Sunday 22 April 2012

DR. CHANDRA MUZAFFAR : DI MANAKAH HALA TUJU NEGARA...???


Dengan demam pilihan raya yang katanya akan diadakan bila-bila masa sahaja, ahli politik dan media massa kerap mengatakan tentang ke mana hala tuju negara. Kalau kita semua berada di dalam dilema ke mana hala tuju negara, adalah penting untuk kita, rakyat Malaysia untuk terus berada di hala tuju yang jelas.

Di dalam masyarakat yang berbilang kaum di mana perbezaan antaranya kerap dilaungkan, berada di hala tuju yang jelas adalah amat penting.

Untuk terus berada di hala tuju yang jelas, ia hendaklah diisi dengan perkara-perkara asas.

Ia hendaklah merangkumi kehendak dan aspirasi rakyat dan komunitinya. Landasan yang jelas di dalam negara ini hendaklah melangkaui semua jenis etnik dan memahami keadaan negara Malaysia secara keseluruhannya. Satu keadaan di mana rakyat Malaysia mudah untuk memahaminya.

Ada empat hala tuju negara yang memenuhi aspirasi ini iaitu Perlembagaan Negara, Rukun Negara, Wawasan 2020 dan gagasan 1Malaysia.

Keempat-empat ini teramat penting untuk semua rakyat Malaysia tidak mengira etnik atau pun agama. Keempat-empat perkara ini merupakan kekuatan asas dalam pembinaan negara.

Perlembagaan negara adalah perkara paling utama di antara keempat-empat hala tuju ini. Ia mengiktirafkan akar umbi kemelayuan negara ini melalui perletakan sistem raja berperlembagaan sebagai tunjang utama negara dan perakuan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama rasminya.

Pada masa yang sama, hak bahasa lain dan agama etnik minoriti tidak diketepikan dan dianggap sebahagian dari keunikan masyarakat Malaysia.

Begitu juga, lima matlamat di dalam Rukun Negara-Masyarakat yang bersatu, demokratik, adil, liberal dan progresif - yang berpandukan lima prinsip: Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada raja dan negara, Keluhuran perlembagaan, Kedaulatan undang-undang dan Kesopanan dan kesusilaan - mudah dihayati oleh rakyat kebanyakan.

Wawasan 2020 dari banyak segi merupakan tambahan kepada Rukun Negara dan mengandungi beberapa cabaran baru seperti masyarakat yang mantap kerohaniannya, masyarakat yang penyayang dan masyarakat yang mempunyai moral yang tinggi dan beretika sebagai sebahagian dari sembilan perkara cabarannya.

Sekali lagi, ia melangkaui perbezaan budaya dan bangsa. Konsep 1Malaysia juga merupakan satu bentuk idea baru yang inklusif yang dapat diterima oleh masyarakat Malaysia keseluruhannya.

Membentuk

Bagaimana kesemua empat hala tuju negara ini membentuk masyarakat Malaysia sejak negara kita mencapai kemerdekaan 54 tahun dahulu?

Penilaian yang objektif menunjukkan kerajaan cuba mengikuti kesemua empat hala tuju ini, walaupun ia masih boleh diperbaiki. Keseimbangan kaum yang terdapat di dalam Perlembagaan telah memberi satu penanda aras kepada kejayaan kepimpinan Barisan Nasional (BN) dalam mencapai keamanan dalam perhubungan etnik.

Namun, ia boleh dipertingkatkan lagi dengan penekanan terhadap konsep dan amalan kewarganegaraan yang sama.
Pencapaian kerajaan dalam mengurangkan kemiskinan tegar daripada 49.3 peratus pada tahun 1970 sehingga kepada 3.8 peratus pada tahun 2010 amat membanggakan dari perspektif keadilan dalam Rukun Negara, namun, jurang perbezaan antara kelas atasan dan kelas bawah semakin ketara kebelakangan ini.

Tambahan pula, matlamat-matlamat Rukun Negara jarang diberi keutamaan dalam sukatan pelajaran mahu pun dalam media - perkara yang saya sudah nyatakan sejak 25 tahun lepas.

Umum mengetahui bahawa Wawasan 2020 adalah satu inspirasi untuk mencapai status "masyarakat maju" melalui pendapatan perkapita yang tinggi.

Namun, mencapai masyarakat beretika tinggi adalah sama penting dalam Wawasan 2020. Konsep 1Malaysia mungkin akan memperkukuhkan perasaan cintakan negara, namun ia masih belum menangani cabaran bersifat perkauman yang muncul daripada golongan-golongan tertentu.

Sekiranya ini rekod kerajaan BN, bagaimana pula pandangan pembangkang terhadap hala tuju negara ini? Pihak pembangkang jarang melihat perlembagaan, Rukun Negara, Wawasan 2020 atau gagasan 1Malaysia sebagai perkara asas dalam membentuk perpaduan negara atau membangunkan negara.

Kesalahan

Mereka hanya mencari kesalahan pihak kerajaan jika kerajaan gagal mengotakan janji mereka kepada rakyat berdasarkan prinsip dan nilai empat hala tuju negara tadi.

Tidaklah sukar untuk memahami kenapa Pas tidak merasa komited terhadap hala tuju negara. Mereka hanya komited terhadap negara Islam seperti mana ditafsirkan partinya.

Matlamat ini kurang disenangi oleh 40 peratus bukan muslim di negara ini, walau apa jua definisi negara Islam yang diberikan oleh pimpinan parti itu.

Lagi pun, pengertian dan pentafsiran Pas tentang negara Islam khususnya tentang pelaksanaan syariah, hak minoriti bukan Islam, peranan wanita dalam masyarakat dan sebagainya mungkin tidak dipersetujui oleh sebahagian daripada masyarakat Islam sendiri.

Dalam erti kata lain, matlamat dan hala tuju Pas tidak dapat diterima oleh semua segmen rakyat.

DAP tidak kurang bezanya. Konsep Malaysian Malaysia akan dilihat oleh masyarakat Melayu sebagai percubaan untuk mengubah sejarah dan identiti negara ini.

Sebahagian daripada pendirian parti itu termasuk mahu meletakkan pelajaran dalam bahasa Cina sama taraf dengan pendidikan dalam bahasa kebangsaan menguatkan lagi persepsi ini.

PKR pula lagi mengelirukan. Ia banyak bergantung kepada individu tertentu di dalam parti itu. Dengan gabungan ketiga-tiga parti tersebut yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat, tujuan mereka untuk ke Putrajaya adalah sedikit pelik kerana mereka tidak langsung mempunyai ciri asas persamaan dalam ideologi mereka.

Apa yang menyebabkan mereka bersama apabila DAP terang-terangan menentang idea Pas tentang negara Islam? 

Apakah daya tarikan antara Pas dan DAP yang berbeza ini? Atau pun, adakah kuasa-nafsu untuk berkuasa-yang menjadi tarikan untuk dua parti politik ini?

No comments: