Friday, 8 November 2013

MELAYU - ISLAM AKAN JADI TAPAI ... ???

Masjidil Aqsa wajib dibebaskan daripada penaklukan dan penjajahan ankal Yahudu-Walan-Nasara

Salam 2 all.

Pendakyah-pendakyah missionary kristian dan mereka yang menyokong kristian mengguna-pakai kalimah ALLAH sering menggunakan alasan bahawa kalimah ALLAH telah diguna-pakai sebagai terjemahan kalimah ‘God’ dalam bahasa Inggeris beratus tahun lamanya!

Persoalannya, betulkah beratus tahun? Dan bila bermulanya?

Keupayaan menjawab soalan ini akan menyebabkan kita menyedari taktik dan strategi gerakan kristianisasi yang sudah berjalan begitu lama untuk memesong aqidah dan kepercayaan umat Islam kepada syariat yang dibawa oleh Rasulullah saw.

Kita semua perlu sedar Abad ke 16 adalah permulaan kepada siri-siri penjajahan kuasa kristian keatas negara-negara umat Islam. Antara kuasa kristian yang utama terlibat dalam siri penjajahan penaklukan ini ialah Britain, Rom, Itali, Portugis, Belanda dan Sepanyol.

Sejak kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia 1492 kepada Raja kristian Ferdinand dan Isabelle, gerakan penaklukan mereka menjadi begitu aktif.

Ini kerana satu-satunya kuasa besar dunia Islam yang bertapak dibumi Eropah iaitu Andalusia di bumi Sepanyol sudah ditumbangkan. Maka mereka berasa bebas untuk memulakan ekspedisi menakluk negara Islam lain.

Dan mereka memulakan siri penaklukan dengan matlamat 3G – Gospel, Gold & Glory.

Gospel - untuk menyebarkan kefahaman dan agama kristian sebagai peluasan empayar kristian berteraskan roman;

Gold - untuk mengaut keuntungan dan hasil masyhul negara umat Islam kerana kebanyakannya negara Eropah pada masa itu hidup dalam kemiskinan sedang negara umat Islam sudah membangun dengan harta kekayaan bumi yang melimpah ruah!

Glory - kerana mereka mahu kemenangan keatas umat Islam sebagai membalas dendam kejatuhan Kerajaan Kristian Jerusalem ditangan Sultan Salahudin Al-Ayubbi pada 02 Oktober 1187 setelah hampir 300 berperang dalam Perang Salib.

Strategi ini dirangka begitu rupa kerana mereka tahu negara dan kawasan yang mereka mahu jajah dan takluk adalah negara umat Islam; umat dan bangsa yang sudah ada agama iaitu Islam yang menyembah tuhan yang satu – ALLAH!

Bangsa dan agama yang sudah menjadi musuh tradisi mereka sejak dahulu lagi!

Ekspedisi penjajahan, penaklukan dan pendakyahan ini dibuat dengan begitu licik dan halus – tujuannya ialah untuk menjauhkan umat Islam daripada kehidupan Al-Quran, dan mendedahkan umat Islam kepada syiar kristianisasi; kerana mereka menyedari selagi umat Islam hidup berpandukan Al-Quran, selagi itulah aqidah dan ukhwah umat Islam menjadi kuat dan hebat.

Demi untuk mencapai matlamat 3G ini, mereka telah merangka satu strategi licik yang dipanggil  ‘Salt & Leaven’ (Garam & Ragi).

Diantara strategi Garam & Ragi ialah dengan mencampakkan perasa-perasa, garam-garamkristianisasi ke dalam masyarakat tersebut; atau dalam bahasa lebih mudah; menyuburkan syiar kristianisasi ditengah masyarakat tanpa perlu mengajak mereka kepada kristianisasi.

Apabila syiar itu sudah membiak subur, mereka (iaitu umat Islam) yang sudah melalui proses penggaraman syiar kristianisasi ini akan muncul sebagai agen menyebarkan dan menyuburkan lagi proses ini. Mereka ini akan bertindak menjadi ragi didalam masyarakat mereka sendiri.

Bak kata pepatah, penjajah kulit merah sudah balik, muncul kelak penjajah kulit sawo matang! Warna kulit berbeza, kefahaman dan fikrah mereka sama!

