS terlibat yang berusia 37 tahun dan seorang lagi suspek adalah wanita berusia 36 yang dipercayai bertindak sebagai ejen mencari pelajar, kini direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


Isnin lalu, sebuah akhbar tempatan melaporkan kegiatan menjual ijazah palsu kepada rakyat tempatan dan warga asing yang didalangi sebuah syarikat di Subang Jaya di sini.


Difahamkan, pembeli akan dikenakan bayaran bergantung kepada tahap sijil yang ingin dibeli iaitu Ijazah Sarjana Muda sebanyak RM6,500, Ijazah Sarjana (RM8,500) da Doktor Falsafah (RM10,500).



No comments: