Sebanyak 35 buah rumah ibadat kaum Cina di Bahagian Lumut menerima sumbangan bernilai RM140,000 yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Pemberian sumbangan itu merupakan fasa terakhir daripada 547 buah rumah ibadah yang masing-masing telah menerima bantuan sama sebelum ini.
Antara rumah ibadah Cina yang menerima sumbangan ialah Persatuan Penganut Dewa Kuan Yin Pasir Panjang, Persatuan Penganut Dewi Pak E Neo Neo dan Persatuan Kuan Chee Tien, Tau Yen, Manjung.
Sementara itu, Dr Zambry menyifatkan pemberian sumbangan kepada kaum Cina itu membuktikan kerajaan tidak mengamalkan diskriminasi terhadap mana-mana kaum di negara ini.
Beliau berkata, kerajaan mengambil berat serta mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira bangsa mahupun agama.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyangkal dakwaan pihak pembangkang yang menyifatkan sumbangan serta bantuan yang disampaikan kepada kaum Cina mewajibkan mereka untuk terus menyokong Barisan Nasional.
“Kerajaan tidak pernah memaksa mana-mana pihak yang menerima bantuan diwajibkan untuk menyokong kerajaan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Sumbangan kepada 35 buah tokong yang diadakan di Marina Cove, Teluk Batik dekat sini, kelmarin.
No comments:
Post a Comment