Seperti juga sebiji ubi kayu. Dipotong tiga segi, diletakkan ragi, dilipatkan dalam daun palas, kemudian dibiarkan semalaman. Esok pagi bila dibuka daun palas itu, ubi kayu itu masih berbentuk tiga segi. Tetapi hakikat ubi kayu itu sudah bertukar menjadi ubi tapai.

Itulah strategi gerakan dakyah dan penaklukan kristianisasi – melahirkan umat Islam tapai! Bangsa Melayu tapai!

Nampak macam Melayu, nampak macam Islam, tetapi hakikat kehidupan jauh daripada Islam. Sembahyang satu saf, puasa satu Ramadhan, umrah haji di Mekah; tetapi ekonomi bukan Islam, perundangan bukan Islam, perniagaan perdagangan bukan Islam, pendidikan bukan Islam, politik bukan Islam – kehidupan sebenar jauh daripada Al-Quran!

Ringkasnya, walaupun berserban berjubah, berjanggut berjambang mengikut sunnah; namun tiada masalah bersekongkol dengan gereja. Malah bangga dipanggil Mat Gereja!

Contohnya dalam sistem pendidikan. Didirikan sekolah-sekolah missionary dengan nama yang gah dan hebat. Pendidikan percuma. Sesiapa mahu masuk sekolah ini dipersilakan. Walaupun tidak mengkristiankan pelajar, namun dia menjauhkan pelajar daripada kehidupan Al-Quran.

Al-Quran melarang lelaki dan wanita bercampur, dibuat sekolah bercampur lelaki perempuan. Islam melarang dedah aurat, diwajibkan pelajar berseluar pendek dan pelajar perempuan baju kantung nampak lutut.

Belajar matapelajaran sejarah, tetapi sejarah keagungan Barat, sehingga kita lebih kenal Richard the Lion Heart daripada Sultan Salahudin Al-Ayubi; kita lebih kenal Napoleon Bonarparte daripada Tariq Bin Ziyad; kita lebih kenal Hercules daripada Khaled Al-Walid. Kita lebih kenal kisah pelayaran Columbus, daripada kehebatan perjalanan Ibnu Batutha.

Sehingga sampai ke peringkat, belajar agama Islam pun sampai ke negara Barat. Berapa ramai agamawan dan ilmuan Islam yang begitu bangga mendapat Ijazah Masters atau Ijazah PhD dalam bidang dan ilmu Islam di universiti-universiti Barat; samada di Eropah mahupun Amerika Syarikat?

Walaupun mereka tidak menjadi kristian, tetapi roh dan semangat kristian sudah menyelinap masuk kedalam jiwa. Ia merosakkan aqidah!

Setelah melalui proses penggaraman ini, akhirnya muncullah Melayu-Islam tapai yang bertindak sebagai agen dan ragi mereka untuk merosakkan Islam. Penjajah kulit merah sudah pulang, muncul penjajah kulit sawo matang. Lain warna kulit tetapi sama fikrah!

 Malah kekadang penampilan dan ketrampilan Islam mereka lebih hebat. Siap dengan serban berketayap merah ala mufti Al Azhar, jubah meleret mengalahkan Imam Masjidil Haram; malah mereka berjawatan tinggi didalam institusi dan pertubuhan yang dilabel Islam.

Tetapi hakikatnya merekalah menjadi perosak aqidah, syariat dan umat Islam!

Cuba lihat dalam isu kalimah ALLAH. Bukan sahaja dikalangan orang awam, malah perselisihan soal asasi aqidah ini sampai keperingkat mereka yang dilabel sebagai ilmuan dan ulama.

Mereka mungkin pemimpin parti politik, mereka mungkin pemimpin pertubuhan, malah mereka mungkin ulama dan mufti; tetapi sikap dan pendirian mereka menyerlahkan ketapaian mereka.

Bagaimana mungkin dalam soal yang begitu asas dan fundamental membabitkan aqidah umat, tetapi berlaku kecelaruan dan pertikaman lidah antara mereka yang bergelar ulama dan agamawan?

Malah kalau kita lihat dalam parti politik yang dilabel sebagai Partai Islam SeMalaysia PAS, pendirian agamawan yang menduduki Majlis Syura PAS dan agamawan yang menduduki Jawatankuasa PAS Pusat sangat berbeza!

Majlis Syura menentang keras, menegaskan isu kalimah ALLH sebagai isu aqidah yang tidak patut dipolitikkan; sampai keperingkat seorang daripada mereka menegaskan sesiapa yang bersetuju kristian menggunapakai kalimah ALLAH sebagai syirik!

Sebaliknya Jawatankuasa PAS Pusat mengambil pendirian menyokong tuntutan Lim Guan Eng daripada DAP supaya kristian dibenarkan menggunakan kalimah ALLAH ‘walaupun penggunaannya mungkin tidak mencapai maksud dikehendaki Islam’. Malah sampai ada yang membuat kenyataan pendirian Majlis Syura’ PAS bukan wahyu, boleh ditolak dan diketepikan!

Mengapa terjadi sedemikian?

Adakah sudah muncul tapai-tapai dikalangan mereka?

Wallahua’lam, tepuk dada tanyalah iman masing-masing. Mungkin kita sudah tiba ke zaman dimana sabda Rasulullah saw ‘nafsi…nafsi’, selamatkan diri dan ahli keluarga masing-masing lah.

Tetapi yang kita perlu faham gerakan dakyah kristianisasi tidak akan terhenti. Benarlah firma ALLAH swt didalam Surah Al-Baqarah: 120 yang menegaskan sesekali tidak akan redha Yahudi dan Kristian terhadap umat Islam sampai bila-bila selagi kita tidak mengikut dan akur dengan agama dan cara kehidupan yang mereka bawa!

Dalam isu kalimah ALLAH dalam bible versi bahasa Melayu, sebenarnya ia telah bermula semasa bermulanya ekspedisi penjajahan dan penaklukan negara umat Islam sebelah timur ini di abad ke 16.

Usaha bermula apabila Paderi Albert Cornelius Ruyl menterjemahkan Gospel Mark dan Matthew (bukan keseluruhan Bible) kedalam Bahasa Melayu pada tahun 1612. Tetapi buku terjemahan ini tidak diterbitkan sehingga tahun 1629 di Enkhuysen dan 1638 di Amsterdam (dinegara Belanda yang menjajah dan menakluk antaranya Indonesia).

Manakala Paderi M. Van Hassel, salah seorang pengarah East India Company selesai menterjemahkan Gospel Luke dan John. Pada tahun 1651, keempat-empat Gospel ini iaitu Mark, Matthew, Luke dan John berserta Acts of Apostles diterbitkan bersama.

Hanya pada tahun 1668 barulah New Testament diterbitkan.

Dan keseluruhan Bible mengandungi New Testament dan Old Testament versi Bahasa Melayu dipanggil Kitab Perjanjian Lama dan Kitab Perjanjian Baru dikeluarkan pada tahun 1731 dan 1733. Ini adalah kitab versi Bahasa Melayu menggunakan tulisan Rumi.

Manakala bible versi Bahasa Melayu tulisan jawi hanya diterbitkan di Calcutta, India pada tahun 1822 yang dihasilkan oleh Paderi R.S Hutchings.

Dan didalam Bible versi Bahasa Melayu inilah permulaan penggunaan kalimah ALLAH yang tidak terdapat dalam bible versi asal berbahasa Hebrew, Greek, Latin mahupun Inggeris.

Dan inilah versi yang dibawa masuk ke dunia Islam melalui penaklukan dan penjajahan Indonesia oleh Belanda. Bermakna penggunaan kalimah ALLAH dalam bible versi Bahasa Melayu ini bukan dibuat dengan persetujuan umat Islam, sebaliknya disogok secara unilateral oleh kuasa penjajah kristian!

Dan inilah bible versi Bahasa Melayu yang dibawa kedunia Borneo yang terletak di Kalimantan (selepas itu dikenali sebagai Sabah dan Sarawak).

Apa yang jelas, bible versi Bahasa Melayu yang menggunapakai kalimah ALLAH dilaksanakan dizaman penaklukan dan penjajahan negara umat Islam sebelah timur oleh penjajah kristian, sebagai pemanjangan ekspedisi salibiah mereka.

Maka fahamlah kita bahawa maksud dan tujuan penggunaan kalimah ALLAH (dan lain-lain kalimah dan perkataan yang biasa digunapakai oleh umat Islam didunia Melayu sebelah timur) adalah bermaksud untuk memenuhi gerakan dakyah dan kristianisasi mereka.

Jika tidak, mengapa mereka hanya menumpu kepada penggunaan kalimah ALLAH didalam Bible versi Bahasa Melayu konon atas alasan kristian arab juga menggunakannya; sedangkan mereka langsung tidak menyentuh tentang penggunaan kalimah Yasu (bukannya Jesus) oleh kristian arab.

Jawapannya mudah.

Kalimah ALLAH digunapakai oleh orang Melayu beragama Islam; kalimah Yasu orang Melayu-Islam tidak gunakan. Itu sahaja!

Sebelum saya mengakhiri tulisan ini, saya ingin menyentuh isu penggunaan kalimah ALLAH oleh pribumi Kalimantan dan Borneo yang kini dikenali sebagai Sabah dan Sarawak.

Maka sekarang kita memahami bahawa penduduk pribumi Kalimantan/ Borneo iaitu Sabah dan Sarawak sekarang sudah didedahkan dengan penggunaan kalimah ALLAH (dan lain-lain kalimah) sejak zaman penjajahan dan penaklukan kuasa kristian Eropah.

Ianya sudah ujud sejak sebelum lahirnya negara Malaysia, sebelum kemerdekaan kita lagi.

Sebab itu Kerajaan Persekutuan Malaysia tidak boleh secara perundangan atau secara paksa menghentikan penggunaan bible versi Bahasa Melayu dan pemakaian kalimah ALLAH dan lain-lain kalimah oleh penduduk pribumi tersebut.

Membenarkan mereka terus menggunakan bible versi Bahasa Melayu dan kalimah ALLAH bukan bermakna kita redha dan bersetuju. Tetapi keadaan dah sememangnya begitu. Kita merdeka dan membentuk negara Malaysia dalam keadaan mereka sudahpun menggunakannya; berbeza dengan cubaan pendakyah di Semenanjung yang baru sekarang mahu menggunakannya.

Pendekatan yang berbeza perlu diambil dalam menangani masalah ini.

Saya mencadangkan supaya pendekatan secara dakwah-bil-hikmah dan siri penerangan yang berterusan dilakukan dikalangan mereka.

Malah, mungkin ada hikmahnya mereka didedahkan dengan bible versi Bahasa Melayu dan kalimah ALLAH. Ia memudahkan tugas dakwah kita. Tetapi tak cukup sekadar bercakap modal airliur sahaja, kita mesti melaksanakannya.

Maka usaha perlu dibuat melalui metode dakwah dan penerangan mengenai hakikat ALLAH sebenarnya mengikut aqidah dan tauhid Islamiyyah.

Kita beri penerangan kepada mereka bahawa ALLAH yang mereka guna sebagai gantinama God itu sebenarnya Ahad – Satu! Bahawa ALLAH itu tidak bergantung dengan sesiapa malah kesemua manusia dan makhluk bergantung kepada ALLAH. Bahawa ALLAH itu tidak ada anak, dan dia tidak diberanakkan. Bahawa ALLAH itu tidak ada suatu apapun yang bersekutu atau sekufu atau setaraf dengan Dia!

Dan cara penyembahan kepada ALLAH itu adalah menurut syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw!

Sebenarnya ini adalah peluang kita untuk menjalankan tugas Rasulullah saw – DAKWAH!

Semoga kita semua akan dapat keluar daripada proses penggaraman dan peragian gerakan dakyah kristianisasi inki, dan menjauhkan diri dan keluarga kita daripada proses penapaian yang sudah terkena kepada segelintir kita.

Moga ALLAH memelihara iman dan aqidah kita, dan memberikan kita kekuatan istiqomah untuk meneruskan perjuangan dizaman fitan ini.

Wallahua’lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias senor!

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
05 Muharram 1435

08 Nov 2013

No comments